Angka korban tunjuk perasaan di Iran melebihi 3,000 mangsa
DUBAI: Angka korban dalam tunjuk perasaan di serata Iran telah melebihi 3,000 orang, menurut kumpulan hak asasi HRANA yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, aktiviti Internet dilaporkan 'meningkat sedikit' di dalam negara itu selepas sekatan selama lapan hari.
HRANA berkata mereka dapat mengesahkan sebanyak 3,090 kematian, termasuk 2,885 penunjuk perasaan setakat ini selain lebih 10,000 individu ditahan, ketika bantahan berterusan di ratusan lokasi merentasi semua wilayah negara itu.
Ini menyusuli laporan daripada penduduk bahawa tindakan keras pemerintah berjaya mengurangkan tunjuk perasaan buat masa ini, dengan media pemerintah melaporkan lebih penangkapan dilakukan.
Bandar ibu negara Tehran juga dilaporkan agak tenang selama empat hari ini, kata beberapa penduduk kepada agensi berita Reuters.
Beberapa dron dilaporkan berlegar di udara bandar ibu negara itu, namun tiada tanda-tanda tunjuk perasaan besar kelihatan pada 15 atau 16 Januari, kata penduduk yang meminta nama mereka dirahsiakan bagi alasan keselamatan.
Seorang penduduk di sebuah bandar utara di Laut Kaspia berkata jalan raya di sana juga kelihatan tenang.
Tunjuk perasaan itu tercetus pada 28 Disember menyusuli kesempitan ekonomi, dan berkembang menjadi demonstrasi besar-besaran yang menuntut pengakhiran pemerintahan ulama di Republik Islam itu.
Apa yang membezakan gelombang bantahan kali ini adalah skop dan matlamatnya, di mana slogan yang dilaungkan bukan lagi menuntut perubahan dasar tertentu, sebaliknya menolak keseluruhan sistem autoritarian.
Rakaman yang disahkan media antarabangsa menunjukkan penunjuk perasaan melaungkan, 'Mati diktator' dan 'Rakyat Iran, bangkit tuntut hakmu', mencerminkan kemarahan yang tidak lagi terbatas pada isu ekonomi.
Ia terus meruncing menjadi keganasan besar-besaran pada hujung minggu lalu.
Menurut kumpulan pembangkang dan seorang pegawai Iran, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pergolakan dalam negara paling buruk itu yang direkodkan sejak Revolusi Islam Iran pada 1979.
"Kajian menunjukkan peningkatan sangat sedikit dalam sambungan Internet di #Iran pagi ini selepas 200 jam penutupan," menurut kumpulan pemantau Internet NetBlocks yang memuat naik kenyataan itu di X.
Tahap sambungan Internet masih sekitar dua peratus berbanding tahap biasa, kata NetBlocks.
Segelintir rakyat Iran di luar negara turut melaporkan di media sosial bahawa mereka berjaya menghantar mesej kepada pengguna yang berada di dalam Iran pada awal 17 Januari.
Presiden AS, Donald Trump, yang pernah mengugut akan mengambil 'tindakan keras' sekiranya Iran menggantung penunjuk perasaan, berkata pemimpin Tehran telah membatalkan hukuman gantung beramai-ramai.
"Saya amat menghargai bahawa semua hukuman gantung yang dijadualkan, yang sepatutnya dijalankan semalam (lebih 800 orang), telah dibatalkan oleh pimpinan Iran. Terima kasih!" tulis Trump di media sosial.
Namun, Iran belum mengumumkan sebarang rancangan untuk pelaksanaan hukuman tersebut, atau menyatakan ia telah dibatalkan.
Pelajar dan ekspatriat India yang pulang dari Iran berkata pergerakan mereka terbatas dalam penginapan masing-masing semasa berada di negara itu, dan tidak dapat berhubung dengan keluarga di India. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan