'PM bimbang keselamatan negara selepas penahanan perisik tentera’
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyuarakan kebimbangan berkenaan keselamatan negara susulan penahanan beberapa perisik tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh SPRM, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, berikutan laporan mengenai serbuan SPRM yang membawa kepada rampasan sejumlah wang dan penahanan lima anggota perisikan tentera, dengan empat daripadanya adalah pegawai Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) - agensi di bawah ATM.
"Perdana Menteri membangkitkan sedikit pertanyaan berhubung kerisauan terhadap insiden ini, khususnya dari segi keselamatan yang mungkin timbul.
"Pihak Kementerian Pertahanan telah diminta untuk menyediakan satu laporan penuh kepada Jemaah Menteri selepas siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM dan ATM selesai," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, penahanan lima individu itu melalui Ops Sohor dilaporkan telah melumpuhkan sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.
Siasatan awal mendapati mereka membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah dari negara jiran ke Malaysia.
Kata Fahmi lagi, kerajaan mengambil serius perkara tersebut dan menyeru semua pihak untuk menunggu hasil siasatan sebelum membuat sebarang kesimpulan.
"Kita tunggu siasatan tersebut," katanya ringkas.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata perdana menteri juga telah meminta Kementerian Pertahanan untuk meneliti segala aspek berkaitan keselamatan bagi memastikan tiada ancaman yang timbul, selari dengan siasatan yang sedang dijalankan.
“Oleh kerana siasatan ini bermula dengan pihak SPRM, maka aspek siasatan itu tidak boleh diganggu dan mesti diteruskan.
“Pada masa yang sama, perdana menteri telah meminta pihak Kementerian Pertahanan untuk meneliti aspek-aspek bagi memastikan keselamatan negara tidak terjejas,” katanya.
Jelas Fahmi lagi, perkara itu akan diteliti sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan, manakala siasatan oleh SPRM akan berjalan tanpa sebarang campur tangan.
“Tiada gangguan kepada siasatan SPRM. Kita tunggu hasil siasatan tersebut,” katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan