Zahid: Api marak, jangan simbah minyak
Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk tahanan rumah mencetuskan kemarahan Umno manakala ada dikalangan anggota parti kerajaan pula meraikannya.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memuat naik peringatan ringkas satu baris di media sosial dengan latar belakang berwarna merah.
“Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak,” tegasnya memberi amaran.
Pun begitu, hantaran Zahid tidak menyebut sebarang nama.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang tidak pernah menyembunyikan rasa tidak selesanya terhadap kerjasama Umno dengan PH — khususnya DAP — menggesa partinya keluar daripada kerajaan.
Akmal sejak lama dikenali sebagai penyokong setia Najib dan seperti ramai penyokong bekas presiden Umno itu, mereka percaya Najib dinafikan perbicaraan adil.
Pemimpin Umno turut berang terhadap Ahli Parlimen DAP Yeo Bee Yin, yang mencadangkan keputusan mahkamah itu sebagai satu lagi sebab untuk diraikan ketika 2025 menghampiri penutup.
Zambry Abd Kadir, yang juga setiausaha agung BN, menyifatkan kenyataannya tidak sesuai manakala Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali mendakwa ia berunsur biadab.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata Umno berharap Najib akan dikurniakan pengampunan diraja.
Zahid berkata sebagai sahabat rapat, dia terus berdoa agar bekas perdana menteri itu menerima pengampunan pada waktu sesuai, sambil menegaskan keputusan sepenuhnya terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Mahkamah Tinggi Alice Yoke hari ini menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan di rumah.
Mahkamah menolak semakan kehakiman Najib, dengan memutuskan titah adendum diraja Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak sah di sisi undang-undang.
Sehari selepas Krismas, Najib akan mengetahui nasibnya bagi kes berkaitan 1MDB melibatkan RM2.3 bilion, apabila Hakim Collin Lawrence Sequerah dijadual menyampaikan keputusannya pada jam 9 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan