.

Rabu, 4 Mei 2016

MENCARI HIDUP BARU






HIDUP BARU

Saya mahu bertanya - jika tetiba leterik padam apa akan terjadi. Jika tetiba air paip terputus apa akan terjadi. Tetiba bahan bakar minyak petrolium habis - siapakah antara kita di Malaysia ini yang akan  merasa selamat?  
Selamat yang saya maksudkan memberi makna kehidupan harian berterusan  tidak terganggu gugat. Hidup mereka saperti biasa. Hidup mereka saperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Anak bini kaum keluarga sahabat taulan semua bahagia memagari hidup.

Siapa agaknya yang akan terselamat?

Jangan terperanjat jika saya katakan yang akan terselamat ialah -   anak manusia warga suku bangsa Penan, warga Senoi, Jakun, Semelai, Temiar  - Orang Asal Semanjung dan  kaum suku bangsa Dayak  dan suku banga Iban di Sabah Sarawak.

Manakala di Afrika warga yang tinggal jauh dari kota akan selamat. Warga kais pagi makan pagi mengumpul makanan akan selamat. Suku bangsa yang masih menetap dalam hutan belantara pasti akan selamat. Warga Masai dan suku kaum Afrika yang tinggal dalam Padang Pasir Kalahari juga akan selamat.

Manakala di Amerika Latin - warga asal yang tinggal dalam hutan Amazon akan meneruskan hidup mereka saperti biasa. Suku kaum Korgi akan terus selamat dikampong kampong mereka atas Gunung Andes.

Bangsa-Bangsa  Asal diseluruh dunia ini sama  di Asia , Afrika atau Amerika Latin tidak ambil pusing sama ada Bursa Saham New York ditutup atau dibuka.  Bursa saham bukan bahan bual mereka. Sama ada  bahan bakar petrol ada dipasaran dunia atau tidak - ianya tidak  akan  menggangu mereka. 

Di Malaysia suku bangsa Penan dan Senoi tidak akan peduli sama ada stesen Astro atau RTM akan memancar program atau tidak. Mereka tidak ambil pot kalau Amerika runtuh. Tidak ambil pot  kalau Dolar pupus dan nilai  Yuan naik mendadak. Mereka juga tidak peduli   kalau Najib akhir ditangkap oleh FBI untuk dibawa ke mahkamah New York. 

Dunia mereka bukan dunia kita. Apakah  yang saya lakar ini satu kebenaran.

Saya cukup yakin warga yang akan terganggu kehidupan mereka ialah warga kota. Warga kota atau warga moden adalah warga yang paling lemah daya fikir. Paling pantas menjadi menjadi kelam kabut.  Jika  rutin kehidupan mereka beralih maka akan terhambur sumpah seranah. Buktinya cukup senang - jika ada para pembaca tinggal di bilik, flet atau kondo yang tinggi - tetiba kuasa leterik putus. Bagaimana perasaan?

Atau sekali sekala DBKL datang untuk melawat tangki air.  Tetiba  paip air ditutup untuk beberapa jam. Bagaimana perasaan?

Saya memberi istilah bahawa kita semua ini warga moden. Tetapi sabenarnya lebih tepat lagi kalau saya katakan bahawa kita ini Warga Pengguna atau Warga Konsumer atau Warga Pemakai. Kita mengguna, kita memakai  tetapi kita tidak pernah menjadi pengeluar benda  dan barangan yang kota guna pakai.  Kita hanya ‘consume’ - kita menjadi konsumer yang setia. 
Kita tidak menjadi pengeluar kerana barangan yang di perlu guna pakai kita dapati melalui pertukaran duit.

Duit ini kita dapati apabila kita bertukar  masa yang kita ada , tenaga kita , kebolehan dan daya fikir kita. Kita jual masa kita. Jual jual tenaga kita. Kita jual  masa kita kepada pembeli termahal. Jual  daya fikir dan intelek kita. Semua untuk mendapat duit. Duit ini digunakan untuk mendapat barangan yang kita tidak buat.

Apa yang saya tulis ini ialah lingkaran asas sistem ekonomi. Ada yang mengeluar dan ada yang membeli.  Ada permintaan ada pengeluaran. Jadi apa masaalah nya dengan sistem ini?

Sistem ekonomi kapitalis ini telah melahirkan satu gaya hidup yang membawa nilai, memperkukuh falsafah, menetaskan pandangan dunia dan  memberi pandangan agama. 

Apakah ini satu kesalahan? 

Pada ketika ini menjadi konsumer bukan satu jenayah. Malah menjadi konsumer dirayakan sebagai satu kejayaan. Dalam budaya ekonomi kapitalis  mengumpul benda sebanyak mungkin akan dinobatkan sebagai kejayaan. Justeru Robert Kouk, Ananda, Soros, Daim , Syed Mokhtar, atau Rockefeller dijadikan sosok contoh untuk diikuti sebagai lambang kejayaan.

Betul. Sosok sosok ini dirayakan dalam satu masa yang lampau. Kini tidak lagi.

Hari ini budaya konsumer  yang dinobatkan oleh sosok-sosok  ini telah  menjadi salah satu punca yang menjadikan  bumi kita demam. Budaya konsumer yang lahir dari sistem ekonomi kapitalis ini telah terbukti memudaratkan kita semua. Semua yang saya maksudkan ialah kesemua umat manusia. 

Justeru saya mencadangkan untuk kita sesama  mencari selamat. Masanya telah sampai agar  kita meninggalkan  budaya konsumer. Meninggalkan    agama dimana  kita menyembah kereta. Meninggalkan agama dimana memiliki benda  menjadi  rukun iman. Meninggalkan agama dimana kita bertawaf dengan harta dan kekayaan. 

Telah sampai masanya kita meninggalkan agama dan kepercayaan yang menganggap  suku kaum Penan yang bercawat di Sarawak sebagai Orang Liar. Meninggalkan agama yang percaya bahawa Orang Asal yang hidup tanpa rumah batu dalam hutan  di Gua Musang sebagai kaum yang tidak bertamadun.

Pada hemat saya masanya telah sampai untuk kita semua melihat kembali nilai diri kita. Melihat kembali pandangan dunia  kita. Dan mentafsir kembali  falsafah pegangan hidup kita sebelum kita menuduh  warga yang bercawat, warga yang tidak ada talipon bijak, warga yang tidak menonton Astro  sebagai warga yang ketinggalkan zaman.

Pada hemat saya budaya konsumer telah menjadikan kita warga yang paling  lemah. Fikrah  warga moden lemah kerana kehidupan kita bersandarkan pembuatan orang lain.
Pada hemat saya tamadun moden hari ini sedang diserang oleh dua malapetaka. Pertama sistem ekonomi kapitalis ini telah sampai ke tahap tepu. Ianya tidak  dapat berkembang lagi. Dalam keadaan sademikian  dari hukum sejarah maka kaum pemodal antara bangsa akan meledakkan perang dunia.

Kemungkian ini tidak dapat diketepikan. Perang dunia Pertama dan Kedua semuanya dilakukan kerana sistem ekonomi kapitalis berhadapan dengan masalah.

Malapetaka kedua ialah bencana alam yang sedang dialami bukan hanya oleh warga Chuping Perlis tetapi pemanasan dunia hari ini sedang memanaskan warga  seluruh dunia. 

Mustahil tidak terbaca bagaimana sembahyang hajat telah dijalankan di Temerloh kerana Sungai Pahang telah susut. Ikan patin dalam sangkar mati kekeringan. Mustahil tidak terbaca bagaimana empangan Bukit Merah Perak samakin kering.  

Chuping, Bukit Merah dan Temerloh ini hanya tiga tempat yang saya tuliskan namanya. Sebenarnya ada ribuan juta  wilayah dan kawasan dalam dunia kita ini sedang mengalami perubahan cuaca. Ada berjuta Chuping. Ada beratus ribu Sungai Pahang yang makin susut. Ada ratusan ribu empangan Tanah Merah  menjadi kering. Jutaan ekar kawasan lembah pertanian menjadi mangsa kemarau. Padang  pasir  saban hari sedang memakan  kawasan cucuk tanam.  Panen gagal. Kebakaran berlaku disana sini. Semua ini adalah tanda tanda malapetaka.

Saya tidak mahu dilihat sebagai pembawa maklumat songsang yang menakut-nakutkan pembaca.  Saya tidak mahu dilihat sebagai pembawa maklumat gelap yang menakutkan. Tetapi dalam  masa yang sama  dari pengamatan saya, dari pembacaan saya - secara jujur saya akui bahawa saya merasa takut melihat apa yang sedang berlaku sekarang.

Saya akui - saya amat-amat takut apabila membaca berita Sungai Pahang di Temerloh susut. Saya menjadi takut apabila saya melihat gambar sungai Pahang  cetek berlumpur. Gambar ini  terpampang dalam akhbar kita.

Sabenarnya kesedaranlah  yang melahirkan ketakutan. Jika saya tidak sedar maka saya tidak akan takut. Maka saya tak ambil pot. Kerana saya sedar apa yang berlaku maka saya cuba mencari jawapan. Apabila saya temui jawapan maka saya anggap jawapan ini satu pencerahan. Pencerahan ini wajib saya kongsi bersama. Berkongsi pencerahan secara beramai-ramai pada hemat saya hanyalah satu satunya jalan untuk kita sesama menyelamatkan alam ini.
Justeru - mari kita  kembali  kepada persoalan awal - siapa yang selamat jika malapetaka sampai.

Mari kita amati cara hidup, budaya hidup Orang Asal. Cara suku kaum Penan bercucuk tanam. Mari kita pelajari budaya gotong royong Orang Asal atau  Penan.  Lihat bagaimana mereka berkerja bersama-sama mementingkan komuniti dari mementingkan diri sendiri. Lihat bagaimana hidup  mereka berani dan merdeka.

Mendahulukan komuniti dari mendahului diri sendiri adalah pandangan dunia yang amat-amat bertentangan dengan  falsafah dan gaya hidup budaya kapitalis. Dalam budaya agama konsumer kapitalis mementingkan diri sendiri demi keuntungan  adalah rukun iman pertama.

Inilah perbezaan hakiki antara padangan dunia  kaum kapitalis dengan pandangan dunia kaum Penan. Kaum Penan mementingkan orang ramai. Kaum kapitalis mementingkan diri sendiri.

Hari ini ketika bumi berhadapan dengan potensi dua malapetaka. Kita sebagai umat manusia  diberi pilihan - untuk diri sendiri atau untuk kebaikan umum. Untuk keuntungan pribadi atau untuk keuntungan orang ramai.
Saya tahu apa yang saya pilih justeru ini adalah tulisan-tulisan akhir saya sabelum saya dipenjarakan. Jika leterik padam dan air terputus saya masih ketawa. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45

-------------

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TT jangan nak mengada. kalau semua tahu cari makan sendiri, bercucuk tanam, macam mana kerajaan nak pa chu cheng? Kalau wang kertas dah tak bernilai macam mana kerajaan nak ada kuasa? Kah! Kah! Kah! Kebergantungan pada wang kertaslah kuasa kepada kerajaan! Kah! Kah! Kah! Kah!

Johan berkata...

seperti biasa, apabila TT berhujah pasti dirungkai sehingga habis. salute!

Tanpa Nama berkata...

Kalau tiba2 bekalan makanan terputus, aku hanya boleh survive dgn edible garden aku selama seminggu jer!!!!adoi!

Tanpa Nama berkata...

Sayed Qutb:berhala moden

panglimo potaseh berkata...

Ada orang mengatakan memang ada kehidupan berakal lama sebelum Adam. Adam adalah manusia pertama yg ujud hanya 7000 tahun dulu. Malaikat sangat risau akan keturunan Adam ini, kata malaikat, cucu Adam ini perosak, penyangak, rakus dan zalim .. tapi apa pun Allah lebih mengetahuinya.

Adakah Orang Asal itu yang dimaksudkan sebelum Adam. Dimana saja dipelosok dunia ni Orang Asal seakan sama gelagatnya, rukun hidup mereka bersatu dengan alam persekitaran tanpa sebarang deklarasi, merendah diri, tanpa tuhan langit dan jauh sekali untuk merakus alam dan dunia ini, seperti dikatakan malaikat terhadap cucu Adam.

Takut TT yg ngaku sebagai Orang Asal adalah berasas. Purata bacaan Ecology Footprint cucu Adam dah 1.8, maksud nya cucu Adam perlu 1.8 dunia untuk menampong kehidupan. Cucu Adam di New York perlu 9 dunia, negara maju yg kapitalis walaupun katanya mapan tapi perlu 5 dunia untuk hidup.

Bersama ini saya doakan TT kuatkan semangat menempoh cabaran. Begitu lah lazim Orang Asal yang selalu dikejami oleh cucu Adam .. contohnya kaum Penan ..

Edy Amir berkata...

Meminjam pandangan Daniel Quinn dalam Ishmael, "The premise of the Taker story is 'the world belongs to man'. … The premise of the Leaver story is 'man belongs to the world'."

Tamadun yang kita kejar sudah nazak disebabkan gaya hidup moden meremuk bumi yang kita diami.Manusia yang sering Kali dimomokkan sebagai khalifah di muka bumi oleh tok-tok lebai tidak lagi mahu bekerjasama dengan alam sebaliknya mahu berlumba-lumba mempamerkan kehebatan masing-masing dengan sistem jual beli, yang dikatakan mendokong kemajuan ekonomi.

Warga post modernis yang tinggal di kota dilihat sebagai pasaran sempurna untuk kapitalisme berkembang biak. Warga kota hilang kemanusiaan kerana mengejar keperluan dan kehendak yang mengkomsumsi si pengkomsumsi. Konsumsi ini, dalam erti kata lain, gaya hidup, menyebabkan bumi hilang kepelbagaiannya. Kepelbagaian adalah tunjang utama kestabilan planet bumi. Bukannya musnahkan bumi dan cari planet lain untuk cucu cicit kita diami. Tetapi warga kini sudah seperti tiada sepakat lagi dalam menjaga objek sfera ini. Berapakah kos yang terpaksa ditanggung bumi atas kewijudan kita.

Ekonomi lebih diutamakan berbanding ekosistem untuk menjamin kestabilan negara, kecuali negara Bhutan yang lebih suka mencorak kehidupan rakyatnya berlantaikan indeks kegembiraan. Indeks kegembiraan ini terang-terang menonjolkan kehidupan warga yang meneladani alam dengan kebun-kebun dan sekitarnya yang hijau.

Konsep kampung eko berselerak merata dunia, mencorak hala ke mana post modernis harus tujui dengan konsep kehidupan dalam komuniti.

Community that communes.