Bekas Panglima Tentera Darat tiba di SPRM
PUTRAJAYA: Seorang bekas panglima tentera tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bagi membantu siasatan kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Beliau hadir dengan menaiki kereta mewah putih, berkemeja putih dan seluar hitam pada jam 3.10 petang.
Pegawai kanan tertinggi TDM itu diiringi beberapa individu memasuki bangunan ibu pejabat SPRM.
Bulan lalu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin dilapor memaklumkan bekas Panglima Tentera Darat diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.
Jawatan itu kemudiannya diisi oleh Jeneral DAzhan Md Othman berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, langkah itu bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilapor membabitkan pegawai berkenaan.
Kenyataan itu tidak memperincikan kes membabitkan Muhammad Hafizuddeain, namun ia dipercayai susulan laporan bahawa SPRM mempergiatkan siasatan terhadap perolehan tentera.
Terdahulu pada 23 Disember lalu, laporan media memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Difahamkan, siasatan awal SPRM tertumpu projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Sebelum itu, SPRM dilapor mengambil aduan dan merakam keterangan Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenar, Badrul Hisham Shaharin mengenai perincian maklumat yang beliau peroleh.
Chegubard mendakwa terdapat 'aliran tunai besar' dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya, yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
Beliau merujuk kepada audit forensik dokumen yang diterimanya tanpa nama, mendakwa pegawai berkenaan menerima wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun bank.
Dokumen berkenaan, dakwanya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai terbabit.
Beliau juga mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun syarikat-syarikat yang telah memperoleh projek ketenteraan.


1 ulasan:
Bagi keluar semua nama, termasuk Munke termasuk segala emak bapa yang rasuah di peringkat atasan, jangan hanya salahkan orang bawahan kah kah kah
Catat Ulasan