Israel terkejut dengan keupayaan serangan balas Iran
TEL AVIV: Israel mendakwa mengebom sasaran nuklear di Iran pada Khamis, manakala Iran membalas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel.
Serangan balas itu membedil sebuah fasiliti tentera Israel dan turut merosakkan sebuah hospital berdekatan, ketika perang udara selama seminggu semakin memuncak tanpa sebarang petanda perang akan reda.
Sejak Jumaat lalu, Israel melancarkan serangan udara terhadap Iran dalam usaha yang digambarkan sebagai langkah untuk menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.
Iran menafikan mempunyai rancangan untuk membangunkan senjata itu dan bertindak balas dengan melancarkan serangan balas terhadap Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata 'rejim zalim' di Tehran akan membayar 'harga yang tinggi' atas serangan yang merosakkan Pusat Perubatan Soroka di bandar selatan Israel, Beersheba.
"Adakah kita menyasarkan kejatuhan rejim? Itu mungkin menjadi kesan sampingan tetapi terpulang kepada rakyat Iran untuk bangkit menuntut kebebasan mereka," kata Netanyahu.
Jurucakap tentera Israel, Brigadier Jeneral Effie Defrin, menuduh Iran sengaja menyasarkan orang awam dalam serangan ke atas hospital itu.
Israel mendakwa Iran menggunakan peluru berpandu yang menyebarkan bom kecil ke kawasan yang lebih luas. Ia adalah penggunaan pertama senjata 'kluster' atau berangkai yang dilaporkan dalam perang yang masuk hari ketujuh.
"Ini adalah keganasan yang disokong negara, satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa," kata Defrin dalam satu taklimat media.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, mereka hanya menyasarkan ibu pejabat tentera dan risikan Israel yang terletak berhampiran hospital itu, namun seorang pegawai tentera Israel menafikan terdapat sebarang sasaran ketenteraan di kawasan itu.
Deffin berkata, Israel juga menyerang ibu pejabat pasukan khas keselamatan dalaman di Tehran dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Sebelum itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata tentera diberi arahan untuk meningkatkan serangan ke atas sasaran berkaitan strategik di Tehran termasuk fasiliti nuklear terbesar Iran di Isfahan, yang baharu siap.
Tambah beliau, serangan turut dilancarkan bagi menghapuskan ancaman terhadap Israel dan menggugat pemerintahan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Sumber berkata, Netanyahu dilaporkan mahu Iran menjadi cukup lemah sehingga terpaksa membuat konsesi asas, seperti menghentikan secara kekal program pengayaan nuklear, program peluru berpandu dan sokongan terhadap kumpulan militan di seluruh Asia Barat.
Iran pula, dalam kenyataan yang dipercayai merujuk kepada Amerika Syarikat (AS), Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, berkata ia akan menggunakan strategi berbeza jika 'pihak ketiga' menyertai Israel dalam peperangan ini.
Pada Khamis, Pengawal Revolusi Iran mengumumkan mereka melancarkan serangan gabungan peluru berpandu dan dron ke atas tapak ketenteraan dan perindustrian yang berkaitan dengan industri pertahanan Israel di Haifa dan Tel Aviv.
Iran sudah menghentikan pemberian maklumat terkini mengenai angka korban dan media rasmi tidak lagi menyiarkan imej kemusnahan secara meluas.
Akses internet ditutup hampir sepenuhnya dan orang awam dilarang daripada merakam video. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan