Jumaat, 5 Disember 2025

HORMATI HAK ASASI INDIVIDU


Kenyataan Media  04 Disember 2025

MENGECAM SERBUAN DISKRIMINASI, PELANGGARAN HAK ASASI, DAN PENYALAHGUNAAN KUASA POLIS

Mandiri mengecam serbuan ke atas sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur yang dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada 28 November 2025 yang lalu.

Serbuan dan tangkapan tersebut jelas bersifat diskriminasi kerana pihak berkuasa mensasarkan pengunjung berdasarkan anggapan bahawa mereka merupakan kelompok LGBTQ, walaupun tiada bukti menunjukkan berlakunya sebarang aktiviti yang dimaksudkan di pusat kesihatan berkenaan.

Mandiri menyambut baik pembebasan kesemua 201 individu yang ditangkap dan cadangan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap mereka. Namun, kami dimaklumkan bahawa para tahanan telah ditahan dan dikurung selama lebih 40 jam, serta tidak dibenarkan dibebaskan dengan jaminan walaupun permohonan reman telah ditolak oleh Mahkamah Majistret. Turut dimaklumkan juga terdapat kekurangan akses kepada makanan dan air, serta dihalang untuk berjumpa dengan peguam. Keadaan ini jelas merupakan pencabulan serius terhadap hak asasi manusia dan penyalahgunaan kuasa polis.

Mandiri dengan tegas menuntut :

1. Semua siasatan terhadap 201 individu yang ditangkap dihentikan serta-merta tanpa sebarang pendakwaan.

2. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bertanggungjawab menjalankan siasatan terhadap pelanggaran hak asasi manusia serta penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa dalam insiden ini.

Mandiri menegaskan bahawa setiap individu berhak dilindungi daripada diskriminasi, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip hak asasi manusia sejagat.

Pihak berkuasa juga tidak patut ikut campur dengan sebarang aktiviti di ruang peribadi, khususnya apabila ia tidak langsung melibatkan soal keselamatan, sama ada kepada individu di dalam ruang tersebut, atau kepada masyarakat umum.

Solidariti,

Wong KuKui

Penyelaras, Mandiri

Tiada ulasan: