Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya. Papar semua catatan

Isnin, 25 Mei 2009

GOCOH SAMPAI LENYAP




KEADAAN BERGELORA DALAM GERAKAN PULAU PINANG
– berita hairan


BUKIT MERTAJAM: Keadaan semakin bergelora dalam Gerakan Pulau Pinang selepas empat cawangannya di Machang Bubok, hari ini secara terbuka menggesa pengerusi negeri, Dr Teng Hock Nam, menyemak semula pilihannya bagi jawatan penyelaras kawasan di kawasan itu.

Jurucakap mereka, Ooi Liang Chai, berkata empat cawangan berkenaan iaitu Permatang Tinggi, Alma, Taman Sri Kijang dan Machang Bubok, mahu Dr Teng mencalonkan seseorang dari Machang Bubok untuk dilantik sebagai penyelaras.

"Kami tidak puas hati dengan keputusannya mencalonkan seseorang dari luar untuk menjadi penyelaras. Sebelum beliau membuat pelantikan itu, beliau sepatutnya merujuk kepada kami. Kami adalah orang tempatan di sini tetapi kami tidak kenal siapa orang ini (dilantik penyelaras)," katanya pada sidang akhbar di pejabat cawangan Gerakan Machang Bubo

kah kah kah… SATU MALAYSIA SUKA BERITA INI….kah kah kah..

kah kah kah… BILA MUSUH BERGADUH DI TANJUNG… KITA BUBUH MINYAK.. BIAR GADUH PANJANG PANJANG…kah kah kah…

kah kah kah… API API KAN LAGI…. SOKONG MANA YANG PATUT… BAGI DEPA GUBRA…BAGI DEPA GADUH. kah kah kah..



Khamis, 11 September 2008

STOP PRESS !! PANAS TERBARU

Satu sidang media pengisytiharan keluar parti oleh  pemimpin Malaysian Indian Congress (MIC), United Malays National Organisation ( UMNO ) , Malaysian Chinese Associatioan (MCA) dan People Progressive Party (PPP) akan di adakan di Pejabat  Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan di Rahang.

Sidang akhbar ini akan di adakan pada pagi Khamis  11hb September jam 10.00 pagi.
Sidang akhbar ini akan disertai oleh pemimpin PKR Negeri Sembilan.

Untuk lanjutan sila berhubung dengan Cigu Bard PKR Negeri Sembilan - 017-668-84-04

Isnin, 8 September 2008

KEMENGAN JOSEPH KURUP DI PARLIMEN PESIANGAN DIBATALKAN


KOTA KINABALU 8 Sept Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini hari ini mengisytiharkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lepas batal dan tidak sah.

kah kah kah..... satu lagi pilihanraya kecil..... kah kah kah..... pening kepala jinga najib...... tapi mungkin tak ada.... tahulaaaa malaysia ni.... mahkamah  dah beri arahan......dia putar alam lagi.....kah kah

Jumaat, 5 September 2008

TERKINI ! HOT !

Ahli-ahli Parlimen BNBBC yang diminta menghantar kopi muka depan passport mereka akan ‘melarikan’ diri ke Australia.

Para YB yang diminta 'lari' ini bukan hanya dari Sabah dan Serawak tetapi ke semua ahli Parlimen dari semua komponen Barisan Nasional.

‘Pelarian’ ke Australia ini bertujuan untuk menjauhkan mereka dari berada di Malaysia pada 16 September ini.


Kah kah kah…… ooooi nak lari ke mano? Tak nak rayo kek kampong ko…. Jang oooi kao nak makan tolo kangaroo ko kek sano.

Kah kah kah….. sapo suruh pogi australia….. mat taib punya marah…. Dia tak boleh masuk sano…. Kalau masok kono tangap…..mi no spik inglish…. kah kah kah kah.

PEMECAH BERITA !!! HOT! TERKINI!

Back Bencher Barisan Nasional ( BNBBC) telah mendapat kelulusan mengadakan 'retreat' di luar negara mulai  7hb September hingga 19hb September 2008..

Penyertaaan para Yang Berhormat adalah wajib.

Semua mesti menghantar kopi muka hadapan passport selewatnya petang ini sebelum pejabat ditutup.

Kerjasama para YB amat-amat  di hargai. Jika ada apa-apa pertanyaan sila tanya Pengerusi atau Setiausha BNBBC. ( no talipon disertakan )

NOTA: ini adalah sms yang telah diterima dari seorang Yang Berhormat.

Apakah YB Barisan Nasional ingin dilarikan ke luar negara???

Berita akan menyusul.

Selasa, 26 Ogos 2008

SEPULUH TAHUN REFORMASI – UNTUK MEREKA YANG MASIH MUDA

Detik-detik itu datang kembali : 1998 – 2008 .

Sepuluh tahun dahulu kami turun ke jalan raya. Jalan raya adalah pilihan kami. Jalan raya adalah parlimen rakyat yang paling demokratik. Di parlimen ini tidak ada YB yang berjaket dan berDatuk. Tidak ada Tan Sri dan Mak Datin.Tidak ada ucapan berjela-jela yang membosankan.

Hanya satu tuntutan parlimen jalan raya - Mahathir Undur dan United Malays National Oganisation dihapuskan.

Gerakan REFORMASI cuba dipatahkan oleh jentera daulah. Tembakan gas pemedih mata. Tembakan cecair kimia. Dipukul. Dibelasah. Ditangkap. Semuanya untuk mematahkan dan menakutkan suara dan jiwa anak-anak muda yang mula berani menentang kezaliman dan penindasan.

Anak-anak muda – semuda yang di bangku sekolah - mula turun ke jalan raya. Anak-anak muda dari kampus berbondong-bondong ke jalan raya. Setiap minggu dari Penang, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan – kami berdemo di sekitar Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur kita punya. Dari Bukit Bintang ke Batu Road, dari Bangi ke Bandar Tun Razak, dari Chow Kit ke Chu Badak, dari Pandan ke Petaling Jaya, dari Kg. Baru ke Kg. Abdullah Hukum – warga kota turun berdemo menuntut MAHAFIRAUN meletak jawatan.

Kampus kembali menjadi arena tempur. Kampus kembali menjadi gelanggang idea. Kampus adalah tempat melahirkan pejuang muda.

Mak Cik, Kakak, Abang dan Adik adalah penyokong setia yang turut sama berani turun ke jalan raya – parlimen rakyat .Kitalah – rakyat – dan bukan YB atau menteri yang membuat sejarah. Sejarah dibuat oleh mereka yang berani. Mereka yang takut telah mati seribu kali.

Sepuluh tahun kemudian detik-detik itu datang kembali. Gerakan Reformasi dahulunya dibantai. Ramai ke penjara. Reformasi merundum. Ramai yang belot. Ramai yang tidak faham apa makna dan tanda tuntutan Reformasi.Kini suara dan gelombang Reformasi bangun kembali.

Reformasi bukan demonstrasi. Demonstrasi hanyalah salah satu manifestasi reformasi.

Jangan salah hitung. Jangan salah congak. Reformasi bukan untuk Anwar Ibrahim. Reformasi ialah tuntutan rakyat untuk mengubah sistem negara Malaysia yang tidak adil, tidak telus dan bersifat perkauman.

Anwar Ibrahim ialah manifestasi yang mewakili pengkristalan idea-idea untuk membawa sebuah Negara Malaysia yang baru yang lebih adil, saksama, tanpa hitung kaum, gender seksualiti, bangsa dan agama. Reformasi menolak Ketuanan Melayu dan Menobatkan Ketuanan Rakyat.

Sepuluh tahun bukan satu masa yang lama dalam tamadun manusia. Tetapi sepuluh tahun adalah lama dalam hayat susuk manusia. Tetapi perjuangan untuk membawa keadilan dan kesejahteran bukan tugas perseorangan. Ia bukan tugas saya. Bukan tugas awak. Bukan tugas kamu. Bukan tugas dia dan bukan tugas mereka.

Membawa dan menegakkan keadilan adalah tugas dan tanggung jawab KITA bersama. Meneruskan REFORMASI adalah tugas kita bersama. Kita meneruskan tugas sambung menyambung. Kita meneruskan sejarah perjuangan orang-orang yang terdahulu dari kita.

Isnin, 25 Ogos 2008

STOP PRESS - TERKINI

Dalam perjalanan ke Permatang Tok Kandu untuk mencari Gulai Itik.

Tunggukan laporan sama ada kedai ini meniaga hari ini atau tidak. Jika dibuka tunggukan lelehan air liur.

Jika ditutup lagi siapkan tuala mandi kerana saya hendak menangis.

SEBATANG KERETEK TANDA PERSAHABATAN

Kami tidak pernah berkenalan. Dia dari Guar Perahu Permatang Pauh. Saya dari Jelebu Negeri Sembilan. Dia penjual ikan dari kampung ke kampung. Saya penjual cerita dari pekan ke pekan.

Di Permatang Pauh kami bertemu.

Saya menunggu kedatangan Ustaz yang menjadi 'saksi' Saiful. Dia datang ke padang yang sama kerana rumahnya tidak jauh dari kampung ini – Kampung Padang Ibu.

Kerana terlalu letih berdiri lalu saya mencari tempat untuk duduk. Di tepi batu longkang entah rumah siapa saya ternampak seorang lelaki berbaju t kuning, berseluar hitam lusuh dan berselipar. Saya memberi tanda untuk duduk sama. Dia ’berensot’ memberi ruang.

Janggutnya tidak terurus. Dalam gengaman tangan kirinya ada segulung daun nipah. Sahih dia orang kampung. Kami berpandangan sekali lagi sebagai tanda hormati menghormati.

Dia mula menggulung tembakau. Saya mengambil sebatang keretek lalu menghulurkan kotak ke arahnya. Dia tersenyum gembira tetapi rokok hanya tinggal sebatang. Dia enggan menerima lalu saya katakan bahawa dalam beg kecil saya ada dua kotak lagi. Dia tersenyum puas lalu membakar keretek.

Dalam gian asap keretek itu kami mula mengenal satu sama lain. Mohamad Fauzi lebih muda dari saya – 46 tahun – tapi kerana tanda hormat – dia yang telah berumah tangga - saya panggil dia abang.

Dia datang ke ceramah ini kerana diajak oleh seorang kawan. Bila saya tanya di mana kawannya dia menunjukkan ke arah padang gelap yang penuh sesak dengan penonton. Pasti kawannya lebih politikus daripada dirinya yang hanya duduk jauh mendengar.

Si Penjual Ikan ini rupa-rupanya tidak menyebelahi sesiapa pun. Sebelum datang mendengar ceramah ini dia telah juga diajak datang makan malam di rumah Barisan Nasional. Ada kurma ayam, sayur dan buah. Tapi tidak ramai tamu yang datang, katanya.

Di sana dia diberi satu tiket cabutan bertuah. Tiket ini untuk memastikan dia akan terus berada dalam rumah ini untuk menunggu tamu jemputan. Entah siapa yang akan datang. Dia tidak ambil peduli.

Saya bertanya siapa yang akan menang esok. Dia hanya berkata ' wallah hu a’lam..' Si Penjual Ikan ini nampaknya adalah 'warga baru' dalam politik negara'. Saya datang kerana hendak mendengar..' Loghat utaranya cukup kuat. Berkali-kali saya meminta dia ulangi ayat-ayat yang di tuturkan. Dia ketawa. Saya pun ketawa sama melihat bebal sendiri.

Si Ustaz yang ditunggu pun sampai untuk berucap. Saya meninggalkan si Penjual Ikan untuk rapat ke padang. Si Penjual Ikan tidak bergerak dari jubin longkang.

Selesai ceramah Ustaz saya datang kembali ke jubin longkang. Kali ini kami telah mesra. Dia bertanya apakah cerita yang saya tulis ini akan keluar di akhbar. Dia tidak membeli akhbar jauh lagi memiliki sistem internet. Dia penjual ikan yang dibelinya dari Pasar Bisik-Bisik di Kuala Muda.

Seorang Pak Haji berserban sedang berucap di pentas. Kami dapat melihat jauh dari kain wayang. Dia ketawa kerana katanya 'orang-orang Ustaz ini selalu buat macam tahu' tetapi di bahu kiri dan bahu kanan kita ada orang yang lebih tahu. Si Penjual Ikan kesian melihat si Ustaz berapi-api di pentas ceramah.

Hampir tengah malam Anwar Ibrahim sampai ke pentas. Saya ke hadapan untuk mendengar apa yang hendak di labunkan oleh Anwar. Tidak sampai 15 minit ceramah selesai. Saya mengundur ke jubin longkang untuk memasang sebatang lagi keretek.

Si Penjual Ikan tidak ada lagi di situ. Yang tinggal hanya kertas akhbar yang mengalas bontot kami daripada basah duduk di tepi longkang.

Saya menghisap keretek seorang diri. Sampai kiamat pun saya tidak akan sampai lagi ke tepi longkang ini. Dan sampai kiamat pun saya tidak akan bertemu lagi dengan si Penjual Ikan ini. Yang tinggal hanya ingatan.

Ahad, 24 Ogos 2008

UTUSAN ME- LAYU-LAYU

Sesiapa yang datang dari Selatan ke Permatang Pauh dan melintasi tol Juru akan bertemu dengan satu kumpulan penyokong United Malays National Organisation yang menghulurkan akhbar-akhbar secara percuma ke setiap kereta yang sedang membayar duit tol.

Di akhbar-akhbar ini tercop – Hadiah Untuk Pengundi.

Akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan NST yang tidak ramai pembaca ini terpaksa diberi percuma untuk bakal pengundi.

Petang Ahad jam 4.00 di Permatang Pasir telah kelihatan seorang lelaki yang berbungkus kepala dan memakai cermin mata hitam bergerak menyebarkan akhbar-akhbar ini.

Lelaki ini begitu malu kerana menyebarkan akhbar ini maka dia terpaksa menyorokkan mukanya daripada dikenali oleh orang ramai.

DI PERMATANG PAUH 35 TAHUN KEMUDIAN

Dia berasal dari Kulim, kini tinggal di Butterworth. Dulu dia bersekolah di Penang Free dan tinggal di Kolej ke-4 Universiti Malaya. Saya tinggal di Kolej ke-5. Dia belajar Ilmu Alam. Saya belajar Sejarah. Dia lulus berijazah, saya pula melarikan diri dari UM untuk membuat sejarah. Ini 35 tahun dahulu.

Semuanya berlaku dengan tidak sengaja. Hujung minggu ini kami bertemu kembali di Permatang Pauh.

Bila bersalaman di hadapan rumah tumpangan, saya teringat kembali bagaimana kami bertemu ketika kami 'freshie' di Universiti Malaya pada bulan Mei 1971. Kolej ke-4 dan Kolej ke-5 'bermusuhan' bukan hanya waktu orientasi malah terus 'bermusuhan' dalam hal sukan sepanjang tahun.

Kolej ke-4 memiliki sesuatu yang tidak ada di Kolej ke-5 – siswi bergetah. Dalam hal mencari kekasih kami di Kolej ke-5 gagal. Tetapi Kolej ke-5 adalah yang terbaik di UM dalam hal sukan dan politik.

Kali ini kami di Permatang Pauh tidak lagi 'bermusuh'. Tidak ada apa yang kami rebutkan.

Saya tidak akan memberikan namanya di sini kerana dia telah membelot. Membelot kerana dia telah mula bersimpati dengan PKR. Ini tidak seharusnya dilakukan kerana dia berjawatan Guru Besar – orang kerajaan.

Kini dia dan isterinya telah pencen. Mereka mempunyai empat orang cahaya mata - semua anak gadis. Seorang anak gadisnya mati dilanggar lori. Tiga orang yang lain tidak lagi tinggal di rumah. Lalu dia bercerita betapa hidup ini telah berubah. Satu ketika dahulu dia sering berebut dengan anak-anak untuk menonton tv. Kini dia sering menelefon anak-anak meminta mereka pulang bercuti.

Dua susuk pencen, kini kesunyian. Untuk berlibur dia memelihara berbelas-belas ekor kucing. Lalu kami bercerita hal kucing. Saya hanya memiliki tiga ekor kucing – Curvey, Mami dan Siti. Dia bertanya hal Ramdan – anjing saya – yang telah berpindah rumah. Dia bertanya kenapa kucing saya bernama Siti – lalu saya terangkan kucing saya ini mukanya sama seperti muka Siti Nuthaliza. Lalu kami ketawa bersama.

Kami ke Sungai Petani kerana saya memerlukan internet. Lalu dia memandu kerana dia tahu selok belok daerah ini. Sambil saya 'online' sambil kami berlabun. Dia minum teh. Saya minum kopi o kosong. Kemudian kami makan bubur labu.

Bayangkan betapa hidup ini telah berlalu.

Selesai di internet cafe kami beredar ke Permatang Pauh. Dia tahu selok belok semua jalan-jalan di mukim ini. Halatuju kami ialah mencari kedai Gulai Itik. Dia kenal betul dengan kedai ini. Malah dia selalu makan di sana. Sayang, kedai ini masih bercuti.

Kami beredar dan merayau-rayau melihat bendera, poster dan bilik-bilik gerakan. Cerita kami terputus-putus.Tidak teratur. Kami tertanya dan menyoal - apa terjadi kepada si anu dan si anu. Apa yang dibuat oleh si dia dan si dia.

Di dalam kereta tiba-tiba anak gadisnya menelefon dari rumah. Anak gadisnya bertanyakan di mana letaknya 'sikat kucing' kerana kucing-kucing ini perlu di sikat untuk dimanjakan. Lalu saya teringat kepada 3 ekor kucing saya yang hampir setahun tidak mandi.

Kami berhenti di warong yang ada menjual popiah. Sekali lagi kami kecewa. Kedai ini juga ditutup. Akhirnya kami singgah di sebuah warung. Saya membeli cucuk-cucuk buah untuk dijadikan pembuka selera. Dia meminta mee goreng dan kuey teow. Saya makan mee campur bihun. Enak sungguh kerana kami lapar.

Hari semakin gelap. Permatang Pauh semakin sibuk. Dia ingin pulang. Lalu kami mengucap selamat tinggal. Jika tidak kerana Permatang Pauh tidak mungkin saya bertemu dengan ‘Dia’ ini.

Rabu, 20 Ogos 2008

HANAFI MAMAT MASIH HILANG

Orang ramai di Permatang Pauh masih tertanya-tanya siapakah dia Hanafi Mamat dari parti Angkatan Keadilan Malaysia ( Akim) ini. Daripada gambar di media Hanafi Mamat dilihat hampir menyerupai seorang panglima di zaman Hang Tuah.

Hanafi yang juga calon di P44 - Permatang Pauh telah dicadang dan disokong oleh dua orang ahli United Malays National Organisation bahagian Permatang Pauh.

Hingga ke hari ini Bilik Gerakan Akim masih tidak kelihatan. Gambar poster Hanafi pun belum dapat dilihat. Malah penduduk masih menunggu-nunggu untuk melihat rupa bentuk logo Akim.

Tukar Tiub akan cuba sedaya upaya mencari Hanafi Mamat untuk ditemubual.

BERITA TERKINI

Hanafi Hamat telah dikatakan akan sampai malam ini dari Kelantan.

PORT DICKSON

Malam tadi Anwar Ibrahim telah berceramah di Stadium MPSP Permatang Rawa. Di anggarkan hampir 5000 pendengar dan penyokong PKR telah hadir.

Satu perkara baru telah ditimbulkan oleh Anwar Ibrahim. Dia telah menerangkan bahawa dia tidak menyerang Najib ketika berkempen tetapi Najib dalam ceramah kecilnya telah memburuk-burukkan Anwar.

Di Permatang Rawa malam tadi Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada Najib ' ......jangan sampai saya bukak cerita Port Dickson....'

Anwar kemudian meminta orang-orang United Malays National Organisation pergi bertanya kepada Najib apakah dia ' Port Dickson'.

POSTER ARIF SHAH

Poster Arif Shah semakin banyak muncul di tepi jalan-jalan raya terutama di kawasan Seberang Jaya. Arif Shah ialah Ahli Dewan Undangan kawasan Seberang Jaya.

Kawasan Seberang Jaya adalah kawasan perumahan moden bukan kampong tradisional. Di kawasan ini terdapat cafe, bar dan restoran- restoran makanan segera yang kerusinya tidak boleh beralih-alih.

Di sini juga ada satu kawasan perumahan Majlis Bandaran Seberang Prai. Di pilihanraya yang lalu kawasan ini tidak menyokong Dr.Wan Azizah.

Selasa, 19 Ogos 2008

BERAPIT ANTARA MENTERI BESAR DAN KETUA MENTERI

Malam Isnin Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Perak telah sepentas berceramah di Berapit. Hujan renyai. Turut sama di Berapit ialah Jeffery Kitingan. Apa yang menarik ialah kesemua penceramah ini memulakan ucapan mereka dengan 'percubaan' untuk menjadi multilinguist.

Vanakam dan ni how ma bersepah-sepah keluar dari atas pentas.

Telah sampai masanya para politikus kita mempelajari semua bahasa agar ni how ma dan vanakam ini bukan hanya untuk dijadikan 'PR' - atau pemanis mulut.

LOKMAN ADAM DAN DI SEMAMBU

Lokman Adam sama seperti Ezam Mohd Nor telah juga berkempen secara kecil-kecilan di Sungai Semambu Permatang Pauh.

Agenda yang di bawa Lokman Adam ialah : kenapa Anwar Ibrahim tidak ingin bersumpah.

Satu pekara yang menarik dari ucapan Lokman kepada 15 orang pendengar ialah muncul satu lagi Susuk Baru dalam kes liwat.

Mengikut Lokman Adam pada tahun 1998 dia ternampak Anwar Ibrahim dalam bilik berbisek-bisek rapat dengan satu susuk yang tidak dikenali..

Dengan pilu Lokman berkata " siapalah saya untuk bertanya kepada Datuk Seri ..."

Untuk mendramakan ceramahnya pada satu hari si Lokman ini telah terjumpa satu vcd di perhentian bas. Apabila dia menonton vcd ini maka barulah dia sedar bahawa susuk yang pernah dilihat berdua-duaan dalam bilik dengan Anwar Ibrahim ialah Amir Hamzah.


WIRA SUP

Kenal bin Dahlan tiga beranak dari Selayang Kuala Lumpur telah 5 hari tidur di Masjid Bukit Jelutung Permatang Pauh. Mereka ini adalah diantara ratusan perniaga bergerak yang mencari makan di ceramah-ceramah yang dahulunya Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat.

Abang Kenal telah dibantu oleh dua anaknya, Zulkifli 16 tahun dan adiknya Taha yang masih dalam tingkatan 3.

Pilihanraya kecil Permatang Pauh ini adalah durian runtuh untuk Abang Kenal yang berjanggut sejemput. Nasibnya bertambah baik kerana dua anaknya yang masih bersekolah dapat membantu kerana ketika ini sekolah sedang bercuti.

Hanya satu sahaja yang menjadi musuh ketat warong bergerak Wira Sup. Musuh ini ialah hujan.


ANWAR DI PEKING

Anwar Ibrahim telah menonton pertandingan akhir bulu tangkis sukan Olympic Peking dalam kedai mamak di Seberang Jaya.

PUTERI BAWA TEGANG

Pasal hendak pasang papan iklan telah menimbulkan ketegangan antara Puteri Umno dengan orang Kampung.

Orang kampung melarang papan iklan di pasang. Puteri Umno komplen kain rentang PKR panjang sangat hingga memasuki kawasan Puteri.

Polis pun datang.

Akhirnya jalan tengah diambil. Puteri tidak dibenarkan pasang papan iklan. Kain rentang PKR dipendekkan.



Isnin, 18 Ogos 2008

FIESTA DI PERMATANG PAUH

Kali akhir saya melihat fiesta yang ampuh dengan ribuan manusia ialah di Pamplona pada tahun 1988. Ini fiesta manusia lawan lembu yang diadakan di kota ini selama satu minggu bermula pada 7 Julai saban tahun.

Pada 16.08.08 ini fiesta di Permatang Pauh bukan lembu lawan manusia tetapi Pakatan Rakyat bangun melawan untuk menundukkan Barisan Nasional - la grande battaile.

Saya tidak dapat mengukur berapa ribu susuk yang hadir di tempat penamaan calon. Kalau saya tulis 50 ribu mungkin saya tersalah. Kalau saya katakan 20 ribu mungkin saya juga terkurang. Hakikatnya yang hadir pada pagi Sabtu itu mungkin diantara dua angka yang saya tulis.

Dari awal pagi susuk-susuk dari kedua belah pihak telah berkumpul. Lebuhraya Plus ke arah Kulim telah menjadi sesak hingga ke Butterworth. Motosikal sahaja yang tersadai ditepi jalan tersusun hampir tiga kilometer bayangkan berapa panjang kereta yang berbaris tindih - menindih.

Ada jeritan, ada laugan, ada sorakan bercampur aduk dengan gendang Hindraf dari dan rebana naga. Ada bendera, ada kain banting, ada kain rentang - semuanya memeriahkan fiesta.
Suasana menjamin menghibur walau pun jam sepuluh pagi matahari di padang semakin terik membakar.

Satelah tiga bantahan ditolak dan panas pagi semakin hilang - matahari semakin tegak diatas kepala - akhirnya Barisan Nasional diwakiliki oleh Ariff Shah, Akim di wakili oleh Hanafi Hamat dan Pakatan Rakyat olih Anwar Ibrahim.

DARI LEBUH PLUS KE DEWAN

Rasa saya satu perjalanan yang 'paling jauh' pada pagi Sabtu 16.08.08 ialah dari simpang lebuh raya Plus ke Dewan Aminuddin Baki Maktab Tuanku Bainon. Hanya satu jalan ini sahaja yang meghala ke Dewan tempat mengisi borang penamaan calon.

Di hadapan Dewan ini ialah sebuah padang luas yang telah terbahagi dua. Penyokong ke dua parti yang bertanding telah dipisahkan dengan jarak yang jauh antara satu dengan yang laian. Tidak cukup dengan jarak pemisahan seluas padang bola, telah juga di dirikan benteng-benteng plastik yang selalu kita ternampak di lebuh raya. Benteng-benteng plastik ini juga telah dipagari dengan dawai yang mengingatkan saya kepada tembok-tembok di penjara Kamunting.

Jalan laluan hampir 3 kilometer menjuju ke Dewan ini telah di penuhi oleh para penyokong Pakatan Rakyat dari awal pagi.

Di jalan kecil ini jugalah yang wajib dilalui oleh Najib Razak, Rais Yatim, Syed Hamid, Khairy Jamaluddin, Ezam Mat Nor dan Hishamudin Hussein.

Bayangkan maki hamun dan sumpah seranah yang dilemparkan terhadap penyokong Barisan Nasional.

Rais Yatim telah dihulurkan sehelai duit 50 ringgit dari salah seorang anak muda yang bersusun ditepi jalan. Tanpa mengetahui apa makna duit ini Rais Yatim telah mengambil duit itu.Sebaik sahaja duit ini di dalam tangan Rais Yatim ratus dari anak-anakl muda yang membarisi jalan ini telah bersorak - rasuh! rasuah! rasuah. Duit ini dilontarkan kembali oleh Rais Yatim ke arah anak-anak muda yang sedang bersorak-sorak ketawa.

KJ atau Khairy Jamaluddin selain dari menerima sumpah seranah telah juga dipeluk-peluk bukan tanda kesayangan tapi tandan benci yang amat sangat. Terdengar suara ' dulu hang terer di Ijok sat ni hang baru sedar!'

Rasa saya tidak adalah insan yang paling menyesal dilahirkan didunia pada pagi itu selain dari Ezam Muhamad Nor. Makin hamun dan sumpah seranah yang berterus sejuah 3 kilometer telah di lemparkan terhadap Ezam.

Jalan ini cukup merbahaya untuk para penyokong Barisan Nasional. Mereka hanya merasa selamat apabila mereka diiringi sama oleh kumpulan FRU yang bersenjata lengakap.

HUJAN FIESTA

Penamaan calon berakhir hampir jam 12.00 tengah hari. Penyokong Pakatan Rakyat mula beredar. Pukulan gendang nafiri Hindraf bergema di tepi padang untuk terus memeriahkan fiesta.

Seperti telah ada perjanjian diantara SPR dengan Yang Maha Esa, 30 minit setelah semua selesai tiba-tiba ribut sampai dengan membawa hujan yang lebat.

Maka bertempiran para penyokong Pakatan Rakyat melarikan diri dari hujan. Ada yang masuk ke dalam belukar untuk berteduh, ada yang telah bersedia dengan payong tetapi majoriti tidak mempedulikan hujan. Mereka berjalan perlahan-lahan kerana mereka menunggu para penyokong Barisan Nasional keluar untuk pulang.

Hujan yang lebat mencurah-curah ini menjadikan baju kurung, baju t dan pantalon basah dan melekat ke badan. Inilah suasana erotik Melayu yang pada satu ketika dahulu amat-amat di tunggu-tunggu di kawasan Pantai Timur ketika banjir terutama di Kota Baru.

Saya cukup simpati terhadap setiap si pemakai baju t berwarna kuning dan setiap anak gadis bertudung merah jambu. Dalam ribut hujan mereka menerima maki hamun sekali lagi. Pegawai polis dan FRU yang basah lenjan sekali lagi terpaksa mengirigi mereka keluar hingga ke lebuh raya Plus.

Pilihanraya kecil memang meriah tetapi di Pematang Pauh ianya lebih meriah dari meriah. Pilihanraya kecil ini adalah Ibu Segala Pilihanraya. Perlawanan kali ini bukan antara lembu dengan manusia seperti di Pamplona tetapi Pematang Pauh akan menentukan garis dan arah Malayasia untuk seratus tahun ke hadapan.