AS mahu perluas larangan perjalanan cecah jumlah lebih 30 negara
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menambah jumlah negara dikenakan larangan perjalanan kepada lebih 30 buah, kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, semalam.
Dalam satu wawancara rancangan 'The Ingraham Angle' siaran Fox News, Noem diminta mengesahkan sama ada pentadbiran Presiden Donald Trump akan meningkatkan bilangan negara dalam senarai larangan perjalanan oleh AS kepada 32 buah.
"Saya tidak akan memberikan angka khusus tetapi ia adalah lebih 30, dan Presiden sedang menilai negara-negara secara berterusan," katanya.
Ketika ini, sebanyak 19 negara dikenakan larangan perjalanan dalam senarai sedia ada.
Pada Jun lalu, Trump menandatangani satu proklamasi melarang rakyat dari 12 negara daripada memasuki AS, dan menyekat warga tujuh lagi negara, atas alasan untuk membendung 'pengganas asing' serta ancaman keselamatan lain.
Larangan itu dikenakan ke atas kedua-dua golongan imigran dan bukan imigran seperti pelancong, pelajar serta pengembara perniagaan.
Noem bagaimanapun tidak mendedahkan negara yang akan ditambah ke dalam senarai larangan perjalanan itu.
"Jika sesebuah negara itu tidak mempunyai kerajaan stabil, sekiranya sebuah negara itu tidak mampu bertahan sendiri dan memberitahu kita siapa individu-individu terbabit serta membantu kita menyaring mereka, mengapa kita harus membenarkan rakyat negara berkenaan datang ke AS?" katanya.
Sebelum ini, Reuters melaporkan sumber Jabatan Negara AS menyatakan pentadbiran Trump sedang mempertimbang untuk melarang kemasukan rakyat dari 36 lagi negara.
Sebarang penambahan negara dalam senarai larangan perjalanan itu bakal memberi petanda tindakan semakin tegas susulan kejadian dua anggota Pengawal Nasional ditembak di Washington DC, minggu lalu.
Menurut penyiasat, suspek serangan itu ialah seorang warga Afghanistan yang memasuki AS pada 2021 menerusi program penempatan semula di mana pegawai pentadbiran Trump mendakwa pelaksanaan saringannya lemah.
Beberapa hari selepas insiden tembakan itu, Trump berikrar untuk 'menghentikan secara kekal' kemasukan migran dari semua 'negara dunia ketiga', namun beliau tidak menamakan mana-mana negara atau memberikan definisi 'negara dunia ketiga' yang dimaksudkannya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan