AS desak UNSC luluskan pelan damai Gaza diusulkan Trump
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk bersatu bagi menyokong deraf resolusi pelan damai Presiden AS, Donald Trump, untuk Gaza.
Jurucakap misi AS ke PBB, dalam satu kenyataan berkata, sebarang cubaan untuk mencetuskan perpecahan ketika persetujuan terhadap resolusi yang sedang dirundingkan hanya akan membawa kesan buruk kepada penduduk Gaza.
"Ini sepatutnya dapat dielakkan. Gencatan senjata sangat rapuh dan kami menggesa UNSC untuk bersatu dan bergerak ke hadapan bagi memastikan keamanan yang amat diperlukan ini dicapai.
"Ini akan menjadi detik bersejarah bagi mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat," katanya.
Minggu lalu, pegawai AS memulakan rundingan dalam UNSC mengenai satu deraf resolusi susulan gencatan senjata dalam perang dua tahun antara Israel dan Hamas serta bagi menyokong pelan damai Trump.
Deraf resolusi ketiga yang dilihat AFP semalam mengalu-alukan penubuhan Lembaga Keamanan iaitu sebuah badan pentadbiran peralihan untuk Gaza yang secara teorinya akan dipengerusikan Trump dengan mandat sehingga penghujung 2027.
Ia juga akan membenarkan negara anggota membentuk Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sementara yang akan bekerjasama dengan Israel, Mesir dan pasukan polis Palestin yang baru dilatih untuk membantu mengawal kawasan sempadan dan menjadikan Semenanjung Gaza zon bebas tentera.
ISF juga akan bertanggungjawab melaksanakan pelucutan senjata secara kekal kumpulan bersenjata bukan negara, melindungi orang awam serta memastikan laluan bantuan kemanusiaan selamat.
Berbeza dengan deraf sebelumnya, deraf terbaharu ini menyentuh kemungkinan pembentukan negara Palestin pada masa depan.
Menurut deraf itu, selepas Pihak Berkuasa Palestin (PA) melaksanakan pembaharuan yang diminta dan proses pembinaan semula Gaza dimulakan, maka sudah ada laluan jelas bagi pentadbiran sendiri dan pembentukan negara Palestin.
"AS akan mewujudkan dialog antara Israel dan Palestin bagi mencapai hala tuju politik untuk kewujudan bersama secara aman dan makmur," katanya.
Kelmarin, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyuarakan keyakinan bahawa resolusi itu akan diluluskan.
"Saya fikir kami membuat kemajuan baik mengenai kandungan dalam resolusi berkenaan dan berharap tindakan mengenainya dapat diambil dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Kanada.
Namun, walaupun anggota UNSC dilihat menyokong cadangan penubuhan Lembaga Keamanan secara prinsip, diplomat memberitahu AFP bahawa beberapa persoalan masih dibangkitkan mengenai deraf itu.
Antaranya termasuk ketiadaan mekanisme pengawasan UNSC dalam teks berkenaan, peranan masa depan PA serta butiran mengenai mandat ISF.
Pada masa sama, Russia semalam mengemukakan deraf resolusinya sendiri mengenai Gaza bagi mencabar usaha AS meluluskan teksnya yang menyokong pelan damai Gaza diusulkan Trump.
Misi Russia ke PBB dalam satu notis kepada anggota UNSC menyatakan bahawa cadangan balas Russia itu diilhamkan oleh deraf AS.
"Objektif deraf kami ialah bagi membolehkan UNSC membangunkan pendekatan yang seimbang, boleh diterima dan bersatu untuk mencapai pemberhentian permusuhan secara mampan," katanya.
Deraf Russia itu meminta Setiausaha Agung PBB mengenal pasti pilihan bagi pasukan penstabilan antarabangsa untuk Gaza dan tidak menyebut mengenai Lembaga Keamanan yang dicadangkan AS sebagai pentadbiran peralihan di Gaza. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan