Jumaat, 2 Januari 2026

SELAMAT JALAN 2025


SELAMAT JALAN 2025


Tulisan ini di garap pada hari akhir 2025. Dalam beberapa jam lagi matahari di wilayah kita akan tenggelam dan malam sampai.  Detik-detik malam berjalan. Waktu dan masa berubah. Lalu 2025 meninggalkan kita. Tahun baru 2026 mencelah masuk.

Saya melihat kembali 2025 yang  baru berlalu.  Saya melihat kembali babak-babak dan liku hidup  yang telah saya lalui pada tahun 2025.

Agenda antarabangsa  yang utama  saya terlibat secara langsung pasti Gaza dan perjuangan Palestin. Perang Gaza  yang bermula pada Sabtu 7 Oktober 2023 menjemput  saya terlibat secara langsung  untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Pada tahun  2025  genosid  yang di lakukan oleh Zionis Israel  ini telah masuk ke tahun ke dua. 

Justeru – bersama kawan-kawan saya telah  menyusun mengatur untuk melahirkan  kesedaran  tentang Palestin dan Gaza. Tentang  Yahudi, Zionis  dan Israel. Kami keluar berdemo.  Kami  berpropaganda memberi kesedaran.  Di tahun pertama Gaza di serang kami  berkhemah di pinggir jalan berhampiran Pejabat Duta Amerika.

Demo dan tunjuk perasaan terus  di susun. Seperti biasa  di akhir Jumaat  bulan Ramadan   ialah Hari Al-Quds Sedunia. Pada Jumaat ini kami akan  berhimpun, mendengar ucapan dan   berarak  menyatakan  setia kawan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Saya masih ingat   Hari Al-Quds  Ramadan 2025.  Pada  Jumaat 21 Mac 2025  saya  telah membawa  bendera Palestin terbesar yang pernah di kibar di Malaysia.  Bendera  Palestin ini  telah diarak  dari Dataran Tabung Haji menuju ke Pejabat Duta Amerika. Ribuan penunjuk perasaan mengiringi bendera ini.  Saya tersenyum bangga dan puas hati.

Saya tempah bendera Palestin ini dari Latiff Tukang Jahit di Bangunan Komplex Pertama.  Si Latiff ini kenalan baik saya. Justeru walau pun bendera ini amat besar yang pernah di bentang di kota Kuala Lumpur tapi  harga tempahan bendera  amat demokratik. Saku saya tidak koyak kerana Latiff juga bersetia kawan dengan Palestin. Amin.

Di Gaza pada 5 Oktober Damai 2025 diumumkan oleh Presiden Trump. Pada 10 Oktober gencatan senjata berkuat kuasa. Zionis Israel seperti biasa terus melakukan pembunuhan terhadap warga Palestin walau  pun sudah ada gencatan senjata.

Saya yang berada dalam keadaan selamat di Kuala Lumpur mengalu-alukan gencatan senjata ini. Walau pun saya sedar perjuangan rakyat Palestin ini belum selesai.

Hanya saya memiliki perasaan kecewa. Saya kecewa kerana di Malaysia perjuangan Palestin ini masih dianggap perjuangan agama Islam. Justeru di Malaysia  perjuangan adil rakyat Palestin  di baca dan di lihat  sebagai perjuangan Umat Islam Melayu.

Warga Malaysia – termasuk Melayu Islam -  gagal mentafsir bahawa perjuangan Palestin ialah perjuangan anti-kolonial melawan penjajah Zionis Israel semenjak tahun 1948. Malah warga China dan India amat jarang akan bersama  bersetia kawan berdemo berarak ke Pejabat Duta Amerika. 

Saya merasa bangga dan dalam masa yang sama kecewa bila melihat beratus ribu  anak muda  dan warga kota London, Paris , New York, Toronto, Rom atau Melbourne turun berdemo menyokong Palestin. Walhal di Kuala Lumpur hanya ada  tiga atau empat ribu yang  turun  berdemo.

Untuk memedihkan hati -  tidak sampai 10 orang warga Malaysia bukan Islam yang  mengikut serta bersolidariti.

Ini amat berbeza ketika saya anak mahasiswa  menyusun demo pertama menyokong Palestin di Kuala Lumpur.  Ini berlaku   ketika  Perang Ramadan yang bermula  pada  6 Oktober 1973.  Ketika itu siswa pelajar  di Universiti Malaya  - anak semua bangsa dan bangsa  semua agama telah turun berdemo di Bangunan AIA Jalan Ampang – Pejabat Duta Amerika.

Kami pelajar dari Universiti Malaya di belasah dengan tembakan gas pemedih mata oleh FRU. Ini rakaman sejarah.

Lima puluh dua tahun kemudian saya terfikir alangkah baik dan indah  jika Lim Kit Siang,  Anthony Loke , Teresa Kok, Dr Ramasamy  atau Guan Eng bersuara  menyokong perjuangan rakyat Palestin. Amin

Tahun 2025 juga mengingatkan saya dengan Indira Gandhi  - bukan PM India. Ini Indira Gandhi  Malaysia yang telah kehilangan anak kandung  semenjak tahun 2009.

Ini bermula dengan kes cerai. Sang Suami untuk menyakitkan hati  Sang Isteri telah masuk Islam dan menculik anak perempuan dan   menukar agama secara unilateral dan mengislamkan ketiga-tiga anak mereka tanpa kebenaran Sang Ibu.

Mahkamah Persekutuan  telah mengisytihar  perbuatan mualaf bernama Muhamad Riduan Abdullah ini tidak sah. Tapi hingga sekarang satelah 19 tahun  Sang  Anak dan   mualaf Riduan masih belum di temui.

Prasana Diksa anak kandung Gandhi yang di culik  pasti  telah menjadi anak dara. Lalu persoalan timbul di mana Prasana  sekarang ? Siapa yang membantu menyorokkan mereka ? Apakah  Prasana Diksa dikurung hingga tak dapat lari  untuk mencari ibu kandung ? 

Ini satu soalan saya  di akhir tahun 2025.

Satu  lagi kes yang saya terlibat secara langsung ialah kes mendiang Teo Beng Hock. Ini kes anak muda yang di dapati mati ketika di soal siasat oleh SPRM.

Beng Hock di temui mati di bangunan milik SPRM pada 16 Julai 2009. Hingga ke hari ini apa yang terjadi hingga Beng Hock yang dikatakan jatuh mati masih belum di selesaikan  secara tuntas. 

Setiap tahun di Hari Mengingati Teo Beng Hock saya akan memainkan lagu Anak Muda Bernama Teo dalam blog Tukartiub yang saya kendalikan.  Komposer lagu ini ialah Penyanyi Jalanan bernama Nik Jidan  – juga kenalan baik saya. Saya   kerap bekerjasama  dengan Nik Jidin menulis beberapa buah lagu termasuk  lagu Anak  Muda Bernama Teo.  

Bila  mengulang baca kes Teo Beng Hock ini maka  kita akan kembali membuka babak-babak kehilangan  Hilmi Jamaluddin. Ruth Setepu, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.  Di mana sosok-sosok ini sekarang?

Pelik lagi menghairan  - dalam dunia yang berteknologi canggih kita masih gagal mencari sosok-sosok  yang hilang in.

Apakah mereka telah ditawan  oleh Jin Afrit , di culik oleh UFO atau mereka  telah di bakar menjadi abu ?

Pada tahun 2025   warga Malaysia terkejut dengan berita kehilangan  Datin Seri Pamela Lin Yueh. Media melaporkan     Pamela telah  diculik ketika  dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April 2025 .

Difahamkan, Pamela dijadualkan hadir bagi memberi keterangan berkaitan siasatan kes pengubahan wang haram. Namun, Pamela  tidak pernah sampai ke pejabat SPRM seperti dirancang, dan gagal dihubungi sejak itu.

Ini satu lagi misteri yang terkait rapat dengan SPRM.

Tahun 2025 juga akan  mengingati kita kembali  dengan  slogan – Keadilan Untuk Zara – Justice For  Zara.  Kematian Zara di Sabah  telah menggemparkan  negara. Malah demo dan tunjuk perasan berlaku di kota dan pekan di Sabah. Malah  demo Keadilan Untuk Zara  melarat juga ke Semenanjung.

Zara Qairina Mahathir, seorang murid Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, meninggal dunia pada 17 Julai 2025. Zara  ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya, dan dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah. Disangka secara popular sebagai mangsa buli.

Berita arwah meninggal dunia tanpa siasatan forensik yang lengkap menyebabkan gaya kematiannya dipertikai. Ini di tambah pula  dengan desas desus keterlibatan Orang Kaya dan Orang Berkuasa  lagi Berpengaruh  yang cuba menyembunyikan   kes kematian Zara.

Tidak dapat tidak kes Zara ini menimbulkan budaya buli yang terdapat di dalam sekolah.  Kes Zara ini membuka kembali kes kematian Syamsul Haris Shamsuddin.

Berita melaporkan Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur Syamsul  yang telah meninggal dunia pada 28 Julai 2025 digali semula untuk menjalani sitaan forensik. 

Siswa 22 tahun ini seorang   pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  Skudai Johor. 

Persoalan sama timbul – apakah Shamsul juga seperti Zara menjadi mangsa buli.

Kes arwah Zara ini telah membuka satu lagi kematian pelajar yang berlaku 12 tahun yang lalu. Pada 12 Ogos 2025 Berita Harian muncul dengan tajuk berita : Kematian pelajar tahfiz: Keluarga desak siasatan kes 12 tahun lalu dibuka semula, dikendalikan Bukit Aman.

Sama seperti kes arwah Zara keluarga juga  telah mengadakan himpunan untuk menuntut di buka kembali kes kematian Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang meninggal dunia dalam tandas sebuah Maahad tahfiz di Kok Lanas Kelantan.

Semua kes-kes kematian yang bersangkutan dengan buli ini masih belum selesai. Kes  Zara  masih di mahkamah -  masih bersidang untuk menjalankan Inkues.   Tahun 2026 – kita menunggu jawapan.

Untuk saya tahun 2025 akan di akhiri dengan berita gempak kes rasuah di Sabah yang melibatkan ramai para YB dan ahli politik. Kes ini bermula dengan kes  pembocoran klip rakaman video dari  Albert Tei.

Ini kes memberi dan menerima rasuah. Penerima ialah politikus di Sabah. Pemberi rasuah ialah Albert Tei  seorang broker  yang sedang mencari tanah di Sabah untuk di lombong.

Kes Albert Tei ini menjadi hangat apabila Setiausaha Politik Anwar bin Ibrahim di laporkan telah juga  menerima  duit dari Albert Tei.

Klip rakaman video yang di buat oleh Albert Tei ini memperdengar dan memperlihatkan   Shamsul Iskandar  meminta pound sterling dari Albert Tei kerana ingin bercuti ke London. 

Keterlibatan Shamsul ini telah memperlihatkan bahawa janji Anwar bin Ibrahim untuk melawan rasuah hanya omong kosong.  Shamsul walau pun telah meletakkan jawatan tapi muka Anwar bin Ibrahim telah  selamat di  bopengkan.

Bila 2025 menutup tirai untuk saya  - Justice For Zara  - akan terus menjadi ingatan yang berkekalan. Imej klasik tahun 2025 yang menjadi ingatan warga Malaysia pastilah klip video depan rumah Albert Tei.   Pegawai SPRM telah menangkap Albert Tei dan membawa dia  masuk ke dalam kereta. Albert Tei menjerit : Muncung pistol atas kepala saya... muncung pistol atas kepala  saya..... ‘ Jeritan didengar  berkali-kali. 

Jeritan Albert Tei ini adalah jeritan rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan muncung pistol Perjanjian Anwar – Trump 2025. Perjanjian yang di tanda tangani pada 26 Oktober 2025 ketika Trump singgah  di Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Jepun dan Korea Selatan.  Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/764717














 


Tiada ulasan: