'Memualkan', peguam bidas cubaan kerajaan, polis halang himpunan anti-rasuah di KL
Tindakan pentadbiran Anwar Ibrahim cuba menghalang perhimpunan anti-rasuah yang dijadualkan pada 25 Januari ini di Kuala Lumpur diselar seorang peguam, mengatakan menteri dalam negeri dan polis membuat tuntutan yang tidak masuk akal, di samping menyifatkan Pakatan Harapan bersikap hipokrit.
"Taktik mengenakan syarat yang melanggar undang-undang dan tidak wajar ini merupakan taktik yang kita pernah lihat sebelum ini di bawah kerajaan BN, dan ia adalah memualkan jika ia diteruskan kerajaan perpaduan yang dipimpin PH," kata Zaid Malek, peguam Sekretariat Rakyat Benci Rasuah yang menganjurkan perhimpunan yang akan bermula di pusat beli-belah Sogo sebelum menuju ke Dataran Merdeka pada petang Sabtu ini.
"Semasa Bersih 4, pemimpin PH mengecam tuntutan serupa oleh polis untuk mendapatkan kebenaran memasuki Dataran Merdeka. Oleh itu, Saifuddin Nasution dan kerajaan Madani bersikap hipokrit dalam mendesak kami mendapatkan kebenaran untuk berarak ke Dataran," katanya merujuk kepada kepada perhimpunan anti-kerajaan anjuran PH sebelum ini.
Semalam, Saifuddin yang juga menteri dalam negeri mengulangi tuntutan polis supaya penganjur mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis di mana perhimpunan itu diadakan.
Zaid berkata kenyataan Saifuddin merupakan "paling jahil dan melulu yang pernah dikeluarkan seorang menteri dalam negeri".
"Kalau nak ikut logik ini, tiada perhimpunan awam boleh diadakan di Malaysia selagi pemilik bangunan di sekeliling membantahnya."
Beliau berkata pihak berkuasa sepatutnya memastikan perhimpunan itu dapat diadakan tanpa gangguan, dan bukan bertindak menghalang orang ramai melalui amaran untuk tidak menyertainya.
"Mengapa kerajaan begitu takut dengan perhimpunan anti-rasuah sedangkan ia bangga mengaku memerangi rasuah?" soal Zaid.
Semalam, polis menyifatkan perhimpunan itu melanggar Akta Perhimpunan Aman (PAA) dengan alasan penganjur tidak mendapat kebenaran pemilik premis.
Zaid bagaimanapun berkata tuntutan polis itu tidak berasas dari segi perundangan kerana perhimpunan itu diadakan di tempat awam, sambil menambah akta tersebut hanya memerlukan penganjur memberi notis kepada polis.
"Kalau pun ada ketidakpatuhan berhubung notis itu, ia masih tidak menjejaskan hak sesiapa yang ingin berkumpul secara aman."
Zaid berkata penganjur sudah pun mematuhi sepenuhnya akta itu.
"Tidak timbul soal kebenaran daripada pemilik atau penghuni premis kerana perhimpunan itu akan diadakan di tempat awam. Dataran Merdeka dan jalan di hadapan Sogo adalah 'tempat awam' di bawah Seksyen 3 Akta Perhimpunan Awam."
Beliau turut mempersoalkan polis kerana tidak melayan permintaan penganjur untuk bertemu berbincang perkara itu.
"Ia menunjukkan niat mereka untuk menghalang perhimpunan itu daripada berlangsung."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan