PETRONAS berjaya buka lebih 60 stesen minyak di Brazil
KUALA LUMPUR: PETRONAS berjaya membuka lebih 60 stesen minyak berjenama PETRONAS di Brazil, sekali gus terus mengukuhkan jenama Malaysia di persada antarabangsa.
Laporan Tinjauan Aktiviti PETRONAS 2026-2028 mendedahkan bahawa pencapaian ini direalisasikan menerusi perkongsian strategik dengan rakan niaga tempatan, SIM Distribuidora.
Pembukaan stesen-stesen terbabit membolehkan produk bahan api premium PETRONAS Primax dan rangkaian pelincir PETRONAS Syntium dibawa terus kepada pengguna di negara Amerika Selatan itu.
"Inisiatif pelesenan jenama runcit ini adalah sebahagian daripada strategi pengembangan jejak global syarikat," kata laporan itu.
Sementara itu di China, PETRONAS Lubricants International (PLI) telah melancarkan Pusat Perkhidmatan Teknikal Tenaga Baharu PETRONAS di Jiaxing.
Kemudahan baharu itu membuktikan komitmen mendalam syarikat terhadap pasaran China yang pesat berkembang.
Pusat teknikal ini menawarkan perkhidmatan teknikal yang disesuaikan khusus untuk pengeluar peralatan asli (OEM) dan pembekal alat ganti automotif.
Ia bertujuan memastikan penyampaian penyelesaian termaju yang mampu memacu pertumbuhan mampan dan inovasi di rantau tersebut.
Selain itu, sektor hiliran juga memberi tumpuan kepada pengembangan dalam bahan kimia khusus.
PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) memperkenalkan produk olefins and derivatif baharu, HL701, yang merupakan surfaktan dengan Indeks Karbon Boleh Diperbaharui yang tinggi, selari dengan peralihan industri ke arah penyelesaian lestari.
Bagi segmen biobahan api, PETRONAS dengan kerjasama Enilive dan Euglena bakal membangunkan loji penapisan bio di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
Kemudahan ini dijadualkan beroperasi pada separuh kedua 2028 untuk menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dan Diesel Boleh Diperbaharui (HVO).
Perkembangan ini menunjukkan bahawa walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran global, PETRONAS terus mencari peluang pertumbuhan baharu di luar negara sambil mempelbagaikan portfolio produknya untuk kekal kompetitif.
Laporan itu menyimpulkan bahawa pelaburan dalam teknologi pemprosesan termaju dan pertumbuhan infrastruktur akan menyokong peralihan PETRONAS ke arah penyelesaian tenaga masa depan, membolehkan ia beradaptasi dengan dinamik pasaran yang berubah.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan