Khamis, 9 September 2010

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA



KENYATAAN MEDIA
8 SEPTEMBER 2010


Ramadan yang diberkati baru sahaja meninggalkan kita. Sebulan berlalu terasa begitu pantas.

Sebaik sahaja bermula 10 terakhir Ramadan, junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, tabi’in dan salihin mulai merasa hiba, sedih dan pilu. Bulan yang kita lalu penuh nikmat ini akan pergi. Bulan yang sarat dengan keredhaan, rahmat dan pengampunanNya ini akan berlalu. Tidak ada jaminan kita akan menemuinya lagi pada tahun mendatang.

Ramadan ini hakikatnya bulan luar biasa. Dibulan yang rahmat ini, begitu mudah kita menahan lapar dan dahaga selama sebulan. Juga, kita begitu selesa melaksanakan solat tarawih dan amal ibadat di malam hari yang lain. Malah, dibulan mulia ini juga kita berupaya mengawal segala anggota lahir dan batin kita supaya bersungguh-sungguh melakukan apa yang diredhai Allah. Terbukti, bahawa kita mampu mengawal tuntutan nafsu dan syahwat kita jika kita mahu. Namun, bukanlah mudah untuk kita mengulangi amalan seperti ini di bulan-bulan yang lain. Inilah kemulian dan istimewanya Ramadhan.

Kini, 1 Syawal kembali menjelma. Sesungguhnya ‘Eidul Fitri mempunyai erti yang cukup ma’nawi bagi setiap perorangan Muslim. Ia adalah tanda kemenangan (falah). Kemenangan yang hakiki di sisi Allah SWT hanyalah bagi mereka yang telah berjaya melaluinya melaluinya dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan ketekunan. Maka itu, berasa bahagialah bagi mereka yang memenanginya. Dan merugilah bagi mereka yang telah ditewaskan.

Sambutan ‘Eidul Fitri ini akan menjadi cukup berarti andainya kita berupaya mengekalkan kualiti diri seperti mana yang diamalkan di Ramadan yang lalu. Kita perlu bertekad secara serius untuk mengangkat martabat diri sebagai khaira ummah. Ia hanya akan dicapai dengan memiliki shakhsiyyah zahiriyyah dan ma’nawiyyah iaitu penghayatan nilai kerohanian yang tinggi, memiliki akhlak mulia serta kekuatan ilmu yang mencerahkan akal dan mata hati batin (basirat ul-qalb).

Justeru, selain kegembiraan dengan kehadiran syawal, ‘Eidul Fitri juga bererti ruang untuk kita mengekalkan amalan mengawal nafsu ammarah diri yang rakus dan menundukkannya kea rah ketaqwaan kepada Allah. Malah, kita wajib berikhtiar membanteras segala bentuk kemunkaran – kezaliman, salah guna kuasa, kebiadaban, pembohongan, penghinaan, pemfitnahan dan lain-lain amalan keji (mazmumah) yang terkutuk disisi Tuhan yang Maha Esa. Jangan hendaknya kesucian ‘Eidul Fitri ini dinodai dengan dosa-dosa baru setelah kita dijanjikan oleh Allah SWT kembali kepada fitrah suci diangkat darjat kepada kelompok insane yang bertaqwa disepanjang Ramadan yang lalu.

Selanjutnya, ‘Eiidul Fitri ini adalah saat yang terbaik untuk meningkatkan kualiti silaturrahim sesama keluarga, jiran dan sahabat handai serta memberikan keprihatinan kepada golongan lemah dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan kaum, sesuai dengan sifat Islam itu sebagai agama rahmat ke seluruh alam.

Dengan warkah ini, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) KeAdilan mengucapkan Selamat Menyambut ‘Eidul Fitri kepada seluruh kaum Muslimin. Semoga sambutan kali ini mendapat barakah dari Allah SWT. Maaf Zahir dan Batin.

Dr. Muhammad Nur Manuty
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

selamat hari raya mungkeee..