14 ajaran difatwa sebagai sesat dikesan masih aktif
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 ajaran yang difatwa sebagai sesat dikesan masih aktif di negara ini dengan lapan daripadanya di dalam pemantauan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sebanyak 154 ajaran difatwa sebagai sesat sejak 1950 hingga kini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 114 ajaran sesat yang dikenal pasti serta diberi tumpuan oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ajaran sesat antara ancaman terhadap keselamatan negara, selain isu rasuah membabitkan penjawat awam.
"Sebanyak 14 ajaran sesat dikesan masih aktif, manakala lapan dalam pemantauan pihak berkuasa.
"Antaranya Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah, The Ahmadi Religion of Peace and Light," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ceramah sempena program tahunan Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa malam tadi.
Mengulas mengenai isu rasuah, Ayob Khan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap isu rasuah dalam kalangan warganya sendiri bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan itu.
Beliau berkata, isu rasuah adalah ancaman serius kepada nilai integriti terutamanya dalam kalangan penjawat awam.
"PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap isu rasuah dalam warga sendiri kerana integriti adalah kunci utama untuk mendapatkan semula kepercayaan penuh masyarakat terhadap pasukan keselamatan," katanya.
Beliau turut menyaran orang ramai untuk memanfaatkan teknologi moden menerusi sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai saluran penyaluran maklumat yang pantas.
"Masyarakat dan PDRM perlu mempunyai ikatan simbiosis yang kukuh bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara aman dan harmoni," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan