Kenakan tindakan terhadap penyebar berita palsu, kata ahli Parlimen
AHLI Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap warganet yang menyebarkan berita palsu dalam talian.
Setelah beberapa kali menjadi mangsa, pemimpin Wanita DAP itu menyebut bagaimana dia sekali lagi diejek dalam talian berkaitan fitnah tentang dirinya.
Yang lebih membimbangkan adalah serangan terhadap aspek peribadi terutama ketika bapanya Abdul Rashid Hanafi, seorang bekas guru meninggal dunia.
“Hari ini saya membuat laporan polis terhadap pihak yang memfitnah saya di media sosial mendakwa kononnya saya ‘berjuang untuk mengubah agama rasmi Malaysia’ dan ‘merancang untuk menyerang institusi Islam terutamanya Jakim’.
“Tuduhan ini jelas merupakan fitnah ekstrem yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mencipta persepsi negatif terhadap saya, parti saya dan Kerajaan Madani dalam kalangan orang ramai khususnya komuniti Melayu.
“Dalam hantaran yang sama, terdapat juga seorang individu yang secara palsu mendakwa pemimpin Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin adalah bapa saya sedangkan bapa saya yang meninggal dunia, Abdul Rashid Hanafi adalah seorang guru sekolah yang baru sahaja meninggal dunia awal Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Syerleena juga membuat laporan polis berkenaan vandalisme papan tanda Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Bendera dan polis kini sedang menyiasat perkara tersebut.
“Sebagai ahli Parlimen beragama Islam, saya tetap komited untuk mempertahankan kesucian Islam dan akan mempertahankan institusi-institusi Islam di negara ini jika mereka terancam,” katanya.
Selain itu kepimpinan DAP juga menekankan parti akan terus menghormati dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu, katanya.
“Oleh itu orang ramai khususnya umat Islam tidak perlu takut terhadap DAP kerana parti ini menjalankan aktiviti politiknya berdasarkan prinsip-prinsip Perlembagaan dan undang-undang negara.”
“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan media sosial secara bertanggungjawab. Media sosial adalah platform yang kuat dan ia perlu digunakan dengan bijaksana dan etika.
Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang cepat dan tegas terhadap mereka yang menyebarkan fitnah di semua platform.
Penyebaran maklumat palsu atau fitnah bukan sahaja boleh merosakkan reputasi seseorang tetapi juga parti, kata Syerleena. – 18 Ogos, 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan