Jumaat, 20 Februari 2026

BLOOMBERG : PROJEK TUMBANGKAN ANWAR


BLOOMBERG:

PROJEK 

TUMBANKAN

ANWAR IBRAHIM


Satu minggu sebelum puasa tahun 2026  negara kita heboh dengan berita rasuah dan salah guna kuasa  Azam bin   Baki. Sosok ini  ialah   Ketua Suruhanjaya Pencacahan Rasuah Malaysia (SPRM ). Malaysia heboh bagai nak rak.  Semuanya berpunca kerana ada laporan berita dari akhbar Bloomberg mengenai Azam bin Baki.

Akhbar Bloomberg  keluaran  syarikat Bloomberg L.P.  Ini  sebuah    syarikat persendirian milik Micheal Bloomberg yang berpusat di New York Amerika.

Syarikat Bloomberg ini  memberi  khidmat kepada pelabur dan ahli  perniagaan di seluruh dunia. Bloomberg  menyediakan laporan yang mendalam melalui Bloomberg.com, Televisyen Bloomberg, Radio Bloomberg dan penerbitan seperti Bloomberg Businessweek.

Hakikatnya bila kita menyebut Bloomberg maka ianya bersangkut paut dengan modal, dolar, ringgit,  untung rugi pelaburan atau  suasana  pelaburan di seluruh dunia.

Untuk kaum pemodal, kaum kapitalis  dan syarikat multinasional Bloomberg ini wajib untuk di baca , di dengar  dan dituntun untuk di jadikan rujukan.

Penganut agama Kristian merujuk kepada kitab Injil. Penganut Hindu merujuk  kepada Bhagavad Gita. Umat Islam merujuk kepada Quran. Manakala kaum kapitalis akan merujuk kepada  pandangan, tulisan dan komentar Bloomberg L.P.

Bila  media kita mengutip dan melaporkan kembali berita Azam bin  Baki dari Bloomberg   ramai bertanya : Betul ke berita ini ... Sahih ke... Fitnah ke  ... berita dari Bloomberg ini.

Pertanyaan  seperti ini tidak betul dan tidak salah. Pada hemat saya pertanyaan yang lebih tepat dan lebih benar ialah : Kenapa Bloomberg melaporkan berita Azam bin Baki Ketua SPRM.

Untuk saya adalah  lebih penting kita menyelongkar dan mengkaji untuk  mengetahui apa latar yang memangkin Bloomberg untuk mengeluarkan laporan  berita Azam bin Baki ini.  

Tujuan akhir ialah saya mahu tahu apa berita di belakang berita. Apa udang di sebalik batu. Buah apa ada  tersorok di dalam guni Bloomberg.

Saya melakukan ini kerana saya telah melihat apa yang telah berlaku hasil  laporan berita Najib bin Razak pada 21 September 2015 oleh akhbar New York Times. Ini ketika Najib masih lagi Perdana Menteri.

Laporan New York Times  tentang Najib dan 1MDB meledak.  Berita awal dari New York Times ini telah menjemput pelbagai  media  dunia  untuk tidak tercicir dalam melaporkan Najib dan 1MDB. Kes 1MDB ini menjadi panas menggelegak satu dunia.

Di Malaysia berita New York Times di bincang bagai nak rak. Pembangkang meloncat mengambur menggunakan berita ini sebagai rujukan sahih bahawa Najib bin Razak telah mencuri duit negara melalui syarikat 1MDB.

Louise Story wartawan  New York Times lebih sebulan tinggal di Malaysia.  Wartawan wanita bernama Louise ini telah menjalankan penyelidikan – menemu bual pelbagai sosok. Malah Louise telah beberapa kali singgah di Old Town Cafe di Brickfeilds bertemu dengan Hishamuddin Rais.

‘ We run the story ...sometime in the fall...’ Ini kata-kata Louise bila saya tanya bila berita ini akan disiar. Maknanya saya wajib menunggu antara empat ke lima bulan sebelum berita ini meledak.

‘ Ada berita bigger than big ... kau  perlu bersedia tentang 1MDB...’ Ini  permintaan saya kepada Sidikin Omar wartawan  Suara Keadilan akhbar resmi Parti Keadilan Rakyat. Saya mahu Suara Keadilan tidak tertinggal.

Pada awalnya saya tidak faham kenapa New York Time menghantar wartawan  berbulan-bulan untuk menyediakan  satu berita. Pikir punya pikir saya merumuskan bahawa  ini adalah Projek Regime Change atau Projek Tukar Kerajaan  dari Amerika.

Kali ini bukan New York Times tapi Bloomberg yang meledakkan berita tentang Azam bin Baki.  Dengan cepat tanpa berfikir panjang saya merumuskan dan menulis dalam Blok Tukar Tiub bahawa ini satu lagi Projek Regime Change. 

Mudah amat mudah untuk saya merumuskan perkara   Azam bin Baki ini.   Azam bin Baki dilaporkan terlibat dengan pembelian saham dan salah guna kuasa.  Dari berita Bloomberg ini dapat di bayangkan Ketua SPRM yang melawan rasuah ini terlibat dalam rasuah.

Malah berita Azam bin Baki ini terlibat dalam aktiviti salah guna kuasa dan  rasuah telah lama berkumandang. Pada  20 Januari 2022 telah diadakan satu tunjuk perasaan menuntut Azam bin Baki meletak jawatan. Demo  di hadapan Parlimen telah  mendengar ucapan Ketua Pembangkang Anwar bin Ibrahim.

Hakikatnya kes rasuah Azam bin Baki ini bukan sesuatu yang baru.

Amat mudah saya merumuskan  bahawa Bloomberg ini sedang menjalankan Projek  Tukar Kerajaan. Saya yakin akhbar  Bloomberg bukan  berkempen melawan rasuah.  Bukan kerana pelanggaran hak asasi manusia. Bloomberg bukan ada sangkut paut dengan Amnesty Internasional. Bukan kerana  demokrasi. Bukan. Bukan. Bukan.

Kalau Bloomberg betul mahu berkempen menentang rasuah atau salah guna  kuasa atau  demokrasi  atau hak asasi manusia : Kenapa Bloomberg tidak melaporkan tentang Muhamad bin Salman dari Saudi  Arabia. MBS ini bukan sahaja  rasuah malah terlibat kes pembunuhan. 

Atau kenapa Bloomberg tidak menulis tentang  rasuah  Presiden Marcos di Filipina   atau  Presiden Prabowo di Jakarta. Kenapa  Bloomberg pilih Azam bin Baki jika tidak kerana ada udang dalam guni.

‘ Ini hujah saya Yang Arif....’

Regime change ialah tukar kerajaan. Azam bin Baki bukan Perdana Menteri.  Regime Change bermakna menukar kerajaan Anwar bin Ibrahim. Walhal  Azam bin Baki hanya pegawai besar dalam kerajaan. Jatuh Azam bin Baki tidak jatuh kerajaan.  


Sabar dulu biar saya  beri pencerahan dengan cahaya yang terang.

Kempen   tukar kerajaan bukan dijalankan dalam seminggu dua. Tidak. Projek ini telah lama di atur. Hanya kita kurang arif dan kurang sedar.

Banyak berita telah muncul dalam Bloomberg sebelum ini. Semuanya menjurus untuk melahirkan naratif bahawa  Anwar bin Ibrahim wajib di ganti.

Anwar bin Ibrahim ini klim sebagai pemimpin berjiwa Islam tetapi untuk Bloomberg ini hanya teater. Maka pada 25 April 2024 meledak berita dari Bloomberg bagaimana  Anwar bin Ibrahim telah bersetuju untuk mendirikan Kasino di  Forest City Johor.  Bloomberg klim mendapat maklumat bahawa persetujuan telah tercapai antara syarikat judi dengan kerajaan Anwar bin Ibrahim. Amin

Bloomberg juga secara konsisten telah menerbitkan berbapa kali tentang ‘perniagaan  jual beli manusia’  - ini bersangkutan dengan  buruh import dari luar negara.

Berita buruh dari Bangladesh ini memperlihatkan  Bloomberg sebagai pejuang buruh. Poodah. Syarikat  Bloomberg L.P ini  penyokong sistem ekonomi kapitalis.  Adalah mustahil  Bloomberg mula berahi menentang  penindasan kaum buruh.

Berita Kasino dan berita pekerja asing  ini adalah  naratif yang di  sebarkan untuk meyakinkan bahawa  projek tukar kerajaan wajib dilakukan.

Bagaimana pula berita Kapal Gelap yang membawa minyak dari  Rusia. Kapal Gelap tanpa tuan ini kemudian menyedut minyak dari kapal Rusia. Minyak ini beralih tangan dan tidak lagi menjadi minyak Rusia yang di sekat penjualannya oleh Amerika.

Ini bukan seludup minyak – tapi alih asal usul minyak. Dikatakan minyak Rusia ini mungkin perjalanan akhir ke India. Dari India minyak ini  beralih tuan untuk di eksport ke Eropah.

Bloomberg telah melaporkan berita Kapal Gelap ini. Malah Anwar bin Ibrahim pernah di tanya wartawan tentang Kapal Gelap ini.  Jawapan mudah dari Anwar bin Ibrahim: Perkara ini berlaku  bukan di perairan Malaysia tapi di laut antarabangsa. 

Berita Kapal Gelap, minyak Rusia dan India ini bukan satu yang baru. India adalah pembeli besar minyak Rusia kerana harga yang murah.

Trump telah menunjukkan rasa marah terhadap perkara ini. Trump telah memberi amaran kepada Perdana Menteri India  jika  pembelian minyak Rusia ini tidak di hentikan maka India akan di kenakan 100% tarif oleh Amerika.

Tup Tup Modi Perdana Menteri India datang mengejut melawat  Kuala Lumpur. Apa perbincangan  empat mata antara Modi dan Anwar bin Ibrahim hanya Guru Nanak yang mengetahui. Atau Bloomberg juga tahu.
Paling menarik ialah berita awal tentang Azam bin Baki ini telah menjemput wartawan tempatan untuk bertanya kepada Anwar bin Ibrahim  - apakah Azam bin Baki akan direhatkan.

‘ Orang buat kerja, you maki buat apa..’ Ini jawapan   Anwar bin Ibrahim  yang di lapor oleh Berita Harian pada 12 Februari 2026.

Jelas Anwar bin Ibrahim terus mempertahankan Azam bin Baki.  Sebenarnya berita awal ialah pancing. Bila Anwar bin Ibrahim mula menangkis maka Bloomberg menerbitkan lagi berita Azam bin Baki.

Kali ini Bloomberg membocorkan  berjela-jela tulisan  dan berita Azam bin Baki dan SPRM. Untuk memberahikan lagi berita ada diselitkan  kesah Mafia Koprat dan pistol di pinggang.

Bila berita ini keluar  Satu Malaysia menjadi gempar sekali lagi.  Labun orang ramai  di kedai  Mamak semakin kuat dan jelas. Orang ramai mula bertanya kenapa Anwar bin Ibrahim terus mempertahankan Azam bin Baki .

Ada apa hubungan sulit Anwar bin Ibrahim dengan sosok yang memiliki hubungan dengan kongsi gelap. Jeng jeng jeng.

Tidak memadai dengan berita pistol dan kongsi gelap. Bloomberg juga  telah menyediakan dokumentari 24 minit : Corruption as Cancer.

Dokumentari ini pasti telah di rancang  berbulan-bualan  lebih awal. Semua di rancang dan di atur dengan teliti untuk melahirkan naratif bahawa Anwar bin Ibrahim perlu di turunkan.

Saya yakin pasti ada banyak lagi udang tersorok dan buntil dan guni Bloomberg. Pasti pendedahan  baru akan keluar terutama jika Azam bin Baki menyaman Bloomberg. Atau Anwar bin Ibrahim membawa Bloomberg ke mahkamah. Kita tunggu dan lihat. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/768455



 

Tiada ulasan: