Nurul Izzah Aidilfitri

selangorku 1

.

Isnin, 25 Ogos 2008

SEBATANG KERETEK TANDA PERSAHABATAN

Kami tidak pernah berkenalan. Dia dari Guar Perahu Permatang Pauh. Saya dari Jelebu Negeri Sembilan. Dia penjual ikan dari kampung ke kampung. Saya penjual cerita dari pekan ke pekan.

Di Permatang Pauh kami bertemu.

Saya menunggu kedatangan Ustaz yang menjadi 'saksi' Saiful. Dia datang ke padang yang sama kerana rumahnya tidak jauh dari kampung ini – Kampung Padang Ibu.

Kerana terlalu letih berdiri lalu saya mencari tempat untuk duduk. Di tepi batu longkang entah rumah siapa saya ternampak seorang lelaki berbaju t kuning, berseluar hitam lusuh dan berselipar. Saya memberi tanda untuk duduk sama. Dia ’berensot’ memberi ruang.

Janggutnya tidak terurus. Dalam gengaman tangan kirinya ada segulung daun nipah. Sahih dia orang kampung. Kami berpandangan sekali lagi sebagai tanda hormati menghormati.

Dia mula menggulung tembakau. Saya mengambil sebatang keretek lalu menghulurkan kotak ke arahnya. Dia tersenyum gembira tetapi rokok hanya tinggal sebatang. Dia enggan menerima lalu saya katakan bahawa dalam beg kecil saya ada dua kotak lagi. Dia tersenyum puas lalu membakar keretek.

Dalam gian asap keretek itu kami mula mengenal satu sama lain. Mohamad Fauzi lebih muda dari saya – 46 tahun – tapi kerana tanda hormat – dia yang telah berumah tangga - saya panggil dia abang.

Dia datang ke ceramah ini kerana diajak oleh seorang kawan. Bila saya tanya di mana kawannya dia menunjukkan ke arah padang gelap yang penuh sesak dengan penonton. Pasti kawannya lebih politikus daripada dirinya yang hanya duduk jauh mendengar.

Si Penjual Ikan ini rupa-rupanya tidak menyebelahi sesiapa pun. Sebelum datang mendengar ceramah ini dia telah juga diajak datang makan malam di rumah Barisan Nasional. Ada kurma ayam, sayur dan buah. Tapi tidak ramai tamu yang datang, katanya.

Di sana dia diberi satu tiket cabutan bertuah. Tiket ini untuk memastikan dia akan terus berada dalam rumah ini untuk menunggu tamu jemputan. Entah siapa yang akan datang. Dia tidak ambil peduli.

Saya bertanya siapa yang akan menang esok. Dia hanya berkata ' wallah hu a’lam..' Si Penjual Ikan ini nampaknya adalah 'warga baru' dalam politik negara'. Saya datang kerana hendak mendengar..' Loghat utaranya cukup kuat. Berkali-kali saya meminta dia ulangi ayat-ayat yang di tuturkan. Dia ketawa. Saya pun ketawa sama melihat bebal sendiri.

Si Ustaz yang ditunggu pun sampai untuk berucap. Saya meninggalkan si Penjual Ikan untuk rapat ke padang. Si Penjual Ikan tidak bergerak dari jubin longkang.

Selesai ceramah Ustaz saya datang kembali ke jubin longkang. Kali ini kami telah mesra. Dia bertanya apakah cerita yang saya tulis ini akan keluar di akhbar. Dia tidak membeli akhbar jauh lagi memiliki sistem internet. Dia penjual ikan yang dibelinya dari Pasar Bisik-Bisik di Kuala Muda.

Seorang Pak Haji berserban sedang berucap di pentas. Kami dapat melihat jauh dari kain wayang. Dia ketawa kerana katanya 'orang-orang Ustaz ini selalu buat macam tahu' tetapi di bahu kiri dan bahu kanan kita ada orang yang lebih tahu. Si Penjual Ikan kesian melihat si Ustaz berapi-api di pentas ceramah.

Hampir tengah malam Anwar Ibrahim sampai ke pentas. Saya ke hadapan untuk mendengar apa yang hendak di labunkan oleh Anwar. Tidak sampai 15 minit ceramah selesai. Saya mengundur ke jubin longkang untuk memasang sebatang lagi keretek.

Si Penjual Ikan tidak ada lagi di situ. Yang tinggal hanya kertas akhbar yang mengalas bontot kami daripada basah duduk di tepi longkang.

Saya menghisap keretek seorang diri. Sampai kiamat pun saya tidak akan sampai lagi ke tepi longkang ini. Dan sampai kiamat pun saya tidak akan bertemu lagi dengan si Penjual Ikan ini. Yang tinggal hanya ingatan.

13 ulasan:

labizzwkshop berkata...

sunggul dalam bahasa tuan hamba..mcm sedih rasanya diakhir cerita...tolong buat satu novel..sy nak beli dan baca berulang2 kali..

Tanpa Nama berkata...

Saudara,

Saya membaca kolum ini sebelum solat zohor dan membuat komen selepas Solat ditunaikan.

Saya rasa Sdr. mungkin bersetuju bertapa indah dan mewahnya hidup kenalan rokok keretek Sdr. itu kerana segala gala baginya cukup dan dia tidak digasak utk mencari kemewahan walau sudah beristeri. tentu Isterinya seorang wanita yang memahami Suaminya itu Syourganya.

Mereka ini yang dikatakan rakyat yang pelu dibela dan dilindong jika kerajaan itu benar benar prihatin kerana mereka mereka ini tidak tahu apa yang naik dan apa yang turun.

hanya mungkin dia sedar bertambah susah nak cari duit dan barang yang dibeli dengan nilai RM yang sama tapi dapat sedikit? Tak Tahule aku nape??? Komplen dia kepada Isterinya WANITA yang setia.

GanyaS

ZanPauh berkata...

Aku bukanlah orang yang pandai sangat tentang politik atau kewartawanan. Tapi setakat yang aku faham apa yang tuan tulis adalah dekat dengan rakyat terbanyak, orang miskin seperti aku dan si penjual ikan.

Farid Kuantan berkata...

isham.. aku tidak ketagih keretak tp ketagih tulisan kau mcm ni...

Tanpa Nama berkata...

Sham, 5hb sampai 25hb (11 hari di Pmtg Pauh), susah nak cari pengalaman macam ni, makan tidur tak tentu hala...

lebih 58 ribu pengunjung blog ni 11 hari, 5 ribu lebih satu hari, orang semua dahagakan berita...

kenapa tak tepek adsense sikit kat footer bawah tu, ada jugak hasil masuk... hehehe

Tanpa Nama berkata...

Blog saudara telah menjadi juara pada carta blog kegemaran saya ... meminjam komen saudara zanpauh ... memang dekat dengan rakyat terbanyak ...

D'ayo

NB berkata...

HR..
Allah menentukan segala-galnya. Pada satu hari yang indah, yang sudah ditentukan tuhan. Tidak dapat dijangkau oleh fikiran HR..insyallah..satu masa nanti HR akan bertemu si penjual ikan ini..

yon75 berkata...

isham,,,sejak penamaan calon ari tu, selalu terserempak dgn saudara kat area sini, last saya jumpa kat taman guar perahu, dok pekena kopi o sambil dok mencari power point kat gerai celcom utk charge hp,,mungkin belum ada kesempatan untuk bertegur sapa..blog yg sgt simple dan menarik...keep it up...moga blog ni terus hidup lps prk ni,,

Pak Oncu berkata...

Bang kok dtg ke Ghombau jgn lupo dtg kg den, Kg Bintongan....

hampaman berkata...

berdekah2 aku ketawa. kelakar, selamba. timakasih isham.

Tanpa Nama berkata...

padat,mendalam,menyucuk jiwa..wa caya lu isham!

Tanpa Nama berkata...

Hishamuddin sbb apa kuat sangat hisap rokok keretek tu, sampai sambung menyambung puting, sebagai kawan slow2 la sikit, bukan apa kesihatan mau jaga beb...

dulu hisap juga, sekarang dah berhenti

Tanpa Nama berkata...

isham mengapa sedikit sangat orang macam saudara kat malaysia ni,
Klu ramai kan baguih, bg saya saudara adalah seorang pejuang dgn cara tersendiri