Indonesia, Australia meterai Perjanjian Kerjasama Pertahanan
JAKARTA: Indonesia memeterai Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) dengan Australia, semalam, sekali gus mencerminkan komitmen serius kedua-dua negara untuk meningkat dan mengukuhkan hubungan pertahanan dalam kerangka kerjasama strategik yang komprehensif.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto yang juga Presiden dipilih, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Donald Marles, di Akademi Tentera di Magelang, Jawa Tengah.
Menurut Kementerian Pertahanan Indonesia, pemeteraian DCA antara kedua-dua negara itu dimungkinkan oleh kerjasama pertahanan yang mantap selama hampir 60 tahun sejak 1967.
"Kerjasama antara Indonesia dengan Australia semakin kukuh setiap tahun dan memberi manfaat yang meluas kepada kedua-dua negara, walaupun pada masa yang mencabar," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak yakin DCA akan membantu dengan ketara untuk menjangkakan ancaman terhadap keselamatan pada masa depan di rantau Asia-Pasifik, melalui usaha pertahanan bersama yang bertujuan mengekalkan keamanan dan kestabilan.
Kementerian itu menjelaskan keputusan untuk meningkatkan DCA kepada perjanjian yang mengikat secara sah, didorong oleh peningkatan kerjasama ketenteraan sejak sedekad lalu, terutama dalam bidang pendidikan dan latihan.
Antaranya, menghantar kadet Angkatan Pertahanan Negara Indonesia (TNI) untuk belajar di Akademi Angkatan Pertahanan Australia (ADFA) dan Kolej Tentera Diraja Duntroon; rancangan untuk misi bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara TNI dengan ADF; dan juga meningkatkan latihan bersama merentasi tiga perkhidmatan kedua-dua negara.
Pada sidang media, Prabowo menjelaskan DCA 'bukan pakatan ketenteraan atau perikatan ketenteraan, tetapi kerjasama pertahanan.'
"Ini menandakan hasrat kami untuk meneruskan dan mengukuhkan persahabatan kami yang rapat serta cemerlang. Saya komited untuk memastikan hubungan antara Indonesia dengan Australia kekal kukuh pada masa depan.
"Australia adalah antara negara yang pertama menyokong kemerdekaan kami. Kami menghormati itu dan tidak akan melupakan bagaimana anda mempertahankan kami dalam perjuangan kami untuk kedaulatan," katanya.
Sejak Mac 2023, lebih 30 mesyuarat penyelarasan secara dalam talian dan bersemuka diadakan untuk menyediakan draf perjanjian, dengan rundingan dijalankan melalui mesyuarat di Jakarta pada Mei dan Disember serta di Canberra pada Ogos 2023. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan