Sekat Edisi Siasat, Pemuda Bersatu dakwa ada usaha lindung skandal
Pemuda Bersatu (Armada) hari ini mengecam tindakan kerajaan menyekat akses kepada saluran Telegram Edisi Siasat, yang dikenali sebagai antara platform yang kerap mendedahkan isu berkaitan salah guna kuasa dan rasuah.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu Armada Bersatu, Na’im Brundage mendakwa penyekatan itu memberi “isyarat jelas bahawa kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.”
“Edisi Siasat adalah satu saluran Telegram yang telah memainkan peranan penting dalam mendedahkan salah laku dan penyalahgunaan kuasa yang jarang mendapat liputan media arus perdana,” katanya.
Tambahnya, tindakan itu juga menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sedang cuba menutup maklumat berhubung skandal yang melibatkan pihak berkepentingan dalam pentadbiran.
‘Kenapa tak sekat pelacuran, judi?’
Na’im turut mempersoal keutamaan kerajaan dalam melakukan penyekatan kandungan atas talian, dengan menyatakan bahawa masih terdapat banyak saluran Telegram lain yang didakwa menyebar aktiviti jenayah secara terang-terangan.
“Lebih membimbangkan, berdasarkan laporan awam terdapat banyak saluran Telegram yang mempromosikan aktiviti jenayah seperti pelacuran, perjudian haram dan penipuan dalam talian yang masih bebas beroperasi tanpa sebarang sekatan.
“Kerajaan seharusnya menumpukan usaha mereka kepada saluran-saluran yang terlibat dalam jenayah secara terang-terangan seperti ini, bukannya menyekat saluran yang berperanan sebagai pendedah maklumat seperti Edisi Siasat,” katanya lagi.
‘Takut pada kebenaran’
Tambah Na’im, langkah menyekat Edisi Siasat tanpa penjelasan atau proses yang telus akan hanya menjejaskan persepsi rakyat terhadap iltizam pentadbiran semasa dalam isu ketelusan.
“Kegagalan kerajaan untuk menarik balik sekatan terhadap saluran Telegram Edisi Siasat ini hanya akan menguatkan persepsi rakyat bahawa kerajaan yang memerintah kini takut kepada kebenaran, tidak komited membanteras rasuah, dan cenderung untuk menyekat kebebasan bersuara demi menjaga kepentingan politik mereka,” katanya.
Edisi Siasat adalah saluran Telegram tanpa identiti yang menerbitkan pelbagai dokumen, gambar dan dakwaan terhadap ahli politik dan pegawai kerajaan — termasuk dari kerajaan terdahulu dan kini — serta sering mendakwa ia berdasarkan maklumat bocor dari dalaman agensi penguatkuasaan.
Semalam, MCMC mengumumkan telah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran Telegram iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Suruhanjaya itu juga memohon - dan berjaya memperoleh - injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi untuk menghentikan penyebaran kandungan yang dimuat naik oleh saluran tersebut.
MCMC mendakwa kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kandungan sedemikian, katanya, berpotensi untuk menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan mengganggu ketenteraman awam.
Suruhanjaya itu menambah bahawa tindakan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP©].


Tiada ulasan:
Catat Ulasan