'Jika tinggalkan AKPS nanti, saya mahu serahkan 'kerusi' bersih kepada pengganti, yang tak disumpah 34 juta rakyat Malaysia...' - Mohd Shuhaily
PUTRAJAYA: Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kekangan dari pelbagai aspek, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bertekad menjadi sebuah pasukan disegani dan berintegriti tinggi.
Ketua Pengarahnya, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata jika tidak lagi menerajui agensi itu, beliau berazam meninggalkan sebuah 'kerusi' yang bersih dan tidak bermasalah kepada penggantinya kelak.
"Saya cakap siapa juga yang ingin mengambil tempat saya kemudian, saya serahkan satu kerusi yang tidak bermasalah, yang tak pernah disumpah oleh anak buah, mahupun 34 juta rakyat.
"Kerja kita ialah menguatkuasakan undang-undang. Siapa yang suka seseorang mengarah-arahkan orang lain? Tak ada. Jadi saya mohon bantuan semua untuk menyelami kepimpinan, kaedah dan cara saya," katanya pada sesi Townhall Bersama Ketua Pengarah AKPS di Kompleks Setia Perkasa, di sini, semalam.
Mohd Shuhaily berkata, walaupun latar belakang dirinya daripada sebuah institusi yang regimental, beliau secara peribadi terbuka menerima sebarang teguran mahupun kritikan membina.
Katanya, beliau faham pelbagai kekangan dihadapi anggota dan pegawai di lapangan dan di ibu pejabat, namun memuji komitmen tinggi ditunjukkan keseluruhan warga AKPS dalam melaksanakan tugas.
Beliau berkata, hasratnya untuk AKPS dihormati bukan kerana rasa takut, tetapi disebabkan ketegasan, profesionalisme dan nilai integriti tinggi tanpa kompromi dalam menjaga sempadan negara.
"Saya mahu AKPS menjadi agensi bermaruah dan perjuangan kita untuk membina nama baik yang disegani.
"Saya mahu apabila seseorang dalam kapal terbang menuju ke Malaysia, mereka sudah berfikir dua kali sebelum melintasi garisan imigresen dan kastam seperti rasa 'takut' kita melakukan kesalahan bila mahu masuk ke Australia," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan