Pusat urut bayar 'wang perlindungan' RM2.7 juta setahun kepada penguat kuasa
KUALA LUMPUR: Rangkaian pusat urut terkemuka yang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki membayar rasuah RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai daripada beberapa agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai wang perlindungan.
Menurut sumber, rangkaian pusat urut ini dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis di mana 80 peratus jualan tunai tidak dilaporkan, menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.
"Syarikat ini disyaki membayar rasuah sebanyak RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai daripada beberapa agensi penguat kuasa termasuk PBT sebagai wang perlindungan.
"Susulan itu, SPRM menahan lima lagi individu termasuk empat penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka di negara ini," katanya.
Menurut sumber itu, empat daripada mereka membabitkan tiga penguat kuasa dan seorang pesara direman empat hari hingga 2 Februari ini selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
"Sebelum itu, kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 30 hinga 60-an berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan antara jam 5 hingga 7 petang semalam.
"Seorang daripada suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala empat lagi di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman," katanya.
Semua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat perniagaan pusat urut untuk melancarkan operasi pusat urut serta memudah cara bagi proses permit pekerja asing syarikat terbabit.
"Hingga kini, SPRM sudah mengambil keterangan daripada 16 saksi bagi membantu siasatan.
"Susulan siasatan itu juga, SPRM menggeledah enam lokasi di Lembah Klang membabitkan pejabat serta kediaman suspek-supek yang dikenal pasti," katanya.
SPRM juga mengambil tindakan membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat bernilai kira-kira RM13.3 juta.
Kes disiasat ikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Katanya, siasatan juga sedang menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen di bawah kesalahan jenayah lain khususnya di bawah aktiviti pengubahan wang haram.
Media sebelum ini melaporkan SPRM membekukan 121 akaun bank bernilai kira-kira RM11.5 juta selepas lima individu direman bagi siasatan rasuah penguat kuasa membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka.
SPRM menerusi kenyataan dimuat naik menerusi akaun rasmi TikTok suruhanjaya itu berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat oleh SPRM pagi tadi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan