Rabu, 18 Februari 2026

SELAMAT MAJU JAYA KEPADA BANGLADESH


SELAMAT MAJU

JAYA KEPADA

BANGLADESH

AMIN

BANGLADESH

BANTU 

MALAYSIA DENGAN

TENAGA KERJA

AMIN

BANGLA BERJAYA

KITA IKUT SAMA

GUMBIRA

KHALAS


Tarique Rahman angkat sumpah Perdana Menteri Bangladesh


DHAKA: Pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh  (BNP), Tarique Rahman, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Selasa, sekali gus menandakan perubahan politik penting di negara Asia Selatan itu.

Rahman, 60, yang juga anak bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia dan Presiden Ziaur Rahman yang dibunuh, mengambil alih jawatan selepas parti beliau mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen.

Beliau menghadapi pelbagai cabaran termasuk memulihkan kestabilan politik, membina semula keyakinan pelabur dan menghidupkan semula industri utama seperti sektor pakaian.

Negara Asia Selatan itu kini perlu bangkit kembali selepas selepas kekacauan susulan pemberontakan ditunjangi generasi Z yang menumbangkan kerajaan dikuasai Liga Awami pimpinan Sheikh Hasina pada 2024.

Pentadbiran sementara di bawah pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus, kemudian mentadbir negara sepanjang tempoh peralihan sehingga pilihan raya umum (PRU).

Berbeza daripada tradisi, majlis angkat sumpah terbuka diadakan di South Plaza, Parlimen Bangladesh, bukan di Bangabhaban, kediaman rasmi presiden.

Presiden Mohammed Shahabuddin menyempurnakan majlis ketika Rahman dan 49 anggota majlis menteri mengangkat sumpah di hadapan tokoh politik kanan, diplomat, pegawai awam dan tentera serta wakil beberapa negara termasuk China, India dan Pakistan.

Kerajaan baharu itu merangkumi menteri kanan dan junior, gabungan pemimpin berpengalaman BNP dan muka baharu, mencerminkan usaha untuk mengimbangi pengalaman politik dengan kepakaran teknokrat.

Kerajaan baharu itu kini menumpukan kepada pemulihan ekonomi, undang-undang dan ketenteraman, serta reformasi tadbir urus.

Bekas Menteri Perdagangan, Amir Khasru Mahmud Chowdhury dilantik sebagai Menteri Kewangan, manakala Khalilur Rahman, yang sebelum ini menjadi penasihat keselamatan negara dalam kerajaan sementara, dilantik sebagai Menteri Luar.

BNP pimpinan Rahman memperoleh majoriti dua pertiga yang kukuh, kembali berkuasa selepas hampir dua dekad.

Parti Islam, Jamaat-e-Islami, yang menyertai pilihan raya buat pertama kali sejak larangan ke atas mereka ditarik balik pada 2013 selepas kejatuhan Hasina, memenangi 68 kerusi. Ia rekod tertinggi kerusi pernah dimenangi parti terbabit.

Parti Awami League pimpinan Hasina diharamkan daripada bertanding selepas pendaftarannya dibatalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Jamaat dan sekutunya termasuk National Citizen Party (NCP), diketuai aktivis belia yang memainkan peranan penting dalam gerakan menumbangkan Hasina, akan membentuk kumpulan pembangkang.

Bagaimanapun, parti Jamaat dan NCP tidak menghadiri majlis berkenaan sebagai protes selepas parti ditunjangi Rahman menolak permintaan kerajaan sementara supaya ahli Parlimennya mengangkat sumpah tambahan di bawah cadangan 'Majlis Reformasi Perlembagaan'.

Majlis itu bertujuan meminda Perlembagaan selepas referendum yang diadakan serentak dengan PRU.

Pelantikan Rahman menandakan penghujung perjalanan politik panjang dan bergelora.

Beliau kembali ke Bangladesh tahun lalu selepas 17 tahun mengasingkan diri di London, namun kembali pulang ke tanah air sebelum ibunya meninggal dunia.

Dalam kenyataan pertamanya selepas pilihan raya, Rahman menggesa ketenangan dan kawalan diri.

"Keamanan, undang-undang dan ketenteraman mesti dikekalkan dalam apa jua keadaan ... Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kekacauan," katanya. - REUTERS

Tiada ulasan: