Trump dedah pelan bina 'Golden Dome'
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendedahkan butiran baharu mengenai rancangannya untuk membangunkan sistem perisai peluru berpandu dikenali sebagai 'Golden Dome'.
Ia dibangunkan khusus bagi melindungi negara itu daripada sebarang serangan dan dijangka beroperasi dalam tempoh tiga tahun.
Trump turut mengumumkan peruntukan awal sebanyak AS$25 bilion (RM106 bilion) bagi pelaksanaan projek berkenaan dengan jumlah keseluruhan dijangka mencecah kira-kira AS$175 bilion (RM748 bilion).
Trump berkata, ketika pilihan raya sebelum ini, beliau sudah berjanji kepada rakyat bahawa akan membina sistem pertahanan peluru berpandu yang canggih.
"Hari ini saya dengan bangga mengumumkan bahawa AS secara rasmi sudah memilih reka bentuk untuk sistem berteknologi tinggi berkenaan.
"Sebaik sahaja siap sepenuhnya, 'Golden Dome' akan mampu memintas peluru berpandu walaupun ia dilancarkan dari mana-mana lokasi di dunia, mahupun dari angkasa lepas.
"Ini sangat penting bagi kejayaan dan juga kelangsungan hidup negara kita," katanya.
Katanya, Jeneral Michael Guetlein dari Pasukan Angkasa AS akan mengetuai usaha itu dan Kanada turut menunjukkan minat untuk menyertai projek berkenaan kerana turut mahukan perlindungan.
Walaupun Trump meletakkan jumlah keseluruhan kos pada AS$175 bilion (RM748 bilion), Pejabat Belanjawan Kongres memberi anggaran berbeza.
Katanya, kos sistem pemintas berasaskan angkasa untuk menghadapi sejumlah kecil peluru berpandu antara benua boleh mencecah antara AS$161 bilion (RM688 bilion) hingga AS$542 bilion (RM2.3 trilion) dalam tempoh 20 tahun.
Trump menjelaskan, 'Golden Dome' akan membabitkan penggunaan teknologi generasi baharu di darat, laut dan angkasa, termasuk pengesan dan pemintas berasaskan angkasa.
Ketua Pentagon, Pete Hegseth, berkata sistem itu direka untuk melindungi tanah air daripada ancaman peluru berpandu antara benua, balistik, hipersonik, dron konvensional atau nuklear.
Nama 'Golden Dome' mengambil iktibar daripada sistem pertahanan udara Israel, 'Iron Dome', yang berjaya memintas ribuan roket jarak dekat dan peluru berpandu sejak mula beroperasi pada 2011.
Bagaimanapun, ancaman peluru berpandu yang dihadapi AS berbeza amat ketara berbanding senjata jarak dekat yang menjadi sasaran utama sistem 'Iron Dome' Israel.
Laporan Kajian Pertahanan Peluru Berpandu 2022 menyatakan bahawa ancaman dari Russia dan China semakin meningkat.
China kini dikatakan semakin menghampiri kemampuan AS dalam teknologi peluru berpandu balistik dan hipersonik.
Russia pula sedang memodenkan sistem peluru berpandu jarak jauh antara benua dan membangunkan peluru berpandu serangan tepat yang lebih canggih.
AS turut mengingatkan bahawa ancaman dron yang memainkan peranan penting dalam perang Ukraine dan dijangka terus meningkat, selain ancaman peluru berpandu balistik dari Korea Utara dan Iran serta kumpulan pengganas. – AFP


1 ulasan:
Inilah cara politik buat duit, kah kah kah mempertahankan diri rakyat sebagai tetapi semua tahu ianya kepada mengkaya diri kah kah kah, cuma kena ayat-ayat sesuai, ayat sempurna dapat menipu semuanya kah kah kah akhirnya politik menjayakan kapitalis terulung di dunia kah kah kah
Catat Ulasan