Jumaat, 30 Januari 2026

DOLAR, PETROL , EMAS DAN PERANG


DOLAR, PETROL, 

EMAS

 DAN PERANG



Pencerahan tentang Petrodollar telah dipaparkan.   Tamatnya Perjanjian Petrodollar antara Amerika dan Saudi Arabia pada 9 Jun 2024  telah di beritahu. Berita yang amat penting ini tidak di hebohkan untuk menjadi perbualan global.

Tidak dihebohkan agar tidak mengganggu gugat perjalanan ekonomi dunia. 

Hasilnya : Hari ini di Malaysia muncul berita gumbira dalam media : Nilai ringgit tinggi berbanding dengan dolar. Berdasarkan data terkini pada 27 Januari 2026, nilai 1 dolar  adalah sekitar 3.96 hingga 3.97 Ringgit Malaysia.

Tahun 2020 – lima tahun dulu  1 dolar Amerika bernilai antara sekitar RM4,05 hingga RM4,45. Ringgit sempat melemah ke titik terendah sekitar RM4,447 pada 23 Mac 2020.

Apakah ini bermakna ekonomi kita lebih baik?  Sabar dulu Jang !   Jangan gopoh buat rumusan.

Dari segi nilai ringgit memang baik. Tapi ini bukan bukti  ringgit dan ekonomi Malaysia  bertambah baik. Tidak. Nilai ringgit naik kerana ekonomi Amerika merundum. Ringgit naik kerana  nilai dolar jatuh  bukan kerana ekonomi Malaysia melonjak.  Jangan lari dari fakta ini.

Untuk memahami  lagi apa yang sedang berlaku mari kita lihat pula harga emas.

Harga emas 999 tulen di Malaysia sekitar 10 tahun lalu (kira-kira 2014-2015) berada dalam lingkungan RM130 hingga RM150 lebih per gram, jauh lebih rendah berbanding harga RM300-RM400+ per gram pada 2024/2025. Ini menunjukkan peningkatan harga emas yang signifikan dalam tempoh sedekad.

Hari ini kita akan terus membaca berita harga emas terus naik.

Bagaimana pula dengan harga  minyak mentah. Harga minyak mentah Brent pada awal tahun 2026 berada sekitar 61-65  dolar setong (kira-kira RM270-RM290).

Harga minyak mentah turun ketara berbanding harga purata lebih USD 100 setong pada tahun  2014.

Harga minyak mentah diramal jatuh lagi pada tahun  2026. Menurut  Goldman Sachs dalam laporan CNBC  kejatuhan ini berpunca daripada lebihan bekalan global, risiko kemelesetan ekonomi, dan potensi peningkatan pengeluaran OPEC.

Lebihan bekalan dijangka ketara disebabkan pengeluaran tinggi dari negara bukan OPEC (Amerika, Rusia, Venezuela) serta permintaan yang lebih lemah.

Permintaan lemah ialah kata kunci. Ini kerana minyak petrol adalah tenaga utama yang mengerakkan ekonomi dunia. Jika bahan ini kurang permintaan ertinya jelas ekonomi dunia sedang merundum.

China dan Rusia mendahului negara lain sedang mengumpul rizab emas fizikal. Negara mahu memegang dan menyimpan emas sebagai rizab negara. Kelihatan   hari demi hari semakin banyak negara mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika. Negara lain seperti India dan Arab Saudi juga aktif meningkatkan simpanan emas.

Amerika, Jerman dan Itali pemegang tradisi   stok emas strategik yang tinggi. Negara ini sedang membuat persediaan. Untuk persediaan  apa?  

Pengalaman mengajar negara-negara ini untuk bersedia menghadapi zaman meleset.  Bila harga emas melonjak naik dalam masa yang sama harga minyak petrol jatuh. Ini satu petanda yang tidak baik. Ini petanda kemelesetan ekonomi.

Tetapi Bursa Sham di Wall Street naik gila-gila.  Bursa saham Hang Seng, Nikkei dan Shanghai  kelihatan turun dan naik.

Awas! Bursa saham ialah wilayah spekulasi. Wilayah duit buat duit. Bursa saham bukan  punca pengeluaran. Bursa bukan terlibat dalam produksi apa-apa. Ini warung judi.

Ekonomi dunia hari ini bergantung kepada kekuatan Ekonomi Amerika. Di belakang Amerika ialah China. Di belakang China ialah Jepun.   

Sila beri perhatian yang rapi tentang perkembangan ekonomi setiap negara ini. Kita tahu bahawa hutang negara Amerika sedang mencekik leher penduduk Amerika.

Sehingga akhir Januari 2026, hutang negara Amerika telah melepasi 38.5 trilion dolar, dengan purata lebih 115,000 dolar hutang  setiap warganegara, dan meningkat kira-kira 1 trilion dolar setiap 100 hari. 

Hutang ini, didorong oleh defisit struktur dan kadar faedah yang tinggi, menyamai lebih 120% daripada keluaran ekonomi tahunan (KDNK) negara. Perbendaharaan meminjam dana dengan mengeluarkan sekuriti kepada pelbagai pelabur.

Dana ini dipinjam dari Federal Reserve. Ini sebenarnya teater.  Federal Reserve tidak  memiliki apa-apa punca ekonomi. Apa yang dilakukan oleh Federal Reserve ialah mencetak kertas hijau dan dinamakan Dollar. 

Adalah lebih tepat jika Federal Reserve Amerika ini di panggil  Syarikat Percetakan Duit Negara. Amin.

Hakikatnya ketika tulisan ini di garap ekonomi Amerika makin terumbang ambing. Tapi dari media dunia kita di sajikan dengan berita Trump. Kita di sajikan dengan rancangan Damai 2025 Trump. Kita di sajikan degan Lembaga Damai Gaza. 

Ini semua teater. Di belakang semua ini - majoriti  pakar ekonomi yang rasional - yang otak tak senget - semua meramalkan ekonomi  Amerika dalam bahaya.
Awas! Jika ekonomi Amerika dalam bahaya ertinya  ekonomi  dunia kita dalam bahaya.

Untuk ini kita wajib melihat ke belakangan. Melihat sejarah untuk kita meramalkan apa yang akan berlaku. Melihat ke belakang untuk mengenali jalan ke depan.

Sebelum Perang Dunia Pertama, Eropah mengalami tempoh pertumbuhan perindustrian yang hebat. Pasaran global bersepadu.  Taraf hidup meningkat kemudian inflasi tinggi sampai pada tahun 1896–1914. Ketegangan sosial bermula. Kewangan menjadi rapuh. Emas ditinggalkan untuk tidak lagi menyokong nilai mata wang. Bajet ketenteraan meningkat.

Krisis mata wang meledak  pada  tahun 1914. Pada 18 Julai 1914 Perang  Dunia Pertama pecah.

Lihat pula apa yang terjadi sebelum Perang Dunia ke Dua.

Keadaan ekonomi global sebelum Perang Dunia Ke Dua  (1939–1945) ditakrifkan oleh Kemelesetan Besar – Zaman Meleset – Great Depression. Berjuta warga menganggur kerana hilang mata pencarian. Kilang tutup dan perdagangan  runtuh.

Keadaan ini mendorong munculnya garis politik ekstremis kanan di Jerman, di Itali dan di Jepun. 

Pada 1 September 1939 Jerman menyerang Poland maka Perang Dunia Ke Dua bermula. Hanya tamat pada 2 September 1945 satelah bom Atom  meledak di Nagasaki dan Hiroshima.

Ciri-ciri dan watak latar belakang Perang Dunia Pertama dan Ke Dua  kini jelas berada di hadapan mata kita.  Sejarah sedang berulang

Selain dari keadaan ekonomi yang semakin tidak stabil kita juga sedang menyaksikan dua perang sedang berlaku. Perang Ukraine masuk ke tahun ke empat. Perang Gaza masuk ke tahun ke tiga.

Dua perang ini mendapat liputan media. Tetapi ada lagi perang yang juga membawa maut besar tapi tidak di hebohkan di muka hadapan media.

Perang Saudara Sudan telah mengorbankan lebih banyak nyawa dari Perang Gaza. Manakala  Perang Yaman  berterusan secara senyap antara Saudi dengan Houthi. 

Paling jelas  ialah peperangan antara Amerika dan Israel yang cuba menjatuhkan kerajaan Iran.     Malah tidak jauh dari Kuala Lumpur ialah Perang Kemboja dengan Siam.

Sejarah telah menunjukkan  kepada kita semua beberapa  konflik besar berlaku pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Ke Dua.  Konflik -konflik ini menjadi pemangkin untuk  perang besar  meledak.

Lihat sejarah :  Perang China-Jepun Kedua pada tahun 1937–1945. Perang Saudara Sepanyol 1936–1939.  Pencerobohan Itali ke atas Ethiopia 1935–1936.  Dan jangan lupa pertempuran sempadan Soviet-Jepun 1938–1939. Semua konflik ini membawa ke Perang Dunia Ke Dua.

Suasana  politik dunia kita  pada tahun 2026  ini sama seperti sebelum meledaknya Perang Dunia Ke Dua.  

Politik garis kanan – ekstremis kanan – sedang mengembang luas. Di Amerika kita ada  MAGA – Make Amerika Great  Again di bawah Trump. Di Itali ada  PM Meloni dari  Party Brothers of Italy. Parti ini adalah  suku sakat dari  parti Fasis Mussolini.

Di Jerman  pada tahun 2013 muncul  Party Alternative For Germany. Parti garis kanan yang membawa iras politik Hitler. Parti AFD ini semakin popular.  

Manakala di UK muncul Reform UK  yang didirikan pada 2018. Parti garis kanan ini amat popular kini memilik 9 YB dalam Parlimen UK. Ketua Reform UK ialah Nigel Farage yang telah menjalinkan hubungan kerjasama yang amat  rapat dengan Donald Trump.

Jangan lupa hari  ini Presiden Perancis ialah Emmanuel Macron. Kerajaan garis tengah  ini terumbang ambing. Yang menunggu di belakang pintu ialah Marine Le Pen  dari parti National Rally. Parti ini adalah  suara kanan yang akan mengendalikan   Perancis.

Perang memerlukan senjata.  Pembuatan  dan lambakan senjata ini menjadi  tanda bahawa dunia kita sedang berhadapan dengan ambiance perang. Ini  sama seperti sebelum Perang Dunia Ke Dua. 

Tahun  2025  semua negara di Kesatuan Eropah telah bersetuju untuk menaikkan belanjawan pertahanan  kepada 5 % dari belanjawan negara. Ini satu peningkatan yang memeranjatkan.

Belanjawan pertahanan ini bermakna mendirikan kilang  kereta kebal. Mendirikan kilang peluru. Mendirikan kilang  drone dan jet pejuang. Mendirikan  armada   darat  dan laut.

Jerman  kini mewajibkan warga  berumur 18 ke atas  untuk menjadi soldadu. UK juga memasang niat yang sama. Peranchis  dan Belgium telah sedia ada sistem khidmat negara yang mewajibkan warga untuk jadi soldadu selama dua tahun.

Negara-negara Eropah yang  lain juga mengamalkan kerahan tenaga aktif termasuk Austria, Cyprus, Denmark, Estonia, Finland, Greece, Latvia, Lithuania, Norway, Sweden, Switzerland dan Turki. 

Jelas pada tahun 2026 ini negara-negara Eropah sedang  bersedia untuk berperang.  Apakah  Perang Dunia Ke Tiga akan meledak? Siapa akan dijadikan musuh ? Tunggu minggu hadapan. Amin. ( TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/766924









Tiada ulasan: