BUAT BANGUNAN
ATAS TANAH
BUKAN MILIK
ADALAH SALAH
AMIN
HUKUM DAN LAW
DAH JELAS
AMIN
MAJLIS TEMPATAN
WAJIB BERTINDAK
CEPAT
AMIN
JANGAN TUNGGU
SIMIN JADI BATU
KHALAS
Kerajaan Diingatkan Jangan Sekadar Beri Tapak Ganti
KUALA LUMPUR | 16 Mac 26 — Wartawan veteran, A Kadir Jasin mengingatkan kerajaan supaya tidak sekadar memberikan penyelesaian sementara dalam menangani pertikaian melibatkan rumah ibadat yang dibina di atas tanah milik pihak lain.
Menurut beliau, penyelesaian seperti pemberian tapak ganti dan bantuan kewangan mungkin mampu meredakan ketegangan jangka pendek, namun ia tidak menjamin kontroversi yang sama tidak akan berulang pada masa depan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pertikaian berhubung tapak rumah ibadat haram.
“Sebagai individu saya menghargai penyelesaian yang dicapai, dan sebagai Muslim saya tentulah mengalu-alukan pembinaan masjid di situ. Namun saya tidak nampak penyelesaian kes ini akan menjamin perkara sama tidak berulang melainkan ia menjadi acuan yang digunakan kerajaan untuk semua kes serupa,” katanya dalam hantaran facebook, hari ini.
A Kadir menjelaskan, jika kerajaan terus menggunakan pendekatan memberi tapak ganti setiap kali berlaku pertikaian rumah ibadat, ia berpotensi mewujudkan persepsi bahawa isu tersebut boleh diselesaikan secara ad hoc tanpa penyelesaian dasar yang menyeluruh.
Sehubungan itu, beliau mengulangi cadangannya supaya kerajaan mewujudkan satu daftar rasmi rumah ibadat semua agama bagi memastikan kedudukan serta status setiap rumah ibadat dapat dikenal pasti dengan jelas.
Menurutnya, semua rumah ibadat – sama ada dibina di tanah sendiri atau menumpang – wajar didaftarkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan pertikaian berlarutan.
“Selain pendaftaran, penguatkuasaan yang tegas juga perlu. Setiap pengasas atau pemilik rumah ibadat wajib melaporkannya kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa agensi kerajaan, khususnya Polis Diraja Malaysia, perlu dilihat bertindak secara profesional dan adil dalam mengendalikan isu sensitif melibatkan agama.
Katanya, persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang dipengaruhi kepentingan politik atau sikap mengampu pihak tertentu boleh mencetuskan ketegangan yang lebih besar.
Mengimbau pengalaman lebih lima dekad sebagai wartawan, A Kadir berkata beliau pernah menyaksikan beberapa insiden ketegangan kaum, termasuk pergaduhan di Kampung Medan pada tahun 2001 yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.
Menurutnya, konflik seperti itu boleh tercetus semula jika isu berkaitan agama dan tempat ibadat dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian yang sistematik.
Beliau turut mengingatkan bahawa faktor kemiskinan dan persaingan ekonomi antara komuniti juga boleh menjadi pencetus konflik, selain kemungkinan campur tangan kumpulan jenayah jika keadaan dibiarkan berpanjangan.
“Adalah amat berbahaya jika kerajaan dan aparatnya nampak berat sebelah dalam menangani isu ini atau lebih cenderung mengampu daripada menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Baru-baru ini, kontroversi tercetus di Rawang selepas sebuah kuil Hindu, Sri Uchimalai Muniswaran Temple didakwa dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik pihak swasta.
Ketegangan memuncak apabila sekumpulan individu cuba merobohkan struktur kuil tersebut, mencetuskan bantahan serta tindakan polis. Beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan sebelum Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah reman terhadap mereka.
Sehingga berita ini ditulis, isu tersebut masih terus dibincangkan oleh banyak pihak termasuk Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zaina atau MAZA. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan