UMNO akan `tutup kedai’ jika corak sokongan rakyat sama seperti dua PRU lalu – Zahid
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi khuatir UMNO akan `tutup kedai’ menjelang 20 tahun akan datang sekiranya corak sokongan rakyat kepada parti itu kekal seperti yang berlaku pada dua pilihan raya umum lalu.
Menurutnya, disebabkan persepsi dan prasangka negatif, pengundi baharu yang pada mulanya berhasrat untuk mengenali UMNO, juga akan menjauhkan diri.
Oleh itu, beliau menggesa ahli-ahli UMNO khususnya barisan pelapis parti mencipta sesuatu yang luar biasa dalam menangkis persepsi dan prasangka negatif terhadap UMNO berkenaan.
“UMNO akan bangkit semula dengan syarat persepi negatif terhadap parti ini ditukar, maka kita mesti mampu mewujudkan `keluarbiasaan’, bukan hanya slogan atau retorik tetapi ia wajib dilakukan,” katanya.
Beliau berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun pertama Sekolah Politik UMNO (SPU) di sini, malam ini.
Ditubuhkan kira-kira setahun lalu, SPU sehingga kini berjaya melahirkan seramai 158 orang Patriot yang terdiri 48 Patriot kumpulan perintis; 54 Patriot pengukuhan dan 56 Patriot peneraju.
Seramai 158 Patriot itu adalah duta idea yang akan menjadi generasi yang membawa nafas baharu kepada perjuangan UMNO dan menghidupkan semula naratif UMNO dengan pendekatan yang lebih segar, lebih matang serta lebih berpandangan jauh.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau mahu 158 produk Patriot SPU menjadi para pemikir baharu untuk menganalisis, merumus dan memberi pandangan kepada kepimpinan UMNO.
Ia termasuk berkenaan aspek yang wajib dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam tempoh 20 tahun akan datang iaitu dalam menuju ke usia 100 tahun, termasuk dalam menilai semula jenama BN supaya terus relevan dalam kalangan pengundi.
Beliau turut berharap produk Patriot SPU mampu melahirkan pelapis kepimpinan dan mencorakkan landskap politik negara pada masa depan.
“SPU merupakan produk UMNO yang baik dan mesti melahirkan produk lebih baik yang boleh kita jual supaya berada di pasaran politik dan diterima sebagaimana jenama popular lain.
“Kepada saudara (Patriot SPU), saya dan UMNO meletakkan harapan dan semoga harapan ini diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan