Lebih 400 warga Indonesia 'dibebaskan' industri scam Kemboja
PHNOM PENH: Lebih 400 warga Indonesia dibebaskan rangkaian penipuan siber di Kemboja semalam, selepas Phnom Penh mengumumkan operasi baharu terhadap industri haram itu.
Individu bekerja di hab penipuan siber Asia Tenggara, sama ada secara sukarela atau melalui pemerdagangan manusia itu menjerat pengguna internet di seluruh dunia melalui skim percintaan palsu dan pelaburan kripto, menghasilkan puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) setiap tahun.
Duta Indonesia ke Kemboja, Santo Darmosumarto, berkata tindakan penguatkuasaan undang-undang baharu di Kemboja mengakibatkan 'banyak sindiket penipuan dalam talian memberhentikan pekerja'.
Katanya, seramai 440 warga Indonesia datang ke kedutaan di Phnom Penh selepas 'dibebaskan sindiket penipuan dalam talian' dengan kebanyakannya mahu pulang ke tanah air, antara 1 Januari hingga Ahad lalu.
Beliau berkata, pihak kedutaan akan menyegerakan proses menghantar pulang, selain berharap kumpulan warga Indonesia terbabit 'kembali ke tanah air secara sendiri'.
"Mereka 'terbabit dalam penipuan siber' bagi tempoh antara beberapa bulan atau tahun, selain ada kes yang pasport mereka dirampas.
"Susulan operasi tegas berterusan Kemboja, kedutaan menjangkakan ramai lagi akan datang dari luar bandar," katanya menerusi video dimuat naik di Instagram.
Beberapa warga asing meninggalkan kawasan disyaki lokasi penipuan di seluruh Kemboja bulan ini, apabila kerajaan berjanji 'menghapuskan' isu berkaitan penipuan perdagangan dalam talian, yang menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), membabitkan sekurang-kurangnya 100,000 orang di Kemboja sahaja.
Kebanyakan kumpulan jenayah rentas negara berpusat di Kemboja dan Myanmar asalnya menyasarkan penutur bahasa Cina, tetapi kini mengembangkan operasi penipuan ke pelbagai bahasa.
Semalam, puluhan warga Indonesia dan sebahagian dilapor membawa beg serta beratur di luar kedutaan republik itu.
Kira-kira 100 orang pula beratur di luar Kedutaan China di Phnom Penh, tetapi enggan mengulas apabila dihampiri AFP.
Sementara itu, remaja lelaki berusia 18 tahun dari Sumatera, Indonesia, berkata dia melarikan diri dari kawasan di bandar Bavet, berhampiran sempadan Kemboja-Vietnam, di mana dia dipaksa menipu orang secara dalam talian selama lapan bulan tanpa gaji walaupun dijanjikan AS$600 (RM2,431.50) sebulan.
Katanya, dia tiba di Phnom Penh kelmarin, sebelum mengunjungi kedutaan untuk memohon pasport baharu kerana dokumennya itu 'dirampas oleh bos China'.
"Mereka membebaskan semua orang selepas dengar polis akan masuk ke kawasan terbabit," katanya.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, ketika ditanya mengenai ratusan orang beratur di luar kedutaan republik itu di Phnom Penh, berkata Beijing 'memberi perhatian serius ke atas tahap keselamatan warga China di luar negara'.
Baru-baru ini, Kemboja menahan dan menghantar pulang hartawan kelahiran China, Chen Zhi, yang disyaki menjalankan operasi penipuan internet dari Kemboja, ke Beijing.
Zhi yang juga bekas penasihat Kerajaan Kemboja, sudah didakwa oleh pihak berkuasa AS, Oktober lalu.
AWAS!!!


Tiada ulasan:
Catat Ulasan