Israel bunuh 2 penduduk Palestin, bakar masjid
DAYR ISTIYA: Tentera Israel menembak mati dua suspek pejuang di sebuah bandar di Tebing Barat yang diduduki, sementara pegawai Palestin menuduh peneroka haram Israel membakar sebuah masjid di wilayah itu.
Keganasan oleh peneroka haram semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini di seluruh Tebing Barat, mengundang kecaman antarabangsa, malah kritikan luar biasa dari dalam tentera dan kerajaan Israel sendiri.
Menurut kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut, anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menjalankan operasi berhampiran komuniti Karmei Zur menumpaskan dua suspek yang dalam perjalanan untuk melancarkan serangan
Pihak berkuasa Palestin juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sementara itu, Kementerian Luar Palestin yang berpusat di Ramallah mendakwa, peneroka haram Israel membakar Masjid Hajja Hamida berhampiran bandar Deir Istiya di utara.
"Tindakan itu jelas mencabul kesucian rumah ibadat dan mencerminkan unsur perkauman mendalam yang mempengaruhi peneroka haram Israel, di bawah perlindungan kerajaan pendudukan," katanya.
Foto AFP dari lokasi kejadian menunjukkan beberapa naskhah al-Quran hangus dan dinding masjid yang diselubungi kesan asap hitam. Sebahagian dinding turut diconteng dengan grafiti.
Tentera Israel berkata, pasukan keselamatan digerakkan ke lokasi semalam selepas menerima laporan dan rakaman berkaitan suspek yang membakar sebuah masjid dan melukis grafiti.
Dalam kenyataan itu, tentera memaklumkan tiada suspek dikenal pasti selepas semakan terhadap kes berkenaan, yang kemudian diserahkan kepada polis serta agensi keselamatan Israel.
"IDF mengecam apa jua bentuk keganasan dan akan terus berusaha memastikan keselamatan serta ketenteraman di kawasan berkenaan," katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut mengecam serangan itu,
Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, tindakan keganasan dan pencemaran tempat ibadat adalah tidak boleh diterima.
"Kes seperti itu adalah sebahagian pola berterusan keganasan melampau yang semakin memburukkan ketegangan dan mesti dihentikan segera," katanya.
Serangan membakar masjid itu berlaku sehari selepas ketua tentera Israel berikrar untuk menghentikan keganasan oleh peneroka.
Dalam perkembangan lain, Israel terima satu lagi mayat tebusan daripada Hamas, dan Jihad Islam, dengan baki tiga lagi mayat masih berada di Gaza
Israel menerima mayat tebusan, Meny Godard, daripada pejuang Palestin di Gaza melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Khamis.
Mayat tiga lagi tebusan masih berada dalam tahanan di Gaza.
Jihad Islam, yang bersekutu dengan Hamas dan turut menawan tebusan dalam serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza, berkata mayat berkenaan ditemui di bandar Khan Younis di selatan Gaza.
Di bawah perjanjian gencatan senjata pada Oktober lalu, Hamas membebaskan semua 20 tebusan yang masih hidup di Gaza sebagai pertukaran bagi hampir 2,000 tahanan Palestin dan individu yang ditahan semasa perang oleh Israel.
Perjanjian itu juga memperuntukkan pemulangan 28 mayat tebusan sebagai pertukaran bagi 360 mayat pejuang. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan