Presiden Taiwan ikrar pertahan kedaulatan sebagai respons terhadap latihan ketenteraan China
TAIPEI: Presiden Taiwan, Lai Ching-te, hari ini berikrar untuk mempertahankan kedaulatan 'pulau demokrasi' itu.
Ketegasan itu disampaikan beliau sewaktu menyampaikan ucapan Tahun Baharu 2026 sebagai respons terhadap latihan ketenteraan yang dijalankan China.
"Sikap saya sentiasa jelas untuk teguh mempertahankan kedaulatan negara, memperkuat pertahanan nasional dan daya tahan seluruh masyarakat, membangunkan kemampuan pencegahan yang berkesan secara menyeluruh serta membina mekanisme pertahanan demokrasi yang mantap," katanya ketika bersiar langsung dari Pejabat Presiden.
Sehari selepas China selesai mengadakan latihan ketenteraan sekitar Taiwan, beliau menegaskan kerajaan akan menumpukan agenda untuk membina negara yang lebih selamat dan tahan lasak.
"Dalam menghadapi pengembangan cita-cita China yang semakin meningkat, komuniti antarabangsa memerhatikan dengan teliti sama ada rakyat Taiwan memiliki tekad untuk mempertahankan diri," katanya.
Latihan ketenteraan yang mendapatkan kekuatan China di sekitar negara pulau itu menyusul pembekalan senjata besar-besaran kepada Taipei oleh Amerika Syarikat (AS) selaku penyokong keselamatan utama Taiwan.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, sebelum ini turut menzahirkan kebimbangan susulan kekerasan terhadap Taiwan boleh mencetuskan tindak balas tentera dari Tokyo.
Ching-te berkata, sokongan antarabangsa terhadap Taiwan tidak pernah goyah, menandakan bahawa 'Taiwan bukan lagi sekadar Taiwan'.
"Kami bukan sahaja tidak dapat digantikan, tetapi juga merupakan kuasa yang dipercayai dan bertanggungjawab demi kebaikan dalam komuniti antarabangsa," katanya.
Ucapan beliau menutup beberapa minggu dramatik di Taiwan, termasuk serangan pisau di Stesen MRT Taipei yang meragut tiga nyawa serta krisis politik domestik yang semakin mendalam.
Parlimen yang dikuasai pembangkang menghalang kelulusan belanjawan tahunan kerajaan dan belanjawan pertahanan tambahan sebanyak AS$40 bilion (RM162.3 bilion) bertujuan membangunkan sistem pertahanan udara bersepadu.
Parti Kuomintang (KMT) dan Parti Rakyat Taiwan marah selepas Perdana Menteri, Cho Jung-tai, dari Parti Progresif Demokratik (DPP), menolak menandatangani pindaan rang undang-undang (RUU) perkongsian hasil yang disokong pembangkang, mengakibatkan ia tidak berkuat kuasa.
Ching-te secara terbuka menyokong keputusan Jung-tai, sehingga tindakan itu terus membangkitkan kemarahan parti pembangkang termasuk memulakan prosiding pemecatannya.
Justeru, beliau berharap pihak kerajaan dan pembangkang dapat bersatu hati.
"Hanya melalui perpaduan bukan perpecahan, kita dapat mengelak memberi isyarat salah kepada China bahawa ia boleh menceroboh Taiwan," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan