Geng Sojul tumpas, kenakan bayaran RM12,000 seludup warga asing
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan Geng Sojul disyaki sebagai “pengangkut” kepada sindiket penyeludupan migran dengan penahanan masing-masing seorang warga tempatan dan Bangladesh, di sini, pada Ahad.
Ketua Pengarahnya, Zakaria Shaaban berkata, seramai 20 warga asing dipercayai diseludup masuk ke negara ini ditahan di sekitar Jalan Kuchai Lama.
“Dalam serbuan pertama pada jam 1.30 petang, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan dipercayai membawa migran yang diseludup berjaya dipintas di kawasan parkir di sebuah pasaraya.
“Hasil pemeriksaan, seramai enam lelaki dan seorang wanita warganegara Bangladesh dan seorang lelaki warganegara Myanmar telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, kata Zakaria, kemudian serbuan susulan telah dijalankan ke sebuah rumah persembunyian yang dijadikan transit sindiket di sebuah kondominium sekitar Kuchai Lama.
“Hasil pemeriksaan, seramai 12 lelaki warganegara Bangladesh dipercayai baru tiba dari negara jiran dan sedang menunggu untuk dihantar ke beberapa negeri di Selatan dan sekitar Lembah Klang telah ditahan.
“Kesemua yang ditahan berumur 18 hingga 49 tahun,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menyita dua kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan, beberapa pasport Bangladesh serta wang tunai berjumlah RM82,100 dan mata wang asing ASD3,700.
Katanya, kesemua 20 warga asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966,” katanya.
Katanya lagi, sindiket itu yang dipercayai aktif sejak Disember 2025 dengan menyediakan perkhidmatan membawa masuk warganegara asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga.
“Sindiket juga membawa warga asing masuk secara haram melalui Kelantan dan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi-destinasi tertentu,” katanya.
Menurutnya lagi, sindiket mengenakan bayaran sebanyak RM12,000 bagi setiap migran yang diseludup dan dipercayai telah mengaut keuntungan sekitar RM1.2 juta sejak beroperasi.
“JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:
Catat Ulasan