RAMAL
RAMALAN 2026
Masuk ke minggu ke tiga tahun 2026 saya hendak menulis tentang apa yang akan berlaku pada tahun 2026. Bukan saya mahu menjadi bomoh penilik nasib. Saya tidak memiliki keilmuan dalam hal tilik-menilik.
Ilmu bomoh saya ini berdasarkan pembacaan saya dan juga melihat trend yang sedang berjalan. Dalam masa yang sama saya melihat kembali babak- babak sejarah yang telah berlalu.
Mustahil para pembaca tidak menyedari apa yang sedang dilakukan oleh Presiden Donald Trump pada pembukaan tahun 2026.
Sebagai penghuni Rumah Putih sosok ini adalah insan yang terkuat sekali dalam dunia kita hari ini.
Presiden Trump mengetuai cabang eksekutif kerajaan persekutuan Amerika. Trump juga adalah ketua komander Angkatan Bersenjata Amerika Syarikat. Tentera Laut, Udara dan Darat Amerika di kepalai oleh Trump.
Trump juga pemegang Beg Hitam dimana tersimpan Punat Merah peledak senjata nuklear. Nah ! Semua ini di bawah telunjuk Trump. Apa Trump mahu Trump akan dapat. Tepok punggung Malania tanya zip seluar.
Dari pemerhatian saya Donald Trump hari ini ialah Maharaja Yang di Pertuan Agong, Raja Segala Raja atau Al-Malik Alam Semesta.
Presiden Amerika yang ke 47 ini adalah jelmaan Raja Nimrod, Ramses Ke Dua, Emperor Caligula , Jeneral Tojo dan Adolf Hitler dalam satu badan yang bernama Donald John Trump.
Hakikat keselamatan dunia kita hari ini semuanya di tangan Trump.
Lihat apa yang telah berlaku kepada Presiden Maduro dan Isteri. Kini dalam penjara di New York menunggu untuk di bicarakan atas tuduhan menyeludup kokain ke Amerika. Tuduhan lawak. Tapi tak ada siapa dapat menahan kuasa mutlak Trump yang mengarahkan bala tentera Amerika menyerang Venezuela.
Lihat dan baca kenyataan Trump terhadap Greenland. Pulau ini mahu dijadikan tanah jajahan Amerika oleh Trump. Trump melihat Beruang Kutub di Greenland sebagai kereta kebal dari Rusia. Trump melihat beribu-ribu Burung Penguin di Greenland sebagai soldadu China.
Justeru Greenland wajib dijajah.
Ketika tulisan ini digarap rundingan diplomasi antara Denmark dan Amerika yang berjalan di Washington DC telah gagal mencapai kata sepakat.
Donald Trump mengulangi ancaman dan berkata : Amerika memerlukan Greenland dan Denmark tidak boleh dipercayai untuk melindungi pulau itu.
Kenyataan ini dibuat selepas mesyuarat penting antara pegawai Amerika Denmark dan Greenland berbincang. Ianya menunjukkan bahawa perbezaan asas kekal antara cara Washington dan Copenhagen untuk masa depan politik pulau itu.
Di luar bilik rundingan Menteri luar Denmark berkata Trump kekal berhasrat untuk "menakluki" Greenland. Ketegangan seperti ini tidak pernah berlaku antara Washington dan sekutu NATO.
Saya tersenyum puas. Kerana selama ini kami dari garis kiri di seluruh dunia menentang NATO. Untuk garis kiri NATO adalah kumpulan tentera yang mempertahankan sistem ekonomi kapitalis di Eropah ketika Perang Dingin dan pasca Perang Dingin.
Kini NATO retak dan menunggu masa untuk terbarai. Terima kasih di ucapkan kepada Donald John Trump. Amin.
Apa sebenarnya yang sedang dilakukan oleh Trump sebagai Presiden Amerika yang ke 47?
Pelbagai teori kita dengar dan baca. Ada yang menuduh Trump ini sedang mengalami sakit otak.
Pada 24 Oktober tahun lepas dilaporkan oleh akhbar The Guardian : Satu kumpulan politik anti-Trump menganjurkan surat yang ditandatangani oleh lebih 200 profesional kesihatan mental. Pakar penyakit otak ini memberi amaran bahawa Donald Trump berbahaya kerana "simptom gangguan personaliti yang teruk dan tidak boleh dirawat - narsisisme malignan", yang menjadikannya "sangat tidak layak untuk kepimpinan".
Apakah betul Trump sakit mental ?
Dari kelakuan , perangai dan perbuatan Trump boleh mengafdalkan tuduhan 200 pakar sakit otak ini. Tetapi dalam masa yang sama Trump juga di pandu oleh satu kumpulan pemikir dan para strategis dari kumpulan garis kanan.
Sebelum menang untuk kali ke dua Trump telah menerima dokumen apa yang di kenali sebagai Projek 2025 atau dikenali juga sebagai Projek Peralihan Presiden 2025.
Projek 2025 ini ialah inisiatif politik yang diterbitkan pada April 2023 oleh Heritage Foundation – NGO Kanan.
Dokumen dasar teras Project 2025 atau The Conservative Promise - Mandat untuk rujukan Kepimpinan Trump.
Dokumen ini tebal lebih 900 halaman, menampilkan 30 bab oleh banyak pengarang dan organisasi konservatif, memperincikan cadangan dasar untuk pentadbiran presiden baharu Donald Trump.
Projek 2025 mahu menyatukan kuasa eksekutif yang memihak kepada dasar sayap kanan. Presiden baru disaran membentuk dan mengamalkan dasar yang membawa perubahan khusus kepada kerajaan persekutuan.
Projek 2025 inilah yang menjadi Kitab Suci Presiden Trump hari ini.
Apa yang sedang kita lihat berlaku dalam badan politik Amerika dan dunia hari ini semuanya merujuk kepada Projek 2025. Kitab ini selari dengan fikrah MAGA - Make America Great Again dan America First.
Apa yang saya tulis ini ialah rujukan garis dan amalan politik Trump. Wajib juga saya beritahu di belakang ini ada latar politik dan ekonomi yang memangkin kewujudan dasar ini.
Hairan bin Takjub para pengamal media dari The New York Times, The Washington Post ke Wall Street Journal - semua gagal melaporkan secara meluas tentang berita ini..
Betul ada laporan tapi hanya sambil lalu sahaja. Tidak mendalam. Tidak diuli dan dicanai sehingga di ketahui umum.
Berita ini ialah "perjanjian petrodollar" antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi yang telah tamat tempoh pada 9 Jun 2024, dan tidak diperbaharui.
Ini bererti jual beli bahan minyak petrol untuk seluruh dunia tidak lagi di paksa menggunakan dolar Amerika.
Perjanjian Petrodolar ini berlaku ketika krisis ekonomi dan minyak tahun 1973. Berlatarkan Perang Vietnam sedang memusnahkan ekonomi Amerika. Presiden Nixon dan Raja Faisal dari Saudi telah membuat perjanjian jual beli minyak ini.
Saudi pengeluar minyak terbesar dalam dunia berjanji akan menjalankan jual beli minyak hanya dengan dolar Amerika. Presiden Nixon berjanji bala tentera Amerika akan menjaga keselamatan rejim Saudi Arabia.
Duit jualan minyak – Petrodollar - semua masuk kembali ke Amerika. Ini menjadikan ekonomi Amerika kukuh. Dolar menjadi hegemon ekonomi. Kalau hendak membeli minyak petrol wajib ada dolar. Harga minyak di tetap eklusif dalam dolar. Tidak ada dolar tidak ada bahan bakar petrol. Amerika terus mencetak kertas hijau untuk menjadi kuasa imperialis dunia.
Masuk tahun 2026 – kuasa dolar merosot. Justeru kita sendiri melihat bagaimana nilai ringgit naik berbanding dolar. Ini adalah manifestasi tamatnya Perjanjian Petrodollar.
Implikasi tamatnya Perjanjian Petrodollar ini amat mendalam. Ini di ketahui oleh pakar ekonomi. Ini di ketahui oleh pemilik bank. Ini di sedari oleh Pengawal Bursa Sham. Para pekerja di Wall Street amat arif dalam hal ini.
Semua mereka yang bersangkut paut dengan jual beli minyak dan jual beli dolar sedang memerhati dengan teliti kan perkembangan yang sedang berlaku.
Trump juga pasti telah mendapat pencerahan dari penasihat ekonomi Rumah Putih.
Tatapi berita ini tidak dijadikan perbualan nasional. Tidak di war war ke sana sini. Tidak di hebohkan sampai nak rak. Kenapa?
Ini untuk mengelakkan berlakunya hilang keyakinan terhadap dolar. Ini untuk tidak melahir panik dan gempaq kepada orang ramai. Bayangkan jika berita ini menjadi perbualan global maka makin ramai orang akan membuangkan dolar untuk mencari mata wang pengganti.
Berita tidak di heboh untuk mengelakkan berlaku Bank Runs - bank run ialah apabila ramai pelanggan mengeluarkan wang mereka daripada bank secara serentak kerana bimbang bank mungkin gagal. Bank hanya memegang sebahagian kecil daripada deposit dalam bentuk tunai – yang lain hanya angka.
Berita buruk tentang dolar akan menimbulkan panik dan lebih ramai orang menarik duit keluar yang berpotensi membawa kepada keruntuhan bank.
Malah lihat dan beri perhatian - sebulan dua ini harga emas , perak dan bahan logam yang larian terus naik. Ini menunjukkan keyakinan terhadap dolar main menurun.
Beri perhatian juga kepada nilai ringgit kita. Bila ringgit naik nilai bermakna ekonomi kuasa Amerika makin luntur.
Apakah ini saja yang di bawa oleh 2026. Tidak. Ada lagi ramalan lain yang lebih besar i yang bersangkutan dengan tamatnya Perjanjian Petrodollar ini.. Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/765757










Tiada ulasan:
Catat Ulasan