Rumah Putih nafi peranan guling Sheikh Hasina
WASHINGTON: Rumah Putih hari ini menafikan mereka berperanan dalam menggulingkan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, yang baru-baru ini terpaksa melepaskan jawatannya dan melarikan diri.
Negara itu menyifatkan dakwaan campur tangan Amerika Syarikat (AS) adalah 'palsu semata-mata'.
"Kami langsung tiada sebarang pembabitan. Sebarang laporan atau khabar angin Kerajaan AS terbabit dalam peristiwa ini adalah palsu semata-mata," kata jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre pada sidang media ketika ditanya mengenai dakwaan pembabitan AS.
Laporan akhbar Economic Times di India, kelmarin memetik Hasina menuduh AS memainkan peranan dalam kejatuhannya kerana mereka mahukan kawalan ke atas pulau Saint Martin Bangladesh di Teluk Bengal.
Akhbar itu berkata, Hasina menyampaikan kenyataan itu melalui sekutu rapatnya.
Anak lelaki Hasina, Sajeeb Wazed, kelmarin bagaimanapun berkata, pemimpin itu tidak pernah membuat sebarang kenyataan sedemikian.
"Kami percaya rakyat Bangladesh harus menentukan masa depan kerajaan mereka dan di situlah kami berdiri," kata Rumah Putih.
Kerajaan sementara di Bangladesh kini diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus, yang mengangkat sumpah pada Khamis lalu, bagi proses pilihan raya di negara Asia itu berlangsung.
Bulan lalu, Bangladesh diselubungi demonstrasi dan keganasan selepas bantahan pelajar terhadap kuota yang mengkhususkan sebahagian besar jawatan kerajaan hanya untuk kumpulan tertentu dan ia meningkat kepada kempen menggulingkan Hasina.
Hasina pada Januari lalu, memenangi penggal keempat berturut-turut dalam pilihan raya yang diboikot pembangkang dan didakwa Jabatan Negara AS sebagai tidak bebas dan tidak adil.
Hasina meninggalkan Bangladesh ke New Delhi selepas itu, sekali gus menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun. -REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan