Ahad, 15 Februari 2026

PANDANGAN KADIR YASIN


 BERSATU PECAH

KERANA

MUHYIDIN YASIN

NAK  JADI PM

TAPI MALAS

MENYUSUN RAKYAT

 MALAS SUSUN DEMO 

AMIN 

PRU16 

PASTI KALAH 

KHALAS



Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), buat masa ini, lebih sesuai dipanggil parti pecah belah dan pecat ahli.

Pada hari Jumaat, 13 Februari, parti tiga puak itu, menurut pelbagai laporan media massa, telah memecat 17 orang ahli kanan, termasuk Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.

Tiga puak dalam parti itu adalah ahli asal diketuai Mahiaddin bin Md Yasin aka Muhyiddin Yassin, feksyen Hamzah dari Umno yang masuk selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan feksyen PKR yang dipimpin oleh Mohd Azmin Ali yang masuk pada tahun 2020.

Selain Hamzah, yang dipecat termasuklah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Hendak mudah cakap, mereka dibuang kerana tidak sebulu dengan Mahiaddin dan feksyennya. Mahiaddin masih disokong oleh puak Azmin.

Bekas Perdana Menteri tebuk atap itu menggunakan kaedah yang dipraktikkan oleh Mohd Najib Abdul Razak bagi menyingkirkan beliau (Mahiaddin) daripada Umno pada tahun 2016 kerana bertanya mengenai skandal 1MDB.

Sudahlah ahli BERSATU tidak banyak mana, sikit-sikit gantung dan pecat. Jadi apa yang tinggal?

Saya tidak terkejut dengan pembuangan besar-besaran ini. Mahiaddin nampak baik dan warak, tetapi hati beliau keras dan beliau ada angin.

Kalau ikut amalan parti itu, saya pun kena pecat juga. Dalam bulan Ogos 2020, setelah berjaya mengetui gerakan tebuk atap “Sheraton Move”, BERSATU membuang ratusan ahil yang tidak menyokong usul keluar Pakatan Harapan (PH).

Nama saya termasuk dalam senarai ahli yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia sebagai “terkeluar” daripada daftar ahli. Bagaimana pun, sebelum tersiar iklan itu, saya telah mengemukakan surat penarikan diri.

Saya kenal Mahiaddin lama juga dan agak rapat apabila beliau ditukar daripada Menteri Besar Johor kepada Menteri Belia dan Sukan tahun 1995. Jadi saya tidak terkejut sangat dengan “bloodbath” dalam BERSATU sekarang.

Dengan mengurangkan feksyen dalam BERSATU daripada tiga kepada dua, lebih mudahlah Mahiaddin mengukuhkan kepresidenannya. Tetapi pada masa yang sama, kurang jugalah peluang beliau memenuhi cita-cita tinggi kembali jadi Perdana Menteri.

Sebelum pemecatan Hamzah pun, Mahiaddin bukan lagi pilihan utama Perikatan Nasional (PN) sebagai calon Perdana Menteri. Hamzah dikatakan mendahului.

Tetapi dengan penecatan  daripada BERSATU, Hamzah pun, rasanya, bukan “front runner” lagi.

Lebih masuk akal kalau kepimpinan PAS, sebagai rakan kongsi terbesar Perikatan Nasional (PN), memikirkan calon daripada parti mereka sendiri. PAS ada ramai ulama, ilmuan dan ahli profesional.

Hamzah dan bekas pemimpin BERSATU yang kena pecat boleh tubuh parti baru atau, berfikir secara serius, menyertai PAS seperti dilakukan oleh Shahidan Kassim dan Anuar Musa setelah dipecat daripada Umno pada tahun 2022.

Dalam jangka masa singkat, kalau hasrat perpaduan Melayu masih relaven, PAS, sebagai parti Melayu-Islam terbesar, wajar mencari rakan baru atau, lebih afdal, bertindak sebagai penyatu. Ia tidak boleh berharap dan bergantung kepada BERSATU lagi.

Sekian. Terima kasih.

A Kadir Jasin, 

BEKAS Ketua Pengarang NST.


Tiada ulasan: