Menteri Luar Israel gesa orang Yahudi di luar negara berpindah ke Israel
BAITULMAQDIS: Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menggesa orang Yahudi di luar negara pulang ke Israel susulan peningkatan kes antisemitisme di seluruh dunia.
Gesaan itu dibuat Ia seminggu selepas 15 individu ditembak mati ketika sambutan acara perayaan Yahudi di Sydney, Australia baru-baru ini.
Israel luluskan 19 penempatan baharu di Tebing Barat
BAITULMAQDIS: Israel meluluskan penubuhan 19 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, satu langkah yang menurut menteri kewangan berhaluan kanan negara itu, bertujuan menghalang penubuhan negara Palestin.
Keputusan yang dibuat oleh kabinet keselamatan itu menjadikan jumlah keseluruhan penempatan yang diluluskan dalam tempoh tiga tahun lalu kepada 69, menurut kenyataan Pejabat Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich.
Kelulusan terbaharu itu dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan peluasan penempatan Israel di Tebing Barat, yang kesemuanya dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa, mencapai tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017.
"Cadangan oleh Smotrich dan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz untuk mengisytiharkan serta merasmikan 19 penempatan baharu di Judea dan Samaria telah diluluskan kabinet," menurut kenyataan itu, menggunakan istilah lama Israel bagi Tebing Barat, tanpa menyatakan tarikh keputusan dibuat.
Kelulusan muktamad diberikan oleh Kabinet Keselamatan, yang menjadi sebahagian daripada kerajaan berhaluan kanan Israel.
Smotrich, yang juga seorang peneroka, dikenali sebagai penyokong lantang peluasan penempatan haram.
"Di lapangan, kami menghalang penubuhan sebuah negara Palestin, kami akan terus membangunkan, membina dan mendiami tanah warisan nenek moyang kami, dengan keyakinan terhadap keadilan perjuangan kami," katanya dalam kenyataan itu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, baru-baru ini mengecam apa yang disifatkannya sebagai peluasan penempatan Israel yang 'berterusan tanpa henti' di wilayah yang diduduki itu.
Katanya, ia terus mencetuskan ketegangan, menghalang akses rakyat Palestin ke tanah mereka dan mengancam penubuhan negara Palestin yang merdeka sepenuhnya, demokratik, bersambung wilayahnya dan berdaulat.
Sejak tercetusnya perang di Gaza, gesaan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin semakin meningkat, dengan beberapa negara Eropah, Kanada dan Australia baru-baru ini mengambil langkah untuk mengiktiraf secara rasmi negara itu, sekali gus menerima kecaman Israel.
Satu laporan PBB menyatakan peluasan penempatan kini berada pada tahap tertinggi sejak 2017, iaitu ketika PBB mula menjejak data berkenaan.
"Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya," kata Guterres, sambil menyatakan purata 12,815 unit perumahan dibina setiap tahun antara 2017 hingga 2022.
Tidak termasuk Baitulmaqdis Timur, yang diduduki dan disatukan Israel pada 1967, lebih 500,000 warga Israel kini menetap di Tebing Barat, bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Pejabat Smotrich memaklumkan 19 penempatan yang baru diluluskan itu terletak di kawasan yang disifatkan sebagai 'sangat strategik', dengan dua daripadanya, Ganim dan Kadim di utara Tebing Barat, akan dibangunkan semula selepas diroboh dua dekad lalu.
Sekurang-kurangnya lima daripada 19 penempatan haram itu sebenarnya sudah wujud, namun sebelum ini belum diberikan status sah di bawah undang-undang Israel, menurut kenyataan berkenaan.
Semua penempatan Israel di wilayah Palestin dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa dan terdapat pula penubuhan beberapa pos penempatan haram, yang juga menyalahi undang-undang Israel.
Bagaimanapun, banyak daripadanya kemudiannya disahkan oleh pihak berkuasa Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan pengilhakan wilayah berkenaan. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan