Rabu, 25 Mei 2016

TERIMA KASEH DARI AKU






TERIMA KASEH DARI AKU

Kawan ku yang baik hati,

Bila kau membaca surat  ini pasti kau sedar bahawa aku masih bebas. Aku tidak dimasukkan ke dalam penjara. Aku masih lagi boleh menulis, boleh berjalan dan boleh ketawa.

Surat dari aku untuk kau ini  aku tulis dalam suasana bebas merdeka. Aku senang hati dapat menulis kepada kau sekali lagi.

Pasti kau ingin tahu apa yang telah berlaku pada Hari Guru - Senin 16 Mei yang lalu. Pasti kau ingin tahu apa yang telah berlaku dalam Mahkamah Rayuan Jenayah 3 Putrajaya pada hari itu.

Jadi - aku rasa telah menjadi tugas aku sama  saperti tugas Tun Seri Lanang merakamkan kembali Salalatul Salatin. Aku juga ingin merakamkan babak babak sejarah ini agar anak cucu cicit kita nanti akan dapat mengetahui dan memahami apa yang telah berlaku.

Aku mahu anak cucu cicit kita akan terus bertanya - kita ini dari mana dan hendak ke mana.

Pada awal kesahnya - pada malam 14 Mei  2016 - dua hari sebelum kes aku dimuktmadkan  di Putrajaya -  anak anak muda dari Bangsar telah membuat kenduri. Mereka menjemput teman dan taulan - kenalan dan sahabat - kawan  dan rakan. Pada hemat mereka ini adalah hari hari akhir aku bersama kawan-kawan.

Malam itu kami bersetia kawan. Dalam gelak ketawa sekali lagi kami menyambung silatul rahim. Dari jauh mereka datang dengan hati suci. Ada yang berdoa agar aku tidak dimasukkan ke penjara. Ada berdoa di kuil. Ada yang ke gereja. Semuanya berdoa agar aku terus bebas.

Malam itu ada kawan yang dari  jauh di Johor, dari Kedah dan dari Pahang. Ada muka yang muncul secara tetiba yang selama ini aku tidak tahu dimana sosok ini berada. Rupa-rupanyaa mereka masih setia - masih mahu bersetia kawan. Malah ada yang khusus mengambil cuti hanya untuk bersama bersetia kawan. 

Ada kawan  yang datang khas untuk mempekenalkan diri dan berjabat salam dengan ucapan selamat teguh berjuang.

Ada beberapa sosok yang secara jujur aku katakan disini yang aku tidak dapat mengingati nama-nama mereka. Empat puluh tahun dahulu di Universiti Malaya atau di Kota London - mustahil ingatan aku cerah lagi. Tapi yang penting mereka masih dalam saf berjuang.

Malam itu hujan turun. Tidak lebat. Dalam renyai- renyai basah-basah kami menikmati patin tempoyak,  talapia pekasam dan masak lemak ikan temoleh. Ada kawan baik dari Temerloh telah memasak bersedekah.  Ada juga yang datang membawa nasi lemak.  Malah ulam petai terhampar diatas meja. Sebagai ingatan - mana tahu - mungkin 9 bulan aku  tak akan bertemu petai.

Ada kawan membaca sajak, ada yang memetik gitar dan ramai yang berucap dengan kata-kata semangat perjuangan. Semua bersetia kawan. Ingat mengingati bahawa kita semua  dalam satu saf. Dalam satu arus perjuangan. 

Malam itu tanpa segan silu kami nyatakan sekali lagi bahawa kamilah anak manusia warga dari bumi yang tercinta ini yang sedang bangun  berjuang untuk membawa keadilan. Kami mahu membawa keadilan untuk  anak semua bangsa. Ini janji setia  yang kami lafazkan pada malam itu.

Kawan ku yang baik hati,

Biar aku katakan kepada kau bahawa ujan malam itu berjaya menyorokan detik detik  air mata aku. Setiap kali aku bersalaman setiap kali air mata berlinangan. Kau jangan silap faham. Aku bukan bersedih. Air mata itu ialah air mata gumbira kerana aku bersama mereka yang masih  teguh berjuang. 

Esoknya -  Ahad petang aku  ke Dapur Jalanan -  di Jalan Panggung. Kali ini berjumpa dengan anak anak muda yang setiap  petang Ahad akan beramal jariah memberi makanan kepada warga miskin kota. Aku juga ingin mengucap selamat maju jaya kepada mereka. Inilah anak anak muda berhati jujur yang  berbakti kepada bumi ini. 

Pada petang ahad itu - aku teringat bahawa dalam negara kita ini memang ramai orang baik baik. Anak anak muda Dapur Jalanan ini hanyalah satu contoh kecil. Mereka adalah anak-anak muda yang baik baik. Tanpa diupah tanpa dikerah mereka membuat amal jariah.

Bayangkan jika ramai lagi orang baik-baik melakukan sesuatau atau bersuara mengaris jalan kebaikan. Atau orang-orang baik ini bersuara melarang kemungkaran - bayangkan bagaimana permainya bumi tanah air kita ini.


Kawan ku yang baik hati,

Kau tidak tahu perasaan aku kali ini. Agak susah untuk aku terangkan kepada kau. Bukan. Bukan. Kau jangan silap faham. Bukan aku takut dengan penjara. Bukan aku gentar.  Tidak. Aku telah 15 kali ditahan dalam lokap dan penjara.

Tetapi  tidak pernah aku masuk penjara atau lokap dengan segala persediaan saperti kali ini. Ini yang menjadikan aku merasa kelainan. Macam aku hendak disunatkan sekali lagi. Atau macam aku menunggu Tok Mudim dengan penuh debaran. Apakah kau faham apa yang aku cuba surahkan ini?

Malam sebelum ke Mahkamah aku telah membungkus 14 buah buku. Ini persediaan akhir. Dari pengalaman selain dari nyamuk, semut, pijat dan lipas buku adalah  sahabat paling setia dalam penjara. 

Aku membawa kitab Saheh Al-Bukhari, aku membawa Hemingway. Antara lain yang ingin aku bawa  ialah dua kitab komik dan lawak yang aku rasa amat amat diperlukan dalam penjara.

SMS terakhir pagi itu aku tulis dalam kereta dalam perjalanan ke Mahkamah. Isinya: Kawan-kawan  SMS terakhir sebelum ke Kajang. PRK yang akan datang sila 1 lawan 1 persediaan untuk PRU14.

Aku menghantar SMS ini untuk kawan pimpinan dalam Pakatan Harapan yang aku kenali sahaja. Kemudian aku tinggalkan talipon bimbit ini untuk dijagai.

Aku rasa pagi Senin itu kami sampai ke Putrajaya dalam jam 8.18 pagi. Ramai kawan-kawan telah berada disana. Sebelum jam 9 aku bertemu dengan Ambiga dan Syahredzan. Kami berbincang tentang apa yang berlaku. Ambiga masih keras percaya bahawa  dimana-mana dalam dunia ini apa yang aku lafazkan pada 13 Mei 2013 bukan satu kesalahan. Aku hanya tersenyum kerana aku telah bersedia untuk ditahan.

Kawan ku yang baik hati,

Bila kes aku disebut - kes kedua - aku pun masuk ke dalam kandang OKT - Orang Kena Tuduh. Mahkamah mengumumkan kedatangan Hakim. Semua dalam mahkamah berdiri. Aku berdiri menunggu. Tiga orang Tuan Hakim masuk. Apabila hakim telah duduk maka semua dalam mahkamah dibenarkan duduk. Nama kes aku disebut dan aku dalam kandang OKT tegak berdiri. Kemudian hakim menyuruh aku duduk.

Tiga orang Hakim yang bergelar Datuk telah meneliti  untuk menghakimi kes aku. Ketua Hakim yang duduk ditengah-tengah ialah seorang perempuan.

Ambiga Sreenevasan membuka hujah. Ambiga menerangkan bahawa tiga pekara  yang digaris hitam dalam kertas pertuduhan bukanlah satu  yang melanggar  hukum atau undang-undang. 

Pada 13 Mei 2013 aku telah berucap dalam Dewan China Kuala Lumpur. Aku telah meminta para hadirin untuk meluluskan  tiga resolusi.  Pertama: Menolak keputusan PRU13. Kedua: Ditempat-tempat yang didapati ada penipuan  yang jelas adakan pemilihan sekali lagi. Ketika: Kita susun demonstrasi.

Ambiga berhujah - tidak menjadi satu jenayah jika kita menolak keputusan PRU13. Mengadakan pemilihan sekali lagi membuktikan bahawa OKT masih yakin dengan pilihan raya. Mankala menyusun gerakan jalan raya - demonstrasi bukan satu jenayah kerana pada 2012 telah diluluskan Akta  Perhimpunan Aman yang membenarkan warga untuk berkumpul dan berhimpun. Malah menurut Ambiga hak ini ada tercatit  dalam Artikel 10 Perlembagaan Persektuan.

Disini seorang Hakim dari sebelah kiri telah mencelah bertanya. Apakah Akta ini telah dilulus ketika aku membuat ucapan? Ambiga menjawab positif.

Sesudah Ambiga berhujah giliran Syah. Syah telah  menunjukkan kepada mahkamah bahawa dari kes  Akta Hasutan yang terdahulu  pemenjaraan tidak digunakan. Cuma denda. Syah  telah  merujuk satu kes hasutan sesudah 13 Mei 1969. Mengikut hujah Syah walau pun dalam suasana yang tegang Si Polan ini tidak dimasukan ke penjara.   Hanya dua sosok dipenjara kerana Akta Hasutan - Lim Guan Eng tahun 1998 dan Utayakumar tahun 2013.

Justeru mengikut Syah tidak ada apa manafaat untuk memasukan aku selama 9 bulan ke dalam penjara. Malah 5,000 ringgit itu adalah hukuman maksimum.

Akhirnya pihak Pedkawa berhujah. Pedakwa mahu aku dijadikan contoh agar tidak ada lagi sesiapa dibelakang aku yang akan berani mengahasut. Hasutan aku amat bahaya walau pun sesudah ucapan aku itu tidak ada berlaku kekecohan atau keganasan. Untuk pendakwa ucapan aku memiliki kecenderongan menghasut.


Pekdawa mengakui bahawa Akta Perhimpuan Aman telah wujud ketika aku memberi ucapan.

Kemudian Ambiga menjawab sekali lagi.

Akhirnya Tuan Hakim perempuan memandang  ke kiri dan ke kanan. Lalu mereka bangun. Perbicaraan dihentikan. Tuan-tuan Hakim berundur untuk membuat keputusan.

Kawan ku yang baik hati,

Kau bayangkan bila mahkamah berhenti rehat.  Aku dalam ketenangan yang merisaukan. Inilah detik detik antara  kebebasan dan hidup dalam penjara. Walau pun aku telah bersedia  tapi debaran masih  menggegar jantung. 

Aku keluar. Diluar mahkamah terlalu ramai kawan-kawan yang tidak dapat masuk. Juga wakil dari media yang berasak-asak.
Ah ! Hampir aku terlupa untuk memberitahu kau bahawa Keduataan Amerika, Canada dan German telah menghantar wakil untuk melihat perbicaraan ini. Termasuk juga Suaram dan Amnesty International. 

Keluarga aku yang hadir ialah Pak Amjal. Ramai kawan-kawan tidak sedar bahawa  Pak Amjal ini adalah adik kandong Rais Manaf. Rais Manaf ini ialah ayah kepada Hishamuddin Rais. Ini hubungan kami.

Kami menunggu. Kami menunggu. Lebih dari 40 minit pegawai mahkamah umumkan Hakim akan masuk semula. Semua mengambil tempat. Aku masuk kembali ke kandang OKT.

Seorang anak muda pegawai mahkamah datang dihadapan aku sebagai penterjemah. Ketua Hakim berucap dalam bahasa Inggeris. Aku tidak memerlukan anak muda itu menterjemah. Aku tersenyum. Kawan-kawan di belakang aku menjerit bersorak. Aku hanya dikenakan hukum denda dan tidak dipenjara. Amin. Wassalam. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45

--------------

7 ulasan:

DIdi kota belud berkata...

Apalah.. Kalau aku budak penterjemah tu dah lama aku pinjam pistol hakim tu tuk tembak kepala aku...nak translate kunun.... .

xrasxras berkata...

boleh berkenduri di hari raya ..

Tanpa Nama berkata...

Maksudnya lu sudah salah lah, memang penghasut lah...RM5000 woh...

Tanpa Nama berkata...

Yuhuu..tak sunyi bulan puasa ku dan harirayaku bersama TT.. salut ambiga dan shah.. jgn jadi hadi awang ngan haron din plak lps ni

Tanpa Nama berkata...

Masak kau belajar kat UM, mesti tiap2 hari kau makan free kat kedai pak amjal kan?

Mek berkata...

Gembira & terharu baca coretan ni.
Terima kasih TT. Teruskan menghasut.

Johan berkata...

terkesima membaca kisah ni. sedih, pilu, duka & gembira. terbaik TT!