Ketua Staf Markas Angkatan Bersama ATM didakwa pecah amanah RM5 juta
KP, Timbalan KP Jabatan Alam Sekitar direman 7 hari
Bekas Panglima Divisyen Pertama Infantri didakwa pecah amanah wang RM5 juta milik TKAT
KUALA LUMPUR – Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mohamed Fauzi Kamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.
Mohamed Fauzi, 56, yang juga bekas Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, didakwa menyalahgunakan harta milik TKAT dalam akaun sebuah bank dengan membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan jawatankuasa pelaburan tabung berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika berjawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan, No. 15, Jalan Padang Tembak di sini pada 27 November 2023.
Mohamed Fauzi didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 Mac ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mencadangkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.
Beliau yang hadir bersama-sama Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Nurul Izzati Sapifee turut memohon pasport diserahkan kerana tertuduh masih dalam ATM dan kerap ke luar negara untuk menghadiri program tertentu.
“Terdapat kemugkinan tertuduh melarikan diri, jadi jaminan RM300,000 adalah munasabah dan pasport perlu diserahkan,” ujar beliau.
Sementara itu, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Mohamed Fauzi memohon jaminan dikurangkan kepada RM70,000 kerana tertuduh mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.
“Kes ini menarik kerana tertuduh masih dalam tugas dan `menanggung’ dua bintang atas bahunya. Jaminan RM300,000 adalah keterlaluan.
“Tuduhan yang dihadapinya bukan menggelapkan wang, ia hanya menyalah guna wang. Saya percaya beliau akan hadir setiap kali kes disebut di mahkamah,” ujar peguam.
Pegawai kanan ATM berpangkat Mejar Jeneral itu aktif dalam operasi strategik termasuk menyempurnakan pelepasan pasukan bantuan kemanusiaan Hospital Medan Malaysia ke Myanmar pada April tahun lalu.
Beliau yang dilantik sebagai Panglima 1 Divisyen Infantri, Tentera Darat Malaysia (TDM) pada Disember 2023, pernah terlibat dalam kedua-dua aspek operasi taktikal dan pengurusan anggota ATM. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan