China hukum mati 11 anggota sindiket penipuan Myanmar
BEIJING: China hari ini melaksanakan hukuman mati terhadap 11 individu yang dikaitkan dengan sindiket jenayah rentas sempadan di Myanmar.
Antaranya termasuk dalang utama yang terbabit dalam operasi pusat penipuan telekomunikasi, menurut laporan media kerajaan.
Mereka dijatuhi hukuman mati pada September lalu oleh sebuah mahkamah di bandar Wenzhou, timur China, lapor Xinhua, sambil menambah bahawa mahkamah berkenaan turut melaksanakan hukuman itu.
Antara yang dihukum mati ialah anggota 'kumpulan jenayah keluarga Ming', yang aktivitinya menyebabkan kematian 14 warga China serta kecederaan kepada 'ramai yang lain'.
Pusat-pusat berkenaan lazimnya dikendalikan oleh warga asing, termasuk ramai warga China, dengan kebanyakan mereka mendakwa diperdagangkan dan dipaksa menipu orang ramai secara dalam talian.
"Ahli keluarga terdekat penjenayah dibenarkan bertemu dengan mereka sebelum hukuman dilaksanakan," tambah Xinhua.
Hukuman mati itu telah diluluskan oleh Mahkamah Rakyat Tertinggi di Beijing, yang mendapati bukti kesalahan yang dilakukan sejak 2015 adalah 'muktamad dan mencukupi', menurut Xinhua.
Beijing sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkatkan kerjasama dengan negara-negara Asia Tenggara untuk membanteras pusat-pusat berkenaan, dengan ribuan individu dihantar pulang ke China.
Tahun lalu, Kementerian Keselamatan Awam China memaklumkan lebih 7,600 warga China yang disyaki terbabit dalam perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi telah dihantar pulang dari Myawaddy, sebuah bandar di tenggara Myanmar berhampiran sempadan Thailand.
Awal bulan ini, Kemboja mengekstradisi ke China hartawan Chen Zhi, yang menurut Amerika Syarikat (AS) mengetuai sebuah konglomerat yang menjadi penyamaran kepada rangkaian penipuan siber bernilai berbilion dolar.
Pihak berkuasa China menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai amaran keras terhadap jenayah rentas sempadan, sambil menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara jiran bagi membanteras rangkaian jenayah terancang.
Setakat ini, butiran lanjut mengenai identiti kesemua individu yang dihukum mati tidak didedahkan, namun pihak berkuasa menegaskan usaha penguatkuasaan akan diteruskan bagi mematahkan operasi penipuan yang masih aktif di rantau itu. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan