Pilihan raya negeri tidak semudah yang dijangka
KURANG 100 hari dari sekarang, enam negeri pula akan melengkapkan proses pilihan raya negeri (PRN) bagi memilih ketua kerajaan negeri yang baharu. Dalam tempoh singkat, Malaysia sekali lagi memasuki mod dan demam pilihan raya.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu mencatatkan sejarah apabila beberapa negeri (di Semenanjung) tidak mengadakan pilihan raya secara serentak dengan Parlimen. Ia membuka laluan kepada pilihan raya negeri dibuat berasingan.
PRN kali ini bukan suatu yang mudah untuk diteka. Unjuran dan ramalan yang dibuat penganalisis masih banyak boleh dipersoalkan.
Pecutan dan perfomance saat akhir parti bertanding bagi penulis antara faktor yang boleh mencetuskan kemenangan. Faktor ‘menguasai keadaan semasa’ atau ‘situasi di saat-saat akhir’ merupakan kunci untuk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau seterunya Perikatan Nasional (PN) menawan negeri yang diidamkan.
PN tampak awal mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi PRN. Siap Siaga 100 hari telah dilancarkan beberapa hari lalu. Selain mereka mengatakan bahawa rundingan kerusi telah selesai –adakah ini perang saraf kepada PH dan BN yang masih belum memuktamadkan agihan kerusi.
Maka, timbullah segala ‘genre lagu’ yang sifatnya memuji dan mencemuh parti pemerintah dan parti pembangkang untuk menaikkan populariti dan melemahkan pesaing masing-masing.
Justeru, mod rakyat juga tidak pernah putus dengan kegiatan dan cakap-cakap politik. Apatah lagi, parti bertanding sentiasa dalam mod perang dan tempur.
Secara tak langsung, wujudnya tingkah laku baharu dalam kehidupan politik seharian. Pilihan raya di Malaysia kini semacam ‘menu pilihan utama’ selepas pilihan produk dan perkhidmatan –sering bertukar cita rasa.
Sudah tentu, produk yang dipilih oleh pengundi dalam PRN nanti bukan ‘sejenis barangan’ yang digunakan dalam kehidupan seharian. Namun ‘produk perkhidmatan’ yang bakal dipilih kelak, baik calon atau parti yang diwakili, akan memberi impak kepada kebajikan rakyat untuk jangka masa panjang.
Tulisan ini adalah pandangan awal penulis sebelum PRN yang akan menjelang beberapa bulan dari sekarang (dijangka Julai atau awal Ogos). Dalam tempoh tersebut, kita tidak boleh menolak kemungkinan akan adanya pemboleh ubah-pemboleh ubah baharu yang boleh menghasilkan keputusan pola pengundian berbeza.
Biasanya kayu ukur sesuatu pilihan raya yang bakal dijalankan berdasarkan analisis keputusan piihan raya terdahulu –merujuk kepada duluan PRU15. Sejauh manakah PRU15 memberikan sandaran yang kukuh untuk keputusan PRN di enam negeri.
Ramai penganalisis biasanya meletakkan tanda ukur berdasarkan keputusan PRU lalu. Secara umumnya bermaksud Kedah, Kelantan dan Terengganu akan terus kekal dikuasai oleh PN, bahkan gelombang hijau akan terus melimpah di tiga negeri yang rata-ratanya merupakan kawasan Malay belt.
Malah, PN optimis terhadap gelombang hijau yang tercetus, di samping mengharapkan ‘revolusi undi Melayu’ akan menyebelahi mereka. Dalam erti kata, mereka percaya pengundi Melayu akan ‘habis-habisan’ atau all out mengundi mereka termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
Di sebalik ini, seolah-olah kekuatan Umno sebagai parti Melayu diperlekehkan PN.
Persoalannya, adakah gelombang hijau ini adalah ‘fenomena yang berpanjangan’ atau hanya ‘fenomena yang bersifat sementara’ yang boleh dihentikan.
Perlu diingatkan, gelombang hijau tidak semua menghempas kawasan seluruh negara, cuma gelombangnya begitu dirasai kesannya di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, sebahagian Pahang, Utara Perak dan beberapa kawasan di Pulau Pinang (khususnya kawasan luar bandar).
Fenomena bersifat sementara, pengundi tidak statik
Selepas PRU 2018, Malaysia melalui 12 kali pilihan raya kecil (PRK) dan 3 PRN iaitu di Sabah, Melaka dan Johor.
Sekiranya diambil keputusan PRN dan PRK lepas (baca: pasca PRU14 dan sebelum PRU15), gabungan BN lah yang paling berkelebihan untuk menang PRU15 – mereka menang 7 PRK dan 2 PRN. Johor dan Melaka paling cemerlang memenangi 2/3 majoriti.
PH dan PN diaibkan begitu teruk sebelum PRU15 sehingga menolak PRU diadakan awal. BN merupakan gabungan pilihan untuk menang berdasarkan pilihan raya terakhir di Johor dan Melaka.
Era yang disebutkan sebagai zaman kebangkitan semula Umno/BN pada masa itu – tiba-tiba sejarah parti LDP di Jepun dijadikan sebagai ukuran dan Umno dijangka comeback selepas terpukul cedera dalam PRU14.
Namun terjadi sebaliknya. Gelombang dan fenomena kebangkitan Umno/BN hanya bercorak sementara dan momentum tersebut tidak dapat diteruskan sehingga ke PRU15. Meskipun perdana menteri daripada Umno, ia tampak tidak banyak memberi kelebihan untuk kemenangan BN.
Begitu cepatnya pengundi menukar pilihan parti dalam tempoh waktu yang agak singkat (dalam masa lapan bulan PRN Johor) sahaja BN terus jatuh merudum.
Tingkah laku itu berkait dengan tingginya tendensi mereka dalam mengubah fikiran dan pilihan daripada satu pilihan raya kepada satu pilihan raya iaitu dalam jangka masa beberapa bulan. Menguatkan pandangan bahawa pengundi di Malaysia kini telah bertindak sebagai ‘pengguna politik’ dalam beberapa siri pilihan raya selepas 2018 dan PRU15 2022.
Keputusan PRU, PRN dan PRK dari 2018 hingga 2022 menunjukkan tidak ada pemenang mutlak. Tidak ada fenomena yang berpanjangan mampu dikekalkan oleh mana-mana gabungan politik – sekejap yang ini menang, sekejap yang itu kalah.
Tingkah laku pengundi sangat dinamik. Bukan suatu yang luar biasa jika dikatakan faktor kehendak, pilihan menukar dan rasa ingin mencuba sesuatu yang baru menjadikan pengundi bersedia untuk mengubah sekali lagi kerajaan negeri pilihan mereka sebelum ini.
Gelanggang dan pertandingan PRN berbeza, formatnya juga berbeza. Pengundi juga semestinya membuat pertimbangan berbeza daripada pentas PRU.
Tidak hairan jika Kedah dapat dirampas semula oleh BN hasil pakatannya dengan PH. Begitu juga, tidak pelik jika PN mampu menawan Negeri Sembilan.
Banyak lagi faktor pencelah yang boleh dibincangkan. Situasi PRU15 yang lalu dengan PRN di enam negeri yang bakal diadakan nanti sangat berbeza.
Antaranya gabungan PH dan BN telah membentuk sekutu dan pakatan baru politik – ia merupakan satu testimoni yang hendak ditawarkan kepada pengundi. Tidak seperti PRU15, BN dan PH adalah seteru politik utama, kini mereka telah ‘berkawan’.
Sejauh manakah penyokong tipikal PH dan segmen pengundi Melayu Umno dapat menerima kerjasama kedua blok gabungan tersebut. Ia pastinya akan menghasilkan keputusan berbeza lagi.
Namun kita tidak boleh terlalu yakin gabungan dan campuran undi PH dan BN akan menghasilkan kesan penggandaan jumlah undi. Politik bukan matematik, tambah tolak begitu sahaja. Politik adalah seni yang sukar untuk diramalkan.
Sebenarnya, perkembangan yang berlaku telah merombak sejarah pilihan raya di Malaysia sekali gus meletakkan pasca 2022 sebagai era perombakan sejarah politik Malaysia.
Ia menyaksikan tabiat pengundi dalam tempoh singkat telah menzahirkan perasaan sekejap suka, sekejap benci dan kembali sayang. – 27 Mac 2023.
* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan