Sabtu, 8 November 2025

MAHARAJA TRUMP MENCECAH DULI DI KUALA LUMPUR


MAHARAJA TRUMP

MENCECAH DULI

DI KUALA LUMPUR


Hujung bulan Oktober 2025 yang baru lepas akan terus diingat oleh warga Kuala Lumpur.  Heboh berlaku di Kuala Lumpur. Heboh yang amat heboh. Heboh  lebih  heboh dari Jom Heboh.

Heboh  warga Kota  Kuala Lumpur ini berpunca  dari mendengar   pengumuman kerajaan  bahawa akan ada  ‘lockdown’ dalam kota Kuala Lumpur  untuk beberapa hari. Kenyataan  Kuala Lumpur akan ada berlaku ‘lockdown – tutup semua ‘ ini keluar dari mulut Mat Hassan Menteri Luar Malaysia. 

Maka warga Kuala  Lumpur yang selesa dengan kereta mereka dengan serta  merta mengeluarkan sumpah seranah melalui sosial media.  Saya melihat media sosial – kini menjadi tempat melepas geram. Mat Hassan tanpa segan silu – tanpa di minta tanpa di jemput -  telah  mendapat carutan yang tidak putus-putus.

Perkataan ‘lockdown’ ini perkataan badi-sial  yang  mengingatkan warga Kuala Lumpur ke zaman Cobid19 di  mana muka wajib  bertopeng -  hidup terganggu gugat dan bahu wajib di suntik.  Satu ingatan  ngeri yang mahu di lupakan.

Warga Kota Kuala Lumpur di beritahu oleh Menteri Luar bahawa  ‘lockdown’ ini perlu untuk menyambut tamu yang akan datang ke Persidangan Tahunan Asean 2025 di Kuala Lumpur – bermula 26 Oktober dan  berakhir pada 28 Oktober.  Mengikut Mat Hasan selain dari pemimpin Asean ada ramai pemimpin dan para Gedebe dari luar negara yang akan di jemput sama.

Sumpah seranah dan kutukan dalam media sosial tidak berkurangan. Warga Kuala Lumpur tidak ambil pot pemimpin dari  Asean ke , pemimpin Aksian ke , pemimpin Minta Kesian ke – semua tidak di pedulikan.  Warga Kota Kuala Lumpur tidak mahu laluan kereta mereka di ganggu.

Maka dengan Muka Bantal  Si Mat Hasan Menteri Luar Malaysia  memanggil media. Mat Hasan mengakui – saya ulang – dia  mengakui tidak akan ada lockdown .

‘ Tidak ada lockdown... saya hanya bergurau..’ kata-kata Mat Hasan  ini saya pungut dari laporan media.

Aduh ! Inilah  tahap fikrah Menteri Luar Malaysia – suka bergurau   bukan suka menyelesaikan masalah dunia...kah kah kah.

Nama Trump mula disebut. Trump ini  nama Presiden Amerika.  Warga  bertanya sesama sendiri - apakah Maharaja Trump akan  mencecah duli  di Kuala Lumpur.  Berita Donald Trump akan datang ke Persidangan Tahunan  Asean sudah lama tersebar.

Malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga  Pengerusi Asean  2025 awal-awal lagi telah menghebohkan berita  jemputan kepada Trump.
Malah Anwar Ibrahim dengan bangga lagi merak  telah menunjukkan imej dia sedang bercakap melalui telefon  dengan Donald Trump. Hebat. Memang hebat sosok yang bernama Anwar Ibrahim ini.

Ini bukan kali pertama Anwar  menunjuk dan mengumumkan  kepada warga Malaysia bahawa dia menerima  panggilan  telefon dari beberapa pemimpin dunia. 

Anwar pernah  menerima panggilan telefon   Erdogan dari Turki, panggilan telefon  Thaksin dari Thailand  dan  panggilan telefon Sukma Dramawan... opps silap ... panggilan dari Prabowo Subianto  dari  Indonesia.

Warga Internet yang peka dan memberi perhatian kepada tingkah laku  Anwar Ibrahim ini menyambut dengan gelak ketawa. Malah  warga Internet beramai-ramai telah menobatkan Anwar sebagai  Bapa Pembangunan Telefon.

Portal berita The Reporter pada 19 Oktober 2025 telah melaporkan berita bagaimana  Perdana Menteri  Anwar Ibrahim merasa amat kesal apabila dia dinobatkan sebagai  Bapa Pembangunan Telefon. Kah Kah Kah.

Mengikut surah Anwar Ibrahim sendiri -  Presiden Amerika cukup gumbira dapat berlabun dengan dia. Segala pujian telah terhambur dari mulut Donald Trump kepada Anwar Ibrahim. 

‘ Tiga kali Trump kata.. fantastik.. fantastik.. fantastik...’  Ini omong Anwar kepada warga Malaysia melalui media.

 Kehebatan Anwar Ibrahim menyerlah membelah langit.  Warga Malaysia wajib berbangga kerana Anwar Ibrahim anak watan berjenerasi bukan  Anak Argentina yang baru mendapat status kewargaan Malaysia. Amin.

Betul hebat.  Kepada  Warga Internet yang masih  kurang yakin dan kurang percaya akan kata-kata Anwar  ini  , saya beri cadangan  sila  telefon dan tanya kepada Donald Trump sendiri apakah labun Anwar ini sahih atau tidak.

Apabila  dilaporkan Anwar menjemput Trump  datang ke Kuala Lumpur maka suasana mula beralih. Langkah menjemput  Presiden Amerika ini menaikkan kemarahan warga Malaysia terutama Melayu Islam. Sikap marah kepada Trump ini berkait rapat dengan Palestin dan Islam.

 Presiden Amerika ini   dilihat memberi sokong dan bantuan  teguh kepada projek genosid Netanyahu di Gaza. Malah Presiden Trump adalah seorang Zionis  yang telah mengiktiraf  Baitulmuqadis – Jurusalem  sebagai Ibu Kota Israel.
 
Ini  tidak pernah dilakukan oleh Presiden Amerika yang lepas-lepas.

Trump ketika menjadi  Presiden kali pertama – 2017 -  telah memindahkan  pejabat Kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Jurusalem.

Dunia sedang  memberi perhatian kepada Netanyahu  dan Trump yang terlibat dalam Perang Gaza. Isreal sedang membantai dan membunuh Arab Palestin di Gaza dan Tebing Barat.  Warga dunia  tahu dan sedar semua ini dilakukan kerana Israel mendapat sokongan padu dari Trump. Tanpa sokongan Amerika Israel dan Netanyahu tidak akan berupaya  melakukan  apa yang sedang di lakukan di Gaza.

Justeru dari sinilah punca suara kemarahan  warga Malaysia. Mereka  menentang kesampaian Trump ke Kuala Lumpur.  Kumpulan NGO, para Agamawan,  pemimpin politik mula menyuarakan bantahan – semua menolak Trump.

Seperti biasa Anwar Ibrahim bersilat lidah. Jemputan ini – mengikut labun Anwar bukan dari Malaysia tatapi dari  sekretariat Asean.  Trump di jemput oleh Asean bukan oleh Malaysia. Omong ini bertujuan untuk meredakan  kemarahan orang ramai.

Dalam masa yang sama kain  sarung Anwar  semakin terbuka   -  para Agamawan menyifat Anwar sebagai munafik. Manakala yang lain melihat Anwar  lidah bercabang. Satu lidah kata  dia  menyokong perjuangan Palestin. Satu lagi lidah kata kita wajib jemput Zionis bernama Trump ke Kuala Lumpur.

Suasana anti-Trump ini melimpah ruah di seluruh dunia bukan hanya di Malaysia. Malah di Amerika pada 18 Oktober 2025 telah di adakan  tunjuk perasaan  anti-Trump yang di panggil No King Day – Hari Menolak Raja.   Warga Amerika kini menganggap Trump mahu menjadi Maharaja.

Agensi berita melaporkan  lebih dari  7 juta warga Amerika telah keluar berdemo di Hari Menolak Raja. Rakyat Amerika dari  di seluruh kota, pekan dan desa telah keluar menolak Donald Trump.

Manakala di Kuala Lumpur Anwar berlabun ‘.... Saya nak beri tahu Trump.. bila di Kuala Lumpur nanti... agar  hentikan  perang di Gaza.... ‘ Ini labun  Anwar sebagai  perisai untuk menyelamatkan dirinya dari dituduh munafik.

Cakap dan labun Anwar ini tidak meredakan keadaan.  Suara menentang lawatan Trump ke Kuala Lumpur makin  mengampuh. Satu tunjuk perasaan telah di adakan pada 24 Oktober 2025.  Tunjuk perasan ini menjemput lebih dari  tiga ribu warga yang berarak dari dataran Tabung Haji menuju ke Pejabat Duta Amerika.

Kedutaan Amerika menjadi sasaran yang tepat. Memo dihantar untuk menyatakan bantahan terhadap  peranan Trump dalam membantai warga  Arab Palestin.

Sehari sebelum demo ini berjalan  satu kumpulan anak muda – Kumpulan Anti -Imperialis Amerika-  telah juga datang berdemo di hadapan Pejabat Duta Amerika. Dilaporkan seorang anak  muda telah di tangkap.

Dalam masa yang sama satu lagi demo akan dilakukan di Ampang Park pada 26 Oktober 2025 -  di hari kesampaian Donald  Trump. 

Kali ini kerajaan Madani telah menggunakan jentera polis untuk mengancam  dan menggagalkan  tajuk perasaan  Menolak Trump.   

Pada malam sebelum kesampaian Trump ratusan  motosikal   telah berkonvoi di hadapan Pejabat Duta Amerika. Mereka menunjuk perasaan  membawa bendera Palestin dengan bermotor. 

Pada malam ini berpuluh-puluh penunggang motosikal telah di tangkap oleh  polis. Tangkapan ini tidak di heboh  dan di benamkan oleh media.  Berita puluhan di tangkap  - Anti Trump – ini  pasti akan  mencemarkan nama Anwar Ibrahim  sebagai Tuan Rumah.

Pada 26 Oktober jam 9 pagi warga Malaysia mahu berhimpun sekali lagi di Ampang Park.  Ketua Polis Kuala Lumpur telah membuat kenyataan yang mengancam bakal penunjuk perasaan.

‘ Tindakan keras akan di ambil... pindah dari Ampang Park ke Padang Merbuk atau Dataran Merdeka...’ 

Pada jam 10 pagi 26 Oktober 2025  pesawat yang membawa Trump berlabuh di KLIA.   Anwar Ibrahim  bersongkok dan  berjaket  datang menyambut Trump.  Sambutan bukan hanya permaidani merah  malah dayang-dayang dan kanak-kanak datang mengalu-alukan Maharaja Trump mencecah duli di Kuala Lumur.

Sambil berjoget sambil  ketawa Trump mempelawa Anwar Ibrahim masuk ke dalam kereta Presiden Amerika menuju ke Kuala Lumpur. Ini kereta resmi Presiden yang di terbangkan khusus dari Washington ke Kuala Lumpur. Kereta ini sampai sehari awal dari kesampaian Maharaja.

Hebat  cukup hebat. 

Beberapa jam kemudian  meledak  Bom Atom pertama. Bom ini di ledakan oleh  Mufti Perlis. Agamawan ini menyatakan rasa  gelisah dan kesal melihat dayang-dayang  menari-nari menyambut Maharaja Trump. Sang Mufti  menyampaikan perasaan sedih kerana   Trump bersekongkol   dengan Netanyahu dalam projek genosid  - membunuh beramai-ramai  warga Arab Palestin di Gaza..

Apakah hanya sebutir sahaja Bom Atom meledak? Ada lagi – banyak lagi. Sila tunggu sambungan  labun Anwar dengan Trump ini minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/760171




Tiada ulasan: