Jumaat, 14 November 2025

PERJANJIAN ANWAR-TRUMP 2025


BAHAGIAN 2

PERJANJIAN

ANWAR-TRUMP 2025



Maharaja Trump mencecah duli di lapangan terbang Kuala Lumpur pada pagi 26 Oktober 2025.    Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah datang  menyambut Presiden Amerika Donald Trump  bersama Inang dan Dayang  dengan  menari-nari. Tak sampai beberapa jam satelah klip – menari-nari ini  tersebar di media sosial  punat Bom Atom pertama tercabut dan meledak.

Ini Bom Atom dari Mufti Perlis.  Sang Mufti telah menyatakan rasa kecewa bila melihat Inang dan Dayang menari-nari bersama Trump dan Perdana Menteri. Mufti Perlis  berkata manusia yang bernama Donald Trump ini     sedang  bersekongkol dengan  Zionis Netanyahu untuk membunuh warga Gaza.  Lucah dan tidak kena pada tempat kita memberi  sambutan  menari-nari kepada  seorang Zionis. Dunia akan mentertawakan kita. 

Di pagi yang sama -  demo yang di rancang di Ampang Park pada pagi kesampaian Trump telah dikawal ketat. Semua  stesen laluan MRT dan LRT yang berhampiran telah di tutup.  Jalan juga di kawal untuk memastikan tidak ada sesiapa dapat mencelah masuk ke Ampang Park. Suasana sekatan  Covid 19 muncul kembali. 

Polis dan Menteri KDN dibaca  berlagak ganas seolah-olah ada sesuatu yang sedang di rancang.

Bila Bom Atom dari Mufti Perlis meledak Anwar Ibrahim masih lagi bersilat lidah.  Anwar  menerangkan  bahawa Trump di jemput oleh  Asean. Malah Anwar sendiri akan sampaikan kepada Trump   sentimen rakyat Malaysia yang menolak genosid di Gaza. 

‘ Saya katakan sendiri pada Presiden Donald Trump akan tentangan Malaysia terhadap apa yang berlaku di Gaza.....’ akuan Anwar Ibrahim.  Jika para pembaca kurang yakin dengan apa yang diucapkan oleh Anwar Ibrahim sila tanya Trump sendiri.

Putar punya putar. Belit  punya belit. Lebong punya lebong rupa-rupanya ada udang di belakang mee . Rupa-rupanya ada haruan di celah kangkang.  Patutlah Polis dan Menteri KDN berlagak ganas.

Dengan tertiba berita meledak.  Serta merta diketahui umum bahawa ditanda tangani satu perjanjian  antara Malaysia dengan Amerika.  Imej Anwar dan Trump  dilihat sedang menanda  tangani perjanjian ini tersebar. Incian  butir perjanjian  masih belum jelas.

Apa yang jelas  dan kini disedari umum ialah  beberapa bulan sebelum Trump sampai ke Kuala Lumpur  secara senyap sunyi lagi rahsia  Anwar bin  Ibrahim telah melakar Satu Perjanjian : Perjanjian  Anwar- Trump 2025.

Dari berita yang di kumpul dan tersebar  saya di fahamkan  ahli Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan sendiri  tidak tercium bau kentut ini. Anwar Ibrahim  dan  Tengku Zafrul pasti mengikat seluar dalam mereka dengan  ketat hinggakan  para Menteri Kabinet pun tidak tercium bau kentut masam ini.

Apa yang di hebohkan ialah Persidangan Tahunan ASEAN 2025. Malaysia menjadi tuan rumah.

Bila berita Perjanjian Anwar-Trump 2025 tersebar pemimpin  Pembangkang senyap tanpa suara.  

Umum sedar adalah mustahil terutama Parti Bersatu  untuk mencium perancangan gelap Anwar dan Zafrul. Ini kerana mereka  terlalu sibuk berkeris dan berparang  berbunuh sesama sendiri.  Malah saya sendiri merasa was was apakah Muhyidin, Hamzah dan Azmin tahu  bahawa  Maharaja Trump  telah mencecah duli di KLIA pada pagi Ahad 26 Oktober 2025. 

Saya mengelamun : Alangkah baiknya jika hayunan  parang  Muhyidin, tikaman  keris  Azmin dan lontaran  tombak Hamzah  di arahkan kepada Donald Trump. Jika lamunan saya ini telah mereka  lakukan pasti pengundi akan menobatkan mereka untuk menggantikan Anwar Ibrahim. Amin.

Inilah hebatnya Anwar dan Zafrul. Dua sosok ini  bekerja dalam gelap hanya menggunakan  cahaya  dari sinaran rambut perang Donald Trump.

Perjanjian Anwar-Trump 2025 ini  membawa gempar  satu Malaysia. Berita  Perjanjian Anwar-Trump 2025 menjadi viral di media sosial walau pun butiran belum jelas.

Untuk mengurangkan bau kentut  yang telah merebak ini – Anwar Ibrahim secara bijak lagi licik telah meyakinkan Siam dan Kemboja untuk berdamai.  Gula-gula Damai – Siam Kemboja  ini telah di gunakan oleh Anwar bin Ibrahim untuk  melunakkan lagi Perjanjian Anwar-Trump 2025.

Tup tup bila Parlimen bersidang satu lagi bom  meledak. Kali ini bukan Atom tapi Bom Nuklear  Berpandu. Tukang pandu bom ini ialah YB Hassan Karim – sosok  Yang Berhormat dari parti Anwar Ibrahim sendiri. 

‘ Saya tidak kira apa akan jadi kepada saya nanti... tapi jelas  negara kita telah di gadaikan  kepada Amerika...’  Ledakan suara ucapan  berani mati seorang nasionalis bangsa.  Parlimen bergegar.

‘ Trump datang... kita jual harta kekayaan negara kita...  tak bayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu tapi beri berbilion kepada Amerika....’ tambahan suara berani mati YB Hassan Karim.

Sidang Parlimen jadi heboh terutama dari Parti Islam PAS.  Dum dam  tang tung  bunyi  ahli Parlimen bersuara. Semua  melihat Perjanjian Anwar -Trump 2025  sebagai menggadaikan Tanah Melayu. 

Ledakan Nuklear dari YB Hassan ini menjemput pelbagai sektor masyarakat untuk turut sama bersuara.    Saya mula terbaca pandangan Peguam, pandangan ahli Akademik,  pandangan Lembaga Perniagaan  dan dari aktivis  Badan Bukan Kerajaan. 

Rata-rata pandangan mereka ini  selari dan seirama. Kalau mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan – suara seirama  mereka  ini datang dari Perut dan Waris yang sama.

Paling menarik ialah tulisan Kadir Jasin. Bekas Ketua Pengarang  NST di zaman Mahathir. Jika di dunia Arab suara Kadir Jasin ini boleh di samakan dengan suara Hassan Heikal dari  akhbar Al-Ahram yang terbit di Kaherah di zaman  Presiden Nasser.

Kadir membawa kita kembali melihat sejarah bagaimana Perjanjian Pangkor  1874.  Kadir Jasin, menyifatkan perjanjian dagang yang ditandatangani oleh  Anwar dan Trump sebagai satu ulang tayang sejarah lama yang pernah membawa kepada penjajahan di Tanah Melayu

Malah, Kadir turut membandingkan Perjanjian Anwar -Trump 2025  sama dengan  Perjanjian Pangkor 1874, yang membuka jalan kepada penjajahan British di Tanah Melayu melalui sistem Residen.

“Pucuk dicita ulam mendatang. Di Perak, Raja Muda yang terlepas jawatan berhasrat merampas balik takhta. Maka beliau meminta tolong sahabatnya, Tan Kim Cheng di Singapura, seorang ahli kongsi gelap yang berjaya menjadi peniaga, ahli politik dan diplomat.

“Dengan bantuan pedagang Inggeris, William H. Read, termeterailah Perjanjian Pangkor pada 1874 yang menandakan bermulanya penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu,” kata Kadir.

Wow – hebat perbandingan yang d guna pakai oleh Kadir ini. Malah – terlintas dalam kepala saya tentang Tengku Zafrul. Tengku Zafrul akan hilang kerusi Menteri  bila status Senator tamat.  Maka untuk terus berkuasa Tengku Zafrul perlukan payung Anwar Ibrahim.  Untuk saya  ini sama  wataknya dengan Tan  Kim Cheng  - yang perlukan Payung  Di Raja untuk terus  menyamun.

Satelah mencecah duli di Kuala Lumpur Maharaja  Trump terbang ke Jepun dan Korea.  Tapi kentut Perjanjian Anwar- Trump 2025 telah mengeluarkan berak yang amat busuk.

Anwar Ibrahim pakar lebong terus bersilat lidah.  RTM dan semua media yang sama sealiran terus  menghebohkan ASEAN 2025 sebagai  pintu syurga  makin terbuka untuk dimasuki oleh warga Malaysia.

Anwar Ibrahim telah  di gambarkan sebagai pemimpin yang hebat  oleh Maharaja Trump.  Kehebatan Anwar bin Ibrahim  telah disamakan  setaraf dengan kehebatan  Bibi Netanyahu Perdana Menteri Israel. 

Kenapa tidak :  Sebelum  ke Kuala Lumpur Trump telah  berada di Tel Aviv. Trump berucap di Parlimen Isreal.

Pada 20 Ogos 2025  akhbar  The  New York Times telah melaporkan : Trump described Mr. Netanyahu as a “good man.” 

Dua bulan kemudian pada  29 Oktober 2025 NST telah melaporkan kata-kata Trump  “ Prime Minister was great, great guy...’ 

Opps... nampaknya saya tersilap. Saya minta maaf. 

Untuk Netanyahu  Trump hanya berkata : Netanyahu a good man. Manakala untuk Anwar Ibrahim bukan hanya good malah great.. great guy. Dua kali  Maharaja Trump mengulang perkataan great.  

Sebelum ini Anwar  pernah klim Trump berkata yang dirinya ini disifatkan oleh Maharaja Trump sebagai sosok fantastik. Bukan sekali tapi tiga kali. Saya ulang bukan sekali tapi tiga kali – fantastik.. fantastik... fantastik.

Untuk yang kurang arif bahasa Inggeris : good man bermakna insan  yang baik Manakala great guy   membawa makna sosok  yang hebat. 

Aduh ! Hebat memang  hebat sosok yang bernama  Anwar bin Ibrahim ini. Dia  mendapat pujian dari manusia yang paling berkuasa sekali dalam dunia ini.  Tidak ada sesiapa yang boleh menandingi kuasa Maharaja Trump.

Modi dari Delhi , Xi Jin Ping dari Beijing  atau Starmer   dari London – campurkan ketiga- tiga ini Donald Trump  masih teratas. 

Jika saya mendapat pujian seperti ini pasti tujuh hari tujuh malam saya tidak akan lelap tidur. Makan tak lalu kentut tak keluar. 

Pelik bin ajaib Perjanjian Anwar-Trump 2025  terus menjadi perbincangan hebat.  Trump dah lama pulang. Rumah dah siap tukul makin kuat berbunyi. 

Sedikit demi sedikit incian perjanjian di selongkar.  

Apa dia yang ditemui dalam Perjanjian Anwar-Trump 2025  yang menjadikan  pahat dan tukul berbunyi ? Sila tunggu  sambungan minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/news/760690







Tiada ulasan: