.

Rabu, 24 Februari 2016

DARI MANA HENDAK KE MANA






FACE BOOK

surat ini telah lama hendak aku tulis
telah lama berligar-ligar dalam kepala
biar aku bacakan disini
agar kau boleh tidur lena malam ini
kerana isinya 
amat selalu kau dengar

yang aku dendangkan di sini
kau jadikan halwa telinga
kau jadikan ingatan bersama
kau jadi salam setiakawan dari aku

biar aku katakan jujur
aku tidak ingin lagi berkesah
tentang adam dan hawa 
aku tidak mahu membuka
kesah cinta
kesah duka kesah lara

sebenarnya surat aku ini 
aku tulis untuk bertanya
aku ingin bertanya kepada kau
kita ini hendak kemana?
kita ini sedang dimana?
kita ini dari mana?

seribu tahun aku berkelana
seribu tahun mundar mandir
seribu tahun aku mencari
jawabnya belum terjumpa lagi


seribu tahun aku menangis
tujuh kampong tenggelami air
tujuh gunung runtuh terbarai
tujuh bukit menjadi lembah
jawapannya masih aku tunggu

dari sini ke sana
dari sana ke sini
dari hujung ke pangkal
dari utara ke barat
aku geledah mencari jawapan

kau tahu apa yang aku tanya ini
kau tahu apa yang aku cari
kau tahu apa yang aku geledah


kau tidak akan tahu musim bunga
kalau kau tak rasai musim dingin
kau tak tahu indah mata hari
kalau kau tidak dilanda banjir
kau tak tahu erti kaseh
kalau kau tidak pernah ditinggalkan
kau tak tahu erti lambat
jika kau tak pernah menunggu
kau tidak akan tahu apa itu bebas
jika kau tidak pernah terkurung

lalu aku ingin bertanya lagi
kita ini dari mana hendak kemana?
kita ini dari apa kepada siapa?
kita ini untuk apa dan kenapa?

bila pintu besi itu ditutup
bila bilik itu dikunci
bila kau menjadi angka
aku yakin kau juga akan bertanya


bila pintu itu ditutup
bila bilik itu dikunci
kau juga akan bertanya
ke mana pergi segala guru
ke mana perginya para imam 
ke mana pergi segala tok penghulu
ke mana hilangnya para sasterawan
ke mana lesapnya para pemikir
kemana larinya para orang itu
dimana hilangnya ayat ayat itu

bila pintu itu dikunci
bila bilik itu ditutup
kau akan menjadi aku


kau akan sedar
yang ditunggu bukan
kunci pintu besi
yang ditunggu bukan
saekor lipas kudung
yang aku tunggu 
ialah jawapan
kenapa kita ini macam ini?
kenapa kita tidak macam itu? 
kenapa aku disini?
kenapa aku tidak disitu?
kenapa macam ini?
kenapa tidak macam itu?

- Hishamuddin Rais, 19 Februari 2016 





-------------------

Tiada ulasan: