Hamas akan 'dihapuskan' jika melanggar perjanjian Gaza - Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Hamas akan 'dihapuskan' jika ia melanggar perjanjian Gaza dengan Israel dan akan memberi peluang kepada kumpulan pejuang Palestin untuk menghormati gencatan senjata.
"Kami membuat perjanjian dengan Hamas bahawa mereka akan berkelakuan baik, bertindak elok dan akan baik.
"Dan jika mereka tidak (berkelakuan demikian), kami akan pergi dan memusnahkan mereka, jika perlu. Mereka akan dimusnahkan dan mereka tahu itu," kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Trump membantu merangka perjanjian Gaza hampir dua minggu lalu, namun perjanjian itu beberapa kali terancam apabila Israel menuduh Hamas melengahkan penyerahan mayat tebusan dan melancarkan serangan.
Trump juga menasihati kumpulan pejuang supaya menghentikan pelaksanaan hukuman mati secara terbuka terhadap pesaing dan mereka yang didakwa bekerjasama, ketika ia berusaha mengukuhkan semula cengkaman kuasa di wilayah yang musnah itu.
Bagaimanapun, Trump menegaskan pasukan Amerika tidak akan terbabit menentang Hamas memandangkan puluhan negara bersetuju menyertai pasukan pemulihan antarabangsa untuk Gaza dan 'ingin sangat masuk'.
"Selain itu, Israel akan masuk dalam masa dua minit, jika saya suruh mereka masuk.
"Tetapi buat masa ini, kami belum berkata begitu dan akan beri sedikit peluang, diharapkan keganasan berkurangan," katanya.
Trump berkata, Hamas kini jauh lebih lemah, apabila penaung serantau Iran kini tidak mungkin campur tangan bagi pihaknya susulan serangan AS dan Israel tahun ini.
"Mereka tidak lagi mendapat sokongan sesiapa pun. Mereka mesti berkelakuan baik dan jika tidak, mereka akan dimusnahkan," katanya.
Sementara itu, jurucakap pejabat perdana menteri berkata, wakil khas Trump, Steve Witkoff dan penasihat, Jared Kushner bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam untuk membincangkan perkembangan dan kemas kini di rantau itu.
Manakala Naib Presiden, JD Vance dan isterinya, Usha berlepas dari Washington ke Israel dan dijadualkan bertemu Netanyahu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan