Polis rampas darjah kebesaran SSAP dari Pengarah Redtone
KUALA LUMPUR – Polis telah merampas beberapa peralatan Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang palsu daripada Pengarah Redtone Sdn. Bhd., Badrul Hisham Abdul Aziz.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, rampasan dibuat susulan laporan daripada Jumaah Pengakuan Diraja Negeri Pahang berhubung penggunaan darjah tersebut yang tidak wajar oleh individu itu sejak beberapa tahun lalu.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek-suspek lain yang terlibat dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang.
“Penama ini akan dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, gelaran atau anugerah (mencegah penggunaan tidak wajar) Pahang 2017 kerana telah menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau menasihati mana-mana orang supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia adalah satu kesalahan jenayah.
Terdahulu, polis telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penggunaan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu membabitkan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, tindakan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang.
Difahamkan, satu laporan berhubung kes itu dibuat di Kuantan, Pahang pada 26 Julai lalu.
Semakan di laman rasmi syarikat telekomunikasi itu mendapati individu itu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sejak 1 September 2022. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan