DOJ dedah jutaan dokumen, imej dan video fail Epstein
WASHINGTON: Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mendedahkan jutaan halaman baharu daripada fail dokumen pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein, bersama foto dan video.
Keadaan ini sekali gus menambah 'panas' kes yang disifatkan ledakan politik dan terus menghantui Presiden, Donald Trump.
Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, berkata Rumah Putih tidak memainkan sebarang peranan dalam semakan fail yang meluas berkaitan pesalah seks disabitkan itu, yang pernah rapat dengan Trump.
"Mereka tidak memberitahu jabatan ini bagaimana untuk melakukan semakan termasuk apa yang perlu dicari, apa yang perlu disunting, apa yang tidak perlu disunting," kata Blanche pada sidang media.
DOJ memaklumkan sebahagian dokumen yang dikeluarkan mengandungi 'dakwaan tidak benar dan bersifat sensasi' mengenai Trump, , yang dikemukakan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebelum pilihan raya presiden 2020.
Namun Blanche – yang sebelum ini berkhidmat sebagai peguam peribadi Trump – menolak dakwaan terdapat bahan memalukan mengenai presiden itu disunting daripada lebih tiga juta dokumen, 180,000 imej dan 2,000 video yang dikeluarkan pada Jumaat.
"Kami tidak melindungi Presiden Trump. Kami tidak melindungi atau tidak melindungi sesiapa," " katanya.
Blanche berkata semua imej kanak-kanak perempuan dan wanita disunting, kecuali imej Ghislaine Maxwell, yang disabitkan kesalahan memperdagangkan kanak-kanak perempuan bawah umur untuk Epstein dan kini menjalani hukuman penjara 20 tahun.
"Kami tidak menyunting imej mana-mana lelaki.. Mustahil untuk kami menyunting wanita tanpa turut menyunting lelaki itu," katanya.
Epstein, seorang pembiaya kaya AS, meninggal dunia di sel penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas pertuduhan memperdagangkan kanak-kanak perempuan bawah umur untuk tujuan seks.
Kematian itu diputuskan sebagai bunuh diri.
Penyokong kanan Trump sejak sekian lama obses dengan kontroversi isu Epstein dan teori konspirasi yang mana pembiaya itu mengendalikan rangkaian pemerdagangan seks untuk golongan elit dunia.
Trump dan Clinton kedua-duanya disebut secara ketara dalam rekod yang diterbitkan setakat ini, namun tiada seorang pun dituduh melakukan salah laku. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan