Rabu, 7 Januari 2026

TRUMP NAK RAMPAS GREENLAND


Tuntutan AS ke atas Greenland, Denmark mahu selesai 'salah faham'


COPENHAGEN: Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen berkata satu mesyuarat dengan diplomat tertinggi Washington dijangka dapat "menjelaskan beberapa salah faham" susulan pembaharuan tuntutan Amerika Syarikat (AS) ke atas Greenland.

"Sudah tiba masanya untuk menghubungi dan mengatur pertemuan dengan rakan sejawat Amerika kami, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio," kata Rasmussen.

"Kami telah mengemukakan permintaan itu semalam."

Terdahulu, Greenland memaklumkan bahawa ia bersama Denmark telah meminta satu mesyuarat segera dengan Rubio, selepas Presiden AS, Donald Trump memperbaharui tuntutannya terhadap wilayah autonomi Denmark di Artik itu.

Sementara itu, Menteri Luar Greenland, Vivian Motzfeldt menegaskan Denmark dan Greenland telah memohon untuk bertemu dengan Setiausaha Negara AS dalam masa terdekat bagi "membincangkan kenyataan penting yang dibuat oleh Amerika Syarikat mengenai Greenland," tulisnya di media sosial.

"Sehingga kini, Marco Rubio masih belum dapat bertemu dengan kerajaan Greenland, walaupun kerajaan Greenland dan Denmark telah meminta pertemuan di peringkat menteri sepanjang tahun 2025," tambahnya.

Sebelum itu, Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen sekali lagi menegaskan bahawa pulau itu bukan untuk dijual dan hanya rakyat Greenland berhak menentukan masa depannya.

Kenyataannya dibuat selepas Britain, Perancis, Jerman, Itali, Poland dan Sepanyol menyertai Denmark menyatakan bahawa mereka akan mempertahankan "prinsip sejagat" kedaulatan, keutuhan wilayah dan ketidakbolehcabulan sempadan.

"Sokongan ini penting pada saat prinsip asas antarabangsa sedang dicabar," tulis Nielsen di media sosial.

"Atas sokongan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan. Pada waktu Presiden Amerika Syarikat sekali lagi menyatakan bahawa Amerika Syarikat amat serius mengenai Greenland, sokongan daripada sekutu kami dalam NATO ini amat penting dan jelas."

Washington sudah pun mempunyai sebuah pangkalan tentera di Greenland, yang dihuni kira-kira 57,000 penduduk.

Ahad lalu, Trump memberi bayangan bahawa keputusan mengenai Greenland mungkin dibuat "dalam kira-kira dua bulan," setelah situasi di Venezuela menjadi kurang mendesak.

Kenyataan bersama para pemimpin Eropah itu menyifatkan keselamatan Artik sebagai "keutamaan utama" benua tersebut dan "kritikal" kepada keselamatan antarabangsa serta transatlantik.

Denmark, termasuk Greenland, adalah sebahagian daripada NATO, menurut kenyataan itu, sambil menggesa pendekatan kolektif bersama AS bagi keselamatan di rantau kutub.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Friedrich Merz; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Poland, Donald Tusk dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

"Greenland adalah milik rakyatnya. Hanya Denmark dan Greenland, dan mereka sahaja, yang berhak membuat keputusan mengenai perkara berkaitan Denmark dan Greenland," kata kenyataan itu.

Nielsen mengulangi gesaannya kepada AS agar mengadakan "dialog yang saling menghormati melalui saluran diplomatik dan politik yang sesuai, serta melalui penggunaan forum sedia ada berdasarkan perjanjian yang telah wujud dengan Amerika Syarikat."

"Dialog sedemikian mesti berlangsung dengan menghormati hakikat bahawa status Greenland berlandaskan undang-undang antarabangsa dan prinsip keutuhan wilayah."

Marc Jacobsen, pakar keselamatan, politik dan diplomasi Artik di Royal Danish Defence College, berkata retorik Trump mengenai Greenland tidak berubah sejak beliau pertama kali mengemukakan idea pengilhakan.

"Ia seperti pita rakaman yang rosak… seolah-olah beliau (Trump) tidak benar-benar memahami apa yang disampaikan oleh Denmark dan Greenland," katanya kepada AFP.

Walaupun Trump mendakwa Denmark tidak mampu menjamin keselamatan Greenland, Copenhagen telah melabur besar dalam sektor tersebut, dengan memperuntukkan kira-kira 90 bilion kroner (AS$14 bilion) sepanjang tahun lalu. - AFP

WOIT

LEPAS JAJAH

VENEZUELA

TRUMP NAK

RAMPAS 

GREENLAND

AMIN

INI SEBENARNYA

LANGKAH BAIK

KERANA AKAN

RUNTUHKAN 

NATO

AMIN

NATO IALAH

KEPALA SAMSENG

AMERIKA DI EROPAH

KHALAS

Tiada ulasan: