Thailand lancar serangan bom ke atas hab kasino Kemboja
PHNOM PENH: Thailand semalam mengebom sebuah bangunan di sebuah bandar kasino di Kemboja, yang juga kawasan lintasan utama antara dua negara itu, tatkala kuasa asing terus memberi tekanan agar kedua-dua pihak menghentikan pertempuran sempadan yang kembali meletus.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan, jet pejuang Thailand menggugurkan tiga bom di kawasan bandar Poipet - hab kasino yang sibuk dan popular dalam kalangan kaki judi dari Thailand.
Katanya, serangan itu merosakkan sebuah gudang serta harta benda lain, dan mengakibatkan dua orang awam cedera ringan.
Sementara itu jurucakap Tentera Udara Thailand, Jackkrit Thammavichai, berkata serangan berkenaan memusnahkan sebuah 'pusat logistik' yang digunakan untuk menyimpan roket.
"Ia adalah kemudahan yang telah digunakan bagi tujuan ketenteraan," katanya kepada pemberita.
Pegawai memaklumkan pertempuran yang kembali tercetus pada bulan ini antara dua negara berjiran itu sudah mengorbankan sekurang-kurang 21 orang di Thailand dan 18 lagi di Kemboja, selain menyebabkan lebih 800,000 penduduk terpaksa berpindah.
Konflik itu berpunca daripada pertikaian sempadan sepanjang 800 kilometer (km), dengan kedua-dua negara saling menyalahkan satu sama lain sebagai pencetus pertempuran terkini dan berbalas tuduhan mengenai serangan ke atas orang awam.
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, dalam satu kenyataan semalam menggesa supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.
"Memastikan keselamatan orang awam dan membolehkan mereka pulang ke rumah dengan selamat adalah amat penting," katanya.
Pada Selasa lalu, Thailand memaklumkan bahawa antara 5,000 hingga 6,000 rakyatnya masih terkandas di Poipet selepas Kemboja menutup lintasan sempadan darat dengan negara jiran itu.
Kementerian Dalam Negeri Kemboja pula menegaskan penutupan sempadan itu adalah 'langkah perlu' untuk mengurangkan risiko terhadap orang awam di tengah-tengah pertempuran berterusan.
Bagaimanapun, menurutnya, perjalanan melalui udara masih menjadi pilihan bagi mereka yang ingin keluar dari negara terbabit.
Pertempuran selama lima hari antara Kemboja dengan Thailand pada Julai lalu mengorbankan puluhan nyawa sebelum gencatan senjata berjaya diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS), China dan Malaysia, namun ia kemudian tidak dipatuhi selepas beberapa bulan.
Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump, dilaporkan mendakwa bahawa kedua-dua negara itu telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang baharu.
Bagaimanapun, Bangkok menafikan sebarang persetujuan gencatan senjata yang baharu telah dicapai.
Sebaliknya, pertempuran menggunakan artileri, kereta kebal, dron serta jet pejuang terus berlaku setiap hari sejak insiden pertempuran meletus semula di sempadan, bulan ini, mencetuskan pusingan konflik terbaru.
Sementara itu Beijing pula berkata, pihaknya menghantar Utusan Khas Bagi Hal Ehwal Asia ke Kemboja dan Thailand, semalam, dalam satu 'lawatan diplomasi' untuk membantu merapatkan jurang perbezaan serta 'membina semula keamanan.'
Menurut satu kenyataan kementerian, Menteri Luar China, Wang Yi, turut mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan rakan sejawat dari Thailand dan Kemboja, sambil menggesa supaya 'gencatan senjata dilaksanakan secepat mungkin.'
"Intensiti pertempuran dalam pusingan konflik kali ini adalah jauh melebihi insiden sebelum ini," katanya sambil menekankan bahawa kedua-dua pihak perlu 'memastikan keselamatan projek dan kakitangan China' di negara masing-masing.
Menteri-menteri Luar dari negara blok serantau ASEAN dijadualkan bertemu di Malaysia pada Isnin bagi mengadakan perbincangan kecemasan yang bertujuan mencari penyelesaian diplomatik.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, dalam satu kenyataan pula berkata beliau telah berbincang dengan kedua-dua Menteri Luar Kemboja dan Thailand pada Rabu lalu, serta menawarkan sokongan blok itu bagi pemantauan gencatan senjata menggunakan imejan satelit.
"Konflik antara Thailand dengan Kemboja tidak boleh dibiarkan terus merebak. Oleh itu, gencatan senjata perlu dipulihkan dengan segera," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan