Lima rakyat Malaysia jadi hamba sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja rayu diselamatkan
KUALA LUMPUR – Lima rakyat Malaysia dilaporkan terperangkap di Kemboja selepas dijadikan mangsa sindiket pekerjaan palsu termasuk dua beradik dipaksa bekerja sebagai operator penipuan pelaburan lebih 17 jam sehari sejak enam bulan lalu.
Pendedahan itu dibuat selepas keluarga mangsa tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) baru-baru ini.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua keluarga datang dalam keadaan cemas dan trauma, ada yang menangis sambil menunjukkan mesej terakhir daripada anak mereka yang merayu untuk diselamatkan.
“Ada mangsa yang sempat beritahu ibunya, ‘tolong selamatkan saya, saya hidup terseksa di sini.’ Bayangkan anak yang pergi dengan harapan besar untuk bantu keluarga, akhirnya terperangkap sebagai tawanan.
“Mereka bukan sahaja ditipu, tetapi dipaksa menjadi hamba moden,” katanya kepada MalaysaGazette.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua mangsa berusia 20 hingga 31 tahun itu berangkat ke Kemboja sekitar Mac lalu selepas ditawarkan kerja kononnya sebagai penterjemah dan pekerja kasino.
Namun sebaik tiba, pasport mereka dirampas, pergerakan dikawal dan mereka diperhambakan dalam pusat operasi sindiket.
“Aduan keluarga jelas menunjukkan mereka bekerja lebih 17 jam sehari, tidur dalam keadaan tidak menentu malah setiap pergerakan diawasi. Ini penderaan fizikal dan psikologi yang sangat berat,” tegasnya.
MHO kini sedang mengumpulkan maklumat lengkap aduan keluarga untuk diserahkan kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Malaysia di Phnom Penh serta pihak berkuasa Kemboja.
“Kami tidak akan berdiam diri. Aduan keluarga sudah kami terima dan MHO akan memastikan suara mereka sampai ke peringkat tertinggi. Rakyat Malaysia tidak boleh terus menjadi mangsa sindiket kejam seperti ini,” ujarnya.
Hishamuddin turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran kerja luar negara yang menjanjikan gaji lumayan tanpa melalui saluran sah.
“Masalah kewangan tidak boleh dijadikan alasan untuk ambil jalan singkat. Tawaran indah di luar negara kadangkala hanyalah perangkap yang meragut maruah dan kebebasan,” katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan