RESPON ANWAR MENGECEWAKAN, MENGHAMPAKAN DAN TIDAK MENAMBAH KEYAKINAN RAKYAT KEPADA KERAJAAN
Berikut adalah respon Perdana Menteri berhubung itu kontrak pengangkutan daripada kerajaan negeri Selangor yang diperolehi oleh syarikat milik suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh:-
Kata Anwar Ibrahim, kontrak yang diberi kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Molliliti) itu harus disiasat seperti biasa.
“Yang itu, serah kepada pihak berkuasa. Kalau ada laporan, siasatannya patut telus.
“Kalau ada laporan, ada siasatan. Dan patut ada penjelasan.
“Apa prosesnya? (Ini) patut dianggap satu kes biasa yang patut disiasat,” katanya.
Jawapan Anwar ini boleh dianggap menghampakan, mengecewakan dan tidak memberi apa-apa harapan kepada rakyat yang ajar sejak lebih 25 tahun lalu agar menolak amalan kronisme dan nepotisme lantaran semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki telah pun memberi kenyataan bahawa tiada sebarang kesalahan dalam pemberian kontrak kepada suami Hannah Yeoh itu.
Ini kerana, menurut Azam, yang memberi kontrak itu ialah kerajaan negeri Selangor, bukan kementerian yang diterajui Hannah Yeoh.
“Sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan), ia bukanlah satu kesalahan,” tegas Azam lagi.
Dengan jawapan Azam yang terang lagi nyata itu, untuk apa lagi Anwar mengatakan bahawa siasatan akan dilakukan jika ada pihak membuat laporan?
Respon Anwar ini hanya ada nilai jika beliau bercakap lebih dulu daripada Azam Baki.
Tidakkah jika pun ada laporan dibuat, hasil siasatan SPRM kemudiannya sudah boleh dijangka dan sama seperti apa yang dinyatakannya semalam?
Apa yang rakyat ingin tahu, apakah pendirian kerajaan madani dalam kes seperti yang berlaku kepada suami Hannah Yeoh itu?
Ini yang Anwar selaku Perdana Menteri perlu nyatakan dengan tegas dan tanpa kompromi sebagaimana tegasnya perjuangan beliau menentang kronisme dan nepotisme.
Selain itu, adakah kerajaan setuju kontrak itu diteruskan atau ia perlu dibatalkan?
Ini juga tidak disentuh oleh Anwar.
Untuk masa hadapan pula, apa jaminan Anwar selaku Perdana Menteri kerajaan madani bahawa amalan seperti kes suami Hannah Yeoh itu tidak akan berulang kembali?
Anwar langsung tidak menyentuh perkara-perkara tersebut, tetapi hanya berkata, siasatan akan dijalankan siasatan seperti biasa jika ada laporan.
Jawapan Anwar dalam isu ini bukanlah jawapan seorang Perdana Menteri yang jiwanya sarat dengan semangat reformasi serta mahu melihat negara ini menjadi lebih baik pada masa depan, tetapi sekadar macam buat-buat batuk di tepi tangga saja.
Kalau Tun Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri dan ada pasangan menteri kabinetnya terkait dengan perolehan kontrak kerajaan, lalu ditanya wartawan, barangkali lebih kurang begitu jugalah jawapannya.
Anwar patut memberi jawapan yang berbeza yang mampu memberi keyakinan serta harapan kepada rakyat bahawa kerajaan pimpinannya adalah lebih baik berbanding semua pendahulunya sebelum ini.
Kalau sama saja, buat sakit tekak sajalah menjerit reformasi selama ini!!
Cuba kita bayangkan jika ketika ini Anwar masih Ketua Pembangkang dan kes seperti suami Hannah Yeoh itu berlaku dalam kerajaan bukan PH, apa agaknya respon dan serangan beliau? – ShahbudinHusin 28Mei2024.
1 ulasan:
bila dap bak pecat ? bila menteri 1st class minded nak letak jawatan ?
Catat Ulasan