'Kami bersedia perang selama 20 tahun lagi' - Afghanistan tolak ancaman AS tuntut Pangkalan Udara Bagram
KABUL: Pegawai Afghanistan menolak ancaman Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan semula Pangkalan Udara Bagram, sekali gus menegaskan sebarang cubaan untuk kembali mewujudkan kehadiran tentera asing di negara ini akan ditentang habis-habisan, lapor Xinhua.
Timbalan Pertama Direktorat Perisikan Afghanistan, Mullah Tajmir Jawad, menekankan bahawa Kerajaan Afghanistan akan mempertahankan sistem sedia ada berhubung tuntutan AS untuk mengambil alih semula pangkalan udara strategik itu.
Malah, nada sama disuarakan oleh Menteri Pertahanan Afghanistan, Mohammad Yaqoob Mujahid.
"Jawapan kami: jika kamu tidak berundur dan mahu pangkalan, kami bersedia untuk berperang dengan kamu selama 20 tahun lagi," katanya kepada media.
Pengarah Politik Kementerian Luar Afghanistan, Zakir Jalaly, turut menolak idea kemasukan semula tentera AS dengan menegaskan rakyat Afghanistan 'tidak pernah menerima tentera asing di tanah air mereka', dan sebarang dialog dengan Washington mesti mengecualikan soal penempatan semula tentera.
Pangkalan Udara Bagram yang terletak kira-kira 50 kilometer di utara Kabul, pernah menjadi pusat operasi AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sepanjang tempoh perang selama dua dekad.
Semalam di Washington, Presiden AS, Donald Trump, memberi amaran akan berlaku 'perkara buruk' sekiranya Afghanistan 'tidak menyerahkan semula Pangkalan Udara Bagram.'
"Jika Afghanistan tidak menyerahkan semula Pangkalan Udara Bagram kepada pihak yang membinanya, iaitu Amerika Syarikat, PERKARA BURUK AKAN BERLAKU!!!" tulis Trump dalam akaun Truth Social.
Pengunduran tentera AS dari Afghanistan pada 2021 menyebabkan Taliban mengambil alih pangkalan itu.
Dalam lawatannya ke Britain, baru-baru ini, Trump berkata, AS sedang berusaha mendapatkan semula pangkalan berkenaan.
Kenyataan itu menarik perhatian dan mencetuskan spekulasi sama ada AS bercadang untuk menghantar semula tenteranya ke Afghanistan.
Semalam, Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa AS sedang berbincang dengan Afghanistan mengenai usaha menguasai semula pangkalan itu.
"Kita mahu ia dikembalikan. Kita mahu ia dikembalikan dengan segera, serta merta. Jika mereka tidak melakukannya, anda akan tahu apa yang saya bakal lakukan," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan